Rabu, 11 Mac 2009

Program Bantuan Bina Rumah Baru / Baiki Rumah Rakyat Termiskin

Alhamdulillah, program bantuan memina Rumah Baru / Baiki Rumah Rakyat Termiskin yang dimulakan pada bulan November/Disember telah disiapkan. Bagi rumah-rumah baru yang dibina dikawasan baru kini menunggu bekalan air (PBA) dan letrik (TNB), manakala yang lainnya telah mula dihuni.

Untuk rekod dan makluman , sebanyak sembilan (9) buah rumah baru telah dibina. Bagi rumah yang mempunyai 3 bilik dibina dengan harga sebanyak RM 33,000.00 sebuah, manakala yang mempunyai 2-bilik berharga RM 29,000.00. Sementera itu sebanyak 19 buah rumah telah dibaiki dengan harga RM 11,000.00 sebuah. Jumlah keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM 490,000.00. Semuanya adalah dari peruntukkan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui pejabat Pembangunan Negeri. Kita perihatin dengan anggota masyarakat kita yang miskin dan susah. Kalau dicubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga. Semuanya telah diam-diam dibina tanpa hebahan. Seeloknya kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tak perlu tahu - itulah gambaran keikhlasan yang mahu diterapkan dalam semua usaha membuat kebaikan, terutamnya dalam membantu warga miskin. Malah, selama inipun, itulah yang diamalkan. Malangnya, ada dikalangan masyarakat yang jarang menilai sesuatu yang baik, yang selalu timbul adalah cemuhan, jika tersalah langkah. Ada juga yang suka mengambil kesempatan mengaku perkara yang tidak betul.

Satu kejadian yang agak menyedihkan saya telah berlaku dalam projek ini. Apabila, rumah telah siap dibina, ada orang-orang tertentu yang bersusah payah mewar-warkan atau menghebahkan kepada masyarakat bahawa rumah-rumah itu dibina oleh Kerajaan Pakatan Pulau Pinang. Saya dimaklumkan, ada pihak yang pergi kerumah orang miskin yang sedang dibina, memberikannya RM100.00 dan suruh memaklumkan kepada sesiapa yang datang melawat, tuan rumah perlu kata rumah ini Pakatan Rakyat yang buat. Saya sungguh sedih dengan perlakuan sedemikian. Tak bolehkah kita sama-sama membantu yang susah dan yang memerlukan dan bukan hanya pandai ambil kredit sahaja. Kita mencari keredhoan Ilahi, bukan percakaran sesama sendiri.

Bagi mengelakkan kekeliruan, dan memberhentikan cerita yang tidak benar, maka pihak Pembangunan Negeri telah mengarahkan setiap rumah diletakkan label bahawa rumah-rumah berkenaan adalah dibina oleh Kerajaan Persekutuan. Saya bersama rakan-rakan telah memasang label kepada 3 daripada rumah-rumah tersebut.

Marilah kita berlumba-lumba melakukan kebaikan, bersama-samalah juga menjauhkan diri dari menjadi orang fasik.

Kepada rakan-rakan semua, apabila berjumpa / bersemuka dengan orang-orang miskin yang memerlukan bantuan, segeralah memaklumkan pihak saya atau YB D.S. Hilmi, dan YB Tn. Syed Amir untuk dimasukkan dalam data e-kasih, ICU, Jabatan Perdana Menteri, bagi membolehkan bantuan dihulurkan. InsyaAllah, bersama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan bantuan. Mudah-mudahan generasi selepas mereka lebih berjaya.