Rabu, 20 Mac 2013

Keusahawanan di Balik Pulau

Artikel Yang di Keluarkan di Akhbar Utusan pada Rabu, 20hb. Mac.


1 1).  Dari sudut pandangan YB apakah Balik Pulau mempunyai potensi untuk dijadikan sebagai hub dalam memperkasakan bidang keusahawanan terutamanya dari sudut industri kecil dan sederhana ?

Balik Pulau adalah sebuah daerah yang subur dan kehijauan. Satu lembah yang dibarisi oleh bukit bukau dan disempadani oleh lautan. Sudah pasti bidang keusahawanan pertama yang sesuai berkisar dalam bidang penternakan, hasil lautan dan juga industry asas tani. Ketiga-tiga bidang ini ada sinonim dengan persekitaran maka sewajanyalah perlu dikekalkan. Akan tetapi, ketiga-tiga bidang ini memerlukan kepada pendekatan yang lebih moden, efisyen dan berimpak serta berhasilan tinggi. Penumpuan juga berterusan diberikan kepada industry mikro, terutama makanan yang berkisar proses pembuatan di bengkel didalam atau disebelah rumah.
  
Kedua, mengambil kita Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pelancungan, maka pastinya Balik Pulau berpotensi untuk di juruskan kepada pengwujudan industri sokongan kepada sector pelancungan ini.

Ketiga, Balik Pulau perlu dikekalkan sebagai kawasan hijau, perumahan berdensiti rendah, dan dibangunkan seimbang dengan persekitaran. Oleh yang demikian, salah satu industri yang bersesuaian adalah  bidang animasi dan pembangunan system kerana pelaburan dan infrastruktur untuk industry sebegini tidak memerlukan bangunan yang besar dan tinggi, sebaliknya memerlukan prasarana lebuhraya komunikasi dan bina insan yang hebat dan berpengetahuan terkini.

2) Bagi pandangan YB apakah peluang yang ada di Balik Pulau dalam memangkin keusahawanan di kalangan masyarakat setempat.

Sebagaimana yang saya sebutkan dalam temubual yang lalu yang berkisar tentang pembangunan di Balik Pulau, peluang sebenarnya terbuka luas untuk warga Balik Pulau untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawan. Adalah menjadi agenda saya juga bahawa setiap keluarga perlu ada sekurang-kurangnya seorang usahawan.

Bagi saya, semua usaha yang telah dilaksanakan oleh pimpinan setempat sejak dari dulu lagi untuk memperkasakan modal insan adalah merupakan factor terpenting yang menjadi resepi kejayaan keusahawanan di sini. Kita telah berjaya melahirkan pelajar cemerlang yang berjaya dalam bidang elektronik, electrical, otomotif, kedoktoran, ICT dan sebagainya. Semua ini sebenar untuk membuka peluang kepada mereka untuk beralih angin untuk menjadi ahli perniagaan dan yang paling saya harapkan adalah agar mereka kembali kekampung halaman untuk tinggal dan mencari rezeki disini mengikut bidang kepakaran masing. Saya berharap mereka-mereka yang berjaya itu nanti akan menjadi ikon atau idola pencetus semangat keusahawan dikalangan generasi baru. Sebab itu, sering saya katakana bahawa apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk persediaan untuk generasi Balik Pulau akan datang.

3) Bagaimana YB melihat penglibatan masyarakat terutamanya golongan belia untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan?

Putaran roda kehidupan tidak akan terhenti, tetapi semangat mungkin terhenti jika tidak dibaja secara berterusan dan berinovatif untuk memberi kesedaran baru kepada masyarakat terutamanya golongan belia.

Saya menyokong penuh wawasan kerajaan Persekutuan yang kini memberi tumpuan kepada bidang teknikal dan vokasional yang berkemahiran tinggi dalam usaha untuk memperlengkapkan rakyatnya menghadapi Negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan seterusnya. Kita di Balik Pulau telah lama menyedari keperluan ini. Kita bina Kolej Kemahiran Tinggi Mara, kita tukar status Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional, kita bina Giat Mara, kita sedang dalam pembinaan Politeknik Balik Pulau dan insyaAllah kita akan membina Universiti Teknologi MARA. Kesemua ini sebenarnya adalah untuk menyediakan tempat pembelajaran yang luas untuk dipilih oleh belia dan beliawanis di sini.

Saya juga berpendapat bahawa setiap belia kita perlu diberi peluang kedua dalam kehidupan mereka, lebih lagi bagi mencari bidang kerjaya yang bersesuaian dengan jiwa dan kelayakan mereka. Jika mereka gagal dalam bidang akedemik dalam peperiksaan PMR ataupun dalam SPM, itu tidak bermakna masa depan mereka akan gelap. Kerajaan patut bantu mereka untuk bangun dari kegagalan akedemik dizaman persekolahan dan seterusnya penyesuaian diri mereka dalam persekitaran dunia sebenar yang mencabar yang memerlukan mereka sedar bahawa hanya dengan keinsafan bahawa kejayaan tidak mencari mereka, sabar mengejar cita-cita dan tekun mengadapi cabaran sahaja yang mampu membawa mereka menuju kejayaan.

Bila mereka telah berjaya mengumpulkan kemahiran serta pengalaman, mereka boleh berjinak dan seterusnya menceburi bidang keusahawan.

