Selasa, 4 Ogos 2009

Festival Kompang

Tarikh : 31hb. Julai, 2009
Bertempat : Dewan Budaya, USM
Penganjur : Persatuan Karyawan

.
Saya telah dijemput oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Suhaimi. Majlis Festival Kompang Wilayah Utara, pada malam itu, telah menyaksikan persembahan kompang dari Pulau Pinang dan Perak.
.
Dari segi sejarah kompang (satu permainan muzik tradisional Melayu yang mempunyai sejarah lebih daripada 100 tahun) berasal dari Timur Tengah, khususnya dari Negara Parsi yang dibawa oleh pedagang-pedagang Islam ke Nusantara. Mula bertapak di Pulau Jawa, kemudian ke Selatan Semenanjung dan menyusur ke utara. Di Timur Tengah, kompang dimainkan untuk menyambut kedatangan Nabi Muhamad saw dan kompang juga dimainkan untuk memberi semangat kepada tentera Islam menghadapi musuh mereka. Dengan kata lain kompang ada hubungan dengan dunia Islam dan arab. Apabila kompang dibawa ke Nusantara, permainannya disesuaikan dengan persekitaran baru.
.
Permainan kompang tidak sahaja dimainkan dalam majlis-majlis perkahwinan dan bercorak agama berzanji, tetapi juga telah diperluaskan ke majlis-majlis social dan rasmi. Namun sebagai satu bentuk kesenian yang popular dan indah tata iramanya, maka kita wajar mengetahui sedikit sebanyak tentang dunia kompang itu. Permbuatannya, pukulannya, iramanya, lagu-lagu yang mengiringinya dan cara persembahannya. Semuanya ini melambangkan ketinggian seninya. Kompang sebagai alat muzik, ia adalah seni pertukangan dan sebagai permainan muzik, ia bermula kudus kemudian meluas ke segenap lapisan masyarakat sehingga menjadi popular. Kita bukan sahaja perlu tahu bagaimana bunyi kompang tetapi tahu jemis-jenis pukulan, seperti pukulan, meningkah, pukulan melalu dan pukulan menyilang. Pukulan-pukulan ini memainkan peranan yang penting dalam membangunkan permainan kompang yang tinggi nilai seni muziknya.
.
Permainan kompang yang bermutu sukar kita dengar sekarang kerana pasukan-pasukan kompang yang mantap semakin berkurangan. Kebanyakannya pasukan kompang seperti tangkap muat sahaja. Pukulannya kadang kala sumbang. Sudah tiba masanya permainan kompang diberi perhatian khas sebagai seni persembahan yang perlu dipelajari secara serius demi memartabatkannya. Golongan belia perlu melibatkan diri dengan lebih luas. Pelajar-pelajar sekolah perlu meningkatkan permainan mereka dengan tunjuk ajar yang lebih sempurna dan professional. Kegiatan berkompang satu kegiatan yang sangat berfaedah perlu diperbanyakan demi meningkatkan rasa kasih kepada seni dan budaya. Kegiatan berkompang ini boleh diangkat sebagai satu seni persembahan yang dapat menjadi satu produk pelancongan yang baik jika kita dapat membuat satu pakej yang lebih komprehensif seperti mengandingkannya dengan nyanyian, tarian, pergerakan dan permainan individu atau berpasukan yang memperlihatkan keahlian memalu kompang.
.
Festival Kompang ini satu permulaan yang sangat baik bagi mencetuskan satu gelombang permainan kompang yang lebih bermutu dan dikembangkan ke peringkat antarabangsa. Saya berharap festival ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan membawa pembaharuan yang wajar seperti mengadakan Festival Kompang Peringkat Nusantara bagi menyaksikan permainan kompang seperti di Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei dan Filipina. Saya juga berharap ada pihak yang berminat tampil untuk membantu dari segi kewangan untuk menjayakan festival yang lebih besar yang saya harapkan. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang prihatin tentang seni ini wajar mengiatkan lagi permainan ini dengan mengadakan Festival Kompang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dengan kata lain, Festival Kompang malam tersebut adalah satu permulaan yang sangat baik untuk satu masa hadapan yang lebih cerah.
.
Kepada Saudara/i pembaca yang cintakan seni kebudayaan tradisi peninggalan orang-orang tua kita, berusahalah mencari jalan dan bersama-sama dalam mana-mana persatuan atau pertubuhan untuk bersama memartabatkan dan memperkasakan seni warisan bangsa.

Tiada ulasan: