Sehubungan dengan itu, saya
ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang dan
PPD Barat Daya khasnya yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan sambutan
ulangtahun Hari Guru peringkat Daerah Barat Daya pada hari ini. Sesungguhnya,
berucap didepan para guru yang saya hormati adalah satu penghormatan kepada
saya.
Melihat kepada OBJEKTIF HARI
GURU MALAYSIA, ada terdapat 6 objektif yang telah digariskan oleh pihak Kementerian. Dalam konteks
keperluan semasa, saya ingin mengajak para guru sekelian untuk memberikan
tumpuan khusus kepada usaha-usaha bagi Menitikberatkan peranan guru dalam
pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan
perkhidmatan kepada masyarakat. Saya juga ingin mengajak guru-guru yang saya
hormati semua untuk bersama kita menilai secara objektif peranan guru dengan
berlatarbelakangkan Malaysia, yang perlu mengambilkira faktor kepelbagaian
kaum, budaya, bahasa dan agama dan seterusnya mengambil langkah-langkah supaya
peranan itu diadunkan dan menjadi lebih berkesan.
Sesungguhnya, sebagai pemimpin kecil masyarakat Balik Pulau ini, seringkali saya memperingatkan diri saya dan masyarakat bahawa masa depan anak-anak kita adalah jauh lebih penting dari kita hari ini. Kesinambungan keharmonian dan perpaduan diantara rakyat Malaysia dan sesama mereka amatlah penting dan merupakan resepi terpenting dalam penentuan kejayaan dan masa depan Malaysia yang lebih cemerlang. Titik tolak pencorakan keharmonian kaum adalah bermula di sekolah. Rasa hormat menghormati, sikap toleransi, perasaan muhibbah, keakraban dan saling mengenali dan mengasihi akan wujud dalam jangkamasa yang panjang jika sekiranya ianya diterapkan dari awal umur lagi. Dengan lain perkataan, sekolah adalah merupakan institusi pertama dalam pembentukan wajah baru masa depan rakyat Malaysia.
Tentulah dalam konteks ini,
para guru mempunyai tanggungjawap yang besar untuk melakar kertas putih wajah
masa depan Negara. Jika bulat dikatakan bujur, empat segi dikatakan tiga segi,
murid akan menurut, kerana yang berkata itu adalah guru yang mengajar mereka.
Bagi mereka, guru itu serba mengetahui; guru itu senantiasa bercakap benar dan
perlu diikuti. Sesungghnya, bagi pelajar guru adalah segalanya.
Begitu juga dengan ibubapa
dirumah. Mereka menaruh penuh harapan kepada para guru disekolah. Bagi
sesetengah mereka, mereka meletakkan sepenuh harapan kepada para guru untuk
mendidik dan mengajar anak-anak mereka. Baik kata guru, baiklah kata mereka
sehingga terkadang mereka langsung tidak mengambil peduli tentang pelajaran
anak-anak mereka dan membiarkan sepenuhnya kepada kudrat guru. Untung sabut
timbul, untuk batu tenggelam. Berserah dan pasrah. Jarang sekali jalan sebegini
membuahkan kejayaan anak-anak. Saya juga melihat dengan mata pengalaman sebagai
wakil rakyat, para pelajar yang cemerlang dalam pelajaran mereka adalah para
pelajar yang mendapat perhatian dan kasih sayang dirumah ketika bersama ibu dan
bapa serta keluarga dan disekolahnya pula mendapat didikan dan ajaran yang
ditumpahkan dengan penuh keikhlasan dan kasihsayang seorang guru.
Dalam memimpin masyarakat
Balik Pulau, saya mengimpikan sebuah masyarakat yang harmoni, hidup aman dan
saling menghormati. Saya mahukan sebuah masyarakat yang dinamik dengan paksi
daya juang yang tinggi untuk berjaya dimasa depan. Saya meletakkan harapan yang
tinggi dalam penguasaan ilmu dan pemerkasaan pendidikan dalam juzuk-juzuk
kehidupan anak-anak kita dan kita sendiri. Tentulah semua ini akan hanya dapat
dicapai dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bagi
diantara guru, ibubapa dan pemimpin. Mudah-mudahan niat yang baik ini akan dipermudahkan
Illahi. Marilah kita buka episode baru dalam buku kehidupan kita. Hayatilah slogan
guru "HIDUP BERBAKTI". Amatilah ikrar guru yang mendukung terus dan
berkeyakinan dengan cita-cita murni profesyen perguruan. Guru-guru akan
berbakti kepada masyarakat dan negara tercinta. Guru-guru akan sentiasa
menjunjung Perlembagaan Negara dan akan mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun
Negara pada setiap masa.
Dengan lafaz Alhamdulillah dan
kalimah suci Bismillahirahma Nirrahim, saya merasmikan Sambutan Hari Guru
Peringkat Barat Daya Tahun 2012.
Padu berdiri di tepi istana;
Besar sungguh jasa guru,
Ilmu diberi bagai permata.
Padu berdiri di tepi istana,
Bunga hiasan naik menjadi;Ilmu diberi bagai permata,
Membina insan baik pekerti.
Bunga hiasan naik menjadi,
Bunga biru dua jambangan;
Membina insan baik pekerti,
Jasa guru dilupa jangan.
Bunga biru dua jambangan,
Cempaka baru digubah dara;Jasa guru dilupa jangan,
Tanpa guru siapalah kita.
Terima kasih Cikgu. WE love
you.
Wassalam ……
Sr. Muhamad Farid Saad
ADUN Pulau Betong