Masyarakat Balik Pulau sebenarnya mengetahui dan menyedari bahawasanya salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan, dan kekayaan generasi baru Balik Pulau adalah dengan menceburi diri dalam bidang perniagaan. Para belia juga semakin sedar keadaan ini setelah mereka melihat sendiri masaalah kehidupan yang semakin terhimpit dan perumahan yang semakin diluar kemampuan mereka. Saya amat berharap agar masyarakat tidak berterusan menunding jadi menyalahkan orang lain diatas segala permasaalahan mereka sebaliknya beriltizam untuk turut serta menyokong dasar kerajaan persekutuan untuk membuat transformasi yang diperlukan untuk Balik Pulau yang cemerlang.

4) Dalam memastikan program keusahawanan di Balik Pulau berjaya, bagi YB apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pemimpin dan agensi-agensi terlibat dalam membantu masyarakat terutamanya mereka yang baru hendak menceburi bidang keusahawanan?

Saya berpendapat bahawa usahawan harus didampingi secara berterusan. Hanya darjah dan jenis bantuan sahaja berbeza mengikut status pencapaian mereka. Mereka mahu rasa dihargai. Mereka mahu suara mereka didengari. Sebenarnya mereka mahu pemimpin dan kerajaan memikirkan yang terbaik untuk mereka. Pun begitu, saya juga berharap agar para usahawan tidak berterusan mengharap bantuan kerajaan, jauh sekali dari mereka dikenali sebagai usahawan yang terlalu manja dan hanya akan bergerak setelah dibantu.

Sebagai Pengerusi Fokus Grup Ushawan saya telah berpeluang mendengar dan melihat sendiri rakan-rakan usahawan di negeri Pulau Pinang ini, di pelbagai peringkat perniagaan mereka dan didalam pelbagai jenis perniagaan. Usahawan yang berjaya adalah usahawan yang bermula dengan modal dan usaha sendiri, kemudiannya mendapatkan bantuan agensi dan selepas itu berdikari. Kesemua yang berjaya juga adalah usahawan yang komited dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kepada perniagaan mereka. Setiap masaalah mereka hadapi dengan tabah dan agensi merupakan rakan mereka apabila menemui jalan buntu.

Saya mengetahui bahawa telah banyak bantuan kewangan yang disalurkan oleh agensi-agensi kerajaan pusat kepada usahawan di Balik Pulau ini, antaranya PERDA, TEKUN, MARA, Jabatan Pertanian, FAMA, IADA, PUNB, PNS, Amanah Ikhtiar dan banyak agensi lagi. Agensi telah menunaikan amanah yang dipertanggungjawapkan kepada mereka untuk membantu usahawan, maka usahawan perlu membalas dengan menjadi usahawan yang benar-benar berjaya dan mampu berdiri diatas kaki sendiri.
               
5) Bagaimana YB melihat pencapaian masyarakat Balik Pulau dalam bidang keusahawanan ini dan apakah cabaran utama yang perlu ditempuhi bagi memastikan mereka dapat bertahan dalam perniagaan?

Semakin hari semakin banyak masyarakat Balik Pulau yang menceburi bidang keusahawan. Saya gembira dengan perkembangan ini. Walaupun kuantiti usahawan bertambah tetapi dari segi kualiti kita masih ketinggalan. Pada saya cabaran yang perlu dihadapi oleh usahawan banyak. Yang paling utama adalah bagaimana hendak mengawal nafsu mereka. Kebanyakan mereka tidak sabar dan seringkali gagal untuk mengurus kejayaan. Berjaya sikit mereka dah mula lupa diri. Ramai juga yang akhirnya terkandas kerana tidak mampu membayar balik hutang dan yang paling mendukacitakan adalah mereka tidak mahu membayar balik hutang mereka. Bila akhirnya ditimpa masaalah, mulalah mengelabah dan menyalahkan orang lain.

Ada juga sebahagian daripada mereka yang memilih jenis perniagaan kerana melihat orang lain berjaya dalam jenis perniagaan itu padahal mereka sendiri tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam jenis perniagaan itu.

Barang diingat bahawa cabaran dalam bidang keusahawan ini banyak, tetapi pulangannya juga adalah banyak dan lumayan. Tidak ada jalan mudah dalam mencapai kejayaan. Kehidupan seorang usahawan memerlukan pengorbanan dan perjuagan berterusan serta keihlasa.

6) Apakah harapan dan impian YB terhadap keusahawanan di Balik Pulau dalam tempoh 5 tahun kehadapan dan tahun-tahun berikutnya?

Pendidikan adalah agenda utama saya. Dan keusahawan adalah kerjaya pilihan yang mahu saya terapkan kepada generasi muda. Saya sendiri hanya bekerja makan gaji selama dua tahun, selepas daripada itu saya bekerja sendiri dengan membuka firma Perunding Ukur Bahan. Saya tahu perit maung menjadi seorang usahawan yang hanya berbekalkan keyakinan serta ilmu didada tanpa bantuan kewangan kerana berasal dari keluarga yang serba sederhana.

Tetapi saya yakin bahawa keusahawan dalam apa juga bentuk yang diceburi, boleh mengubah wajah generasi baru Balik Pulau dalam masa 5 tahun dan selepas daripada itu. Ini adalah kerana usahawan yang berilmu berupaya menghadapi apa jua rintangan. Saya impikan masyakarakat Balik Pulau yang progresif dan berjaya. Saya yakin mampu mencapainya jika masyarakat Balik Pulau keseluruhannya bersatu dan tidak membuang masa dengan melakukan dan melibatkan diri dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah yang boleh memudaratkan diri, keluarga dan masyarakat.

Saya amat berharap agar masyarakat Balik Pulau keseluruhannya dapat bekerja bersama saya untuk meneruskan cita-cita dan harapan membangunkan masyarakat yang lebih cemerlang.

Tiada ulasan: