Isnin, 18 Jun 2012

Teks Ucapan Hari Guru Daerah Barat Daya

Tempat : Dewan SRJKC Chong Teik
Tarikh : 14hb, Jun, 2012

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya berasa cukup gembira dapat hadir dan berucap dihadapan para guru yang amat saya hormati sekelian. Terima kasih diatas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang di ketuai oleh Chegu Zabidi, untuk bertemu muka dengan semua guru sempena Hari Guru tahun ini.

Saya juga amat bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita semua kekuatan dan kesihatan serta kelapangan masa untuk hadir kemajlis penuh bermakna dipetang yang berbahagia ini.

TEMA sambutan tahun ini adalah "GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA" 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.

Izinkan saya menyuntik seperanggan daripada Ucapan YAB PM sempena menyambut hari guru tahun ini. “Bagi para guru, cabaran paling getir adalah bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama. Pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satu-satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. “

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.

Ada beberapa perkara atau perkataan penting (keywords) dalam ucapan YAB PM yang hendak saya tekankan dalam konteks pendidikan di Barat Daya amnya dan Balik Pulau khasnya. Iaitu, guru berkualiti, guru berinovasi, pemantapaan sekolah berinovasi dan memantapkan profesyen perguruan.

Pada tahun 2012, JUMLAH PELAJAR YANG MASUK DARJAH 1  : 3092 MURID dan ini adalah gambaran tentang jumlah pelajar baru yang akan memasuki alam persekolah setiap tahun. Dan sebanyak itulah yang akan meninggalkan bangku sekolah saban tahun.

Jika dilihat, JUMLAH PELAJAR SEKOLAH RENDAH  adalah 19,694 orang DAN jumlah pelajar di Sekolah MENENGAH adalah 10,534. Ini bermakna terdapat sebanyak 30,228 orang pelajar disekolah yang sedang belajar dipelbagai peringkat bagi  DAERAH BARAT DAYA pada tahun 2012

Dari segi bilangan guru pula, kita mempunyai seramai 1,520 guru untuk sekolah rendah dan seramai 797 orang guru di sekolah menengah. Kesemua 2,317 guru ini perlu menjaga 1,078 buah bilik darjah dan 30,228 pelajar. Kita sedar bahawa bukan mudah untuk melaksanakan profesyen perguruan ini. Tepatlah seperti kata YAB Perdana Menteri seperti yang saya sebutkan tadi. Para guru perlu menjaga, mendidik, memberi ilmu, mengajar disiplin, berinovatif dan berupaya mentransformkan dan sebagai.

Tuan-tuan dan Puan-puan para Guru yang saya hormati sekelian.

Melangkah kedepan, Saya berpendapat bahawa para guru perlu memasyarakatkan pengajaran dan pendidikan mereka. Apa yang saya maksudkan adalah berdasarkan dari perbualan saya dengan para pelajar, ilmu pengetahuan mereka dalam hal-hal berkaitan dengan masyarakat, tentang kehidupan, tentang tumbuh-tumbuhan dan persekitaran adalah berada ditahap yang rendah dan masih banyak yang perlu dipertingkatkan. Bagi saya, kehidupan kita dan alam serta persekitaran harus selari dan berganding rapat. Pengetahuun yang mudah-mudah dan yang sering dianggap remeh sebenarnya adalah mustahak dalam membentuk diri, peribadi dan jatidiri para pelajar. Contohnya tentang beras yang dimakan hari-hari. Pengetahuan asas seperti bagaimana asal-usul beras, cara ditanam, musim pengairan, cara dan jenis racun, jenis baja, kenapa hasil tidak memuaskan, kenapa racun merbahaya kepada alam sekitar, kenapa ikan-ikan mati, kenapa tidak ada lagi haruan, ikan sepat, ikan temekong dan sebagainya. Semua ini, jika diadun dengan dengan baik dan sinergistik sebenarnya akan melahirkan minat kepada para pelajar. Apabila kita boleh menghubungkaitkan kehidupan kita dengan alam dan persekitaran, kita sebenarnya merangsang minda para pelajar. Semakin hari, para pelajar kita kurang prihatin dengan alam sekitar, kerana mereka lebih prihatin dengan alam siber. Hendak bercakap dengan kawan guna sms. Nak minta sesuatu dari emak bapa, guna sms. Hendak mintak sesuatu secara berdepan takut emak dan ayah marah, jadi minta secara sms, maka terselamatlah dari leteran. Masa lapang pula dihabiskan dengan bermain video games dengan capaian internet. Tidak ada lagi interaksi secara efektif dengan rakan sebaya. Kita seolah-olah mengajar dengan membiarkan anak-anak kita untuk berinteraksi dengan besi, tanpa perasaan, tanpa wawasan. Maka lahirlah dikalangan para pelajar kita satu generasi yang berjiwa kosong. Jiwa yang tidak berpijak dialam nyata, jiwa yang terawang-awang tanpa halatuju kehidupan yang berpasak kepada reality kehidupan hari ini dan masa depan. Trend ini sebenarnya amat merbahaya, amat tidak sihat dan amat merisaukan. Saya berani berkata demikian, kerana berdasarkan pengalaman saya selama 8 tahun bersama dengan masyarakat. Saya berjumpa dengan berbagai karenah, berbagai ragam, berbagai masaalah yang memerlukan satu kaedah penyelesaian diluar kotak pemikiran biasa bagi menyelesaikan masaalah yang dulu tak biasa kita hadapi, tapi kini menjadi luar biasa yang perlu dihadapi.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.

Saya mahu mengajak para guru semua untuk bersama berfikir bagaimanakah kita hendak melestarikan masa depan generasi kita bermula dari hari ini. Saya berpendapat, Ianya boleh dilaksanakan dengan cara yang agak mudah iaitu, dalam apa juga perkara yang kita buat hari ini, kita harus memikirkan apakah yang akan berlaku kepada generasi akan datang hasil daripada tindakan kita ini. Sebagai contoh, kita adalah hasil daripada apa yang kita makan. Kalau kita makan makanan berzat dan berkhasiat, maka akan sihatlah jadinya tubuh badan kita. Kalau kita makan makanan yang tidak berzat, akan terjebaklah kita ke kancah masaalah kesihatan tubuh badan. Untuk kita nak makan makanan berkhasiat dan berzat, bukan lah bermakna kita perlu memakan makanan yang mahal-mahal, tetapi memadai dengan makanan segar yang terdapat dikelliling kita, lebih baik kalau kita mampu tanam sendiri. Jika kita mula menanam bermakna kita menjadikan tanah subur yang terbiar, akan mendatangkan hasil kepada kita. Akan menambah penampatan kita. Akan membantu kedudukan ekonomi kita. Untuk melakukan semua, semaada menanam, memilih tananam, memilih baja, menuai, pengairan dan sebagainya semuanya memerlukan ilmu pengetahuan. Dan ilmu pengetahuan ini sebenarnya boleh di perolehi di sekolah dan diluar sekolah, samaada dalam bentuk pengajaran formal mahupun tidak formal melalui kegiatan ko-kurikulum dan sebagainya. Ianya boleh dilaksanakan pada hari sabtu atau pun pada bila-bila musim cuti persekolahan. Bukan sahaja oleh guru-guru, tetapi juga melibatkan rakan-rakan kita daripada jabatan lain seperti jabatan pertanian, jabatan haiwan, jabatan kerja raya, jabatan pengairan dan saliran, pejabat daerah, pejabat belia, polis diraja Malaysia, angkatan Tentera, Bomba dan sebagainya. Saya berpendapat gandingan strategik antara jabatan dalam usaha untuk membentuk generasi hebat dan cemerlang masa depan boleh di laksanakan, kerana generasi masa depan adalah anak-anak dan cucu-cucu kita juga. Saya mahu mengikis dan membuangkan sikap nafsi-nafsi yang wujud dalam diri kita sekian lama kepada sikap ambil berat, sikap berkasih sayang, sikap muhibbah, sikap positif dalam kehidupan seharian kita. Apa yang hendak saya katakan, marilah kita bersama-sama mengubah pendekatan kita keatas kehidupan kita. Kita perlu memperbaharui hubungan kita, cara kita berfikir dan cara kita bekerja, Kita perlu memperbaiki hubungan bukan sahaja sesama manusia tetapi juga hubungan kita dengan alam dan semestinya dengan tuhan. Apa yang kita buat hari ini adalah pembentuk dan petunjuk kepada wajah generasi masa hadapan.

Saya berpendapat, jika kita dapat memasyarakatkan pengajaran dan pendidikan, secara bersama dan bersepakat, kita akan berupaya menganjak paradigma kita dalam berfikir dan merancang masa depan kita dengan lebih baik, lebih sempurna dan lebih teratur. Dan pendekatan ini harus bermula dari tahap satu sehinggalah tamat persekolahan, secara bersama, secara kolektif dan tentulah juga bermula dari diri kita sendiri sebagai guru dan pemimpin. Untuk tujuan ini, saya bercadang untuk menubuhkan Majlis Pengajaran Tidak Formal yang akan dianggotai oleh Guru besar dan Pengetua dan Pegwai dari Jabatan Berkaitan untuk perlaksanaan program. Kita mahu memberi pendedahan kehidupan dan persekitaran sebanyak mungkin kepada para pelajar dengan kerjasama rakan-rakan kita di jabatan kerajaan lainnya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.

Satu perkara besar lagi yang saya amat mengharapkan kerjasama para guru adalah berkaitan dengan kehidupan dan masa depan para pelajar selepas peperiksaan SPM. Setiap tahun terdapat lebih kurang 2500 – 3000 orang Pelajar kita yang meninggalkan bangku sekolah. Alam persekolahan dan alam selepas daripada itu adalah jauh berbeza, lebih-lebih lagi alam pekerjaan. Lazimnya, habis sahaja alam persekolahan, mereka berasa bebas dan paling suka mencari pekerjaan walaupun dengan pendapatan tak seberapa. Mereka mahu membeli motorsikal sendiri, mahu membeli rokok sendiri, mahu enjoy dengan duit sendiri. Tapi persoalannya sampai bila. Selepas tiga atau lima tahun, rakan-rakan mereka yang melanjutkan pelajaran ke menara gading pulang dengan segulung diploma atau ijazah, pulang sebagai pekerja berijazah, pulang dengan gaji RM 2,000 ke RM 3,000. Tapi mereka masih ditahap lama dengan gaji RM 800 ke RM 1200.00. Tentulah kehidupan yang berdiploma atau berijazah itu jauh lebih baik dan masa depan lebih terjamin berbanding dengan rakan-rakan mereka yang tidak mempunyai apa-apa sijil kemahiran. Senario Ini adalah sesuatu yang dapat kita duga dari awal lagi. Kita sebagai orang dewasa tentunya lebih nampak, lebih memahami, lebih bijak dalam menilai masa depan kerana kita lebih berpengalaman dalam lebih dahulu merasi asam garam kehidupan. Tetapi tidak dengan anak-anak kita. Mereka masih mentah dan terdedah serta mudah terpengaruh. Kita juga tahu bahawa masa depan, apