Isnin, 17 Ogos 2009

PROGRAM “OUTREACH” MITI

Program : Program 'Outreach' MITI
Tajuk Seminar : PELUANG DAN KEMUDAHAN PERNIAGAAN DALAM SEKTOR PEMBUATAN DAN PERKHIDMATAN KEPADA USAHAWAN BUMIPUTERA
Tarikh : 17hb. Ogos, 2007
Bertempat : MPC, Kepala Batas
Jam : 9.00 pagi
.
Sesungguhnya, saya amat rasa bertuah dan beruntung keranan seringkali dijemput oleh rakan-rakan di agensi-agensi kerajaan, yang meminta saya merasmikan majlis atau program, memberi ucapan dan motivasi. Dan pada pagi ini, saya telah dijemput untuk program perasmian anjuran MITI.
.
Program pagi ini, turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah II MDC, Pengarah Bahagian Program Bumiputera MITI, Pengarah MIDA Pulau Pinang, Pengarah MDC Pulau Pinang, Pengarah SMIDEC Pulau Pinang dan ramai lagi rakan-rakan dari MARA, PERDA, TEKUN dan lain-lain. Seramai 120 peserta telah dijemput hadir ke program ini.
.
Izinkan saya untuk turut berkongsi text ucapan saya dengan para pembaca yang saya hormati sekelian.
.
Saya ingin mengucapkan jutaan terimakasih kepada Seksyen Pembangunan Perniagaan Bumiputera MITI dan MITI Pulau Pinang kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Program ini dan mengadakan Program “Outreach” Usahawan Bumiputera di Pulau Pinang.
.
Kita berharap pada masa hadapan pihak MITI akan mengadakan lebih banyak Program Pembangunan Usahawan khususnya kepada usahawan Bumiputera di sini.
.
Bukan itu sahaja, malah saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Keusahawanan Bumiputera Pulau Pinang meminta pihak Kementerian (MITI) mempertimbangkan menambah lebih banyak lagi Dana dalam bentuk geran, insentif, peluang-peluang pasaran dan bantuan dalam pelbagai jenis bentuk yang boleh dimanfaatkan kepada usahawan-usahawan kita di Pulau Pinang.
.
Selain dari berharap atau bergantung kepada pihak Kerajaan semata-mata, para usahawan kita perlulah juga gigih berusaha dan meraih peluang yang ada. Perkara utama ialah mendapatkan segala maklumat berkenaan peluang-peluang yang ada.
.
Melalui MITI, pelbagai peluang untuk usahawan Bumiputera jelas kelihatan. Bukan sahaja di peringkat dalam Negara malah peluang pasaran di luar Negara.
.
MITI, MIDA dan MATRADE mempunyai 52 Pejabat di luar Negara yang boleh membantu mencari pasaran. Para usahawan kita sepatutnya menggunakan kemudahan ini untuk mencari peluang ke pasaran antarabangsa.
.
Saya dimaklumkan oleh pihak MITI, di dalam Perjanjian Perdagangan Bebas atau (FTA – Free Trade Agreements), sudah ada enam (6) Skim FTA dan 1 Skim Keutamaan Am (GSP – Generalised System Preferentials) untuk pasaran Negara-Negara Eropah (EU) yang sedang dilaksanakan.
.
Terdapat ribuan syarikat Malaysia yang telah mendapat manfaat daripada Skim-Skim FTA ini. Namun begitu, bilangan usahawan atau syarikat milik Bumiputera masih jauh ketinggalan ataupun tiada langsung melibatkan diri untuk pasaran FTA ini.
.
Skim Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ini membuka peluang yang luas kepada barangan buatan Malaysia dieksport ke Negara-Negara ASEAN (sepuluh semuanya termasuk Malaysia), China, Korea, Jepun dan Pakistan. Skim Keutamaan Am (GSP) pula membuka ruang luas untuk eksport ke 27 Negara Kesatuan Eropah. Melalui FTA ini barangan Malaysia mampu bersaing dengan barangan daripada Negara lain kerana tariff (cukai import) yang rendah ataupun kosong (0) cukai.
.
Menurut MITI Pulau Pinang, bagi kawasan Pulau Pinang, Kedah/Perlis dan sebahagian Perak Utara untuk tempoh Januari hingga Jun 2009 (6 bulan pertama) mencatatkan nilai RM3.95billion barangan Malaysia dieksport menggunakan Skim-Skim FTA ini. Cuba bayangkan kalau usahawan Bumiputera kita sekurang-kurangnya memperolehi 1 peratus (%) daripada pasaran FTA ini. Jumlahnya hampir RM40 juta.
.
Saya juga difahamkan, bahawa banyak lagi Skim FTA akan dikuatkuasakan dalam jangkamasa terdekat contohnya dengan Australia, New Zealand dan India. Skim FTA ini membolehkan barangan Malaysia mudah memasuki pasaran Negara-Negara berkenaan dan membuka peluang pasaran yang luas bagi usahawan Bumiputera mengorak langkah.
.
Dengan kata lain peluang-peluang perniagaan makin terbuka luas dan hanya menunggu usahawan Bumiputera kita sahaja untuk berusaha mendapatkannya. Selain itu, Skim FTA, membolehkan usahawan Bumiputera membeli bahan mentah atau komponen pembuatan dari Negara-Negara berkenaan dengan tariff (cukai) import yang rendah ataupun pada tariff yang kosong(0). Dengan kata lain memberi penjimatan dan mengurangkan kos dalam memperolehi bahan mentah untuk proses pembuatan barangan seterusnya.
.
Suka saya menyarankan agar dalam Program “Outreach” ini, tuan/puan sebagai usahawan Bumiputera, bertanyalah dan rebutlah peluang yang ada dengan MITI, SMIDEC atau SME Corp, MIDA, SME Bank, MATRADE dan MIDF untuk memajukan diri kita ke arah menjadi usahawan Bumiputera yang terbilang.
.
Menjadi usahawan berjaya memang sukar dan payah. Hanya daya dan usaha dari tuan/puan yang dapat memajukan diri sendiri ke arah yang lebih gemilang dan cemerlang. Saya mohon agar usahawan Bumiputera membuat perubahan paradigma, berusaha lebih gigih untuk meningkatkan perniagaan masing-masing.
.
Pada pandangan saya tidak ada cara lain untuk memajukan perniagaan kecuali dengan mengamalkan budaya kerja murni seperti displin, rajin, bertanggungjawab, jujur. Saya percaya dalam perjuangan untuk mencapai hasrat membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera, Institusi Kerajaan seperti MITI dan agensi-agensinya serta Jabatan lain di negeri Pulau Pinang akan memberi sokongan sepenuhnya kepada saya dan golongan usahawan Bumiputera.
.
Saya percaya bahawa kerjasama dan koordinasi MITI dan agensi untuk menganjurkan program khusus untuk usahawan Bumiputera perlu dicontohi oleh agensi kerajaan yang lain. Program sebegini perlu diperbanyakkan lagi supaya maklumat mengenai fasiliti yang disediakan kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada usahawan Bumiputera.
.
Sekali lagi saya ingin sangat menasihati usahawan untuk mengambil peluang sebaiknya untuk mendapat maklumat dan bimbingan pegawai-pegawai MITI dan agensi semasa program hari ini. Saya berharap Tuan–tuan dan Puan-puan akan menerima saranan saya dengan positif dan menghubungi saya pada masa hadapan bagi sama-sama kita menggerakkan dan membangunkan usahawan Bumiputera.

Tiada ulasan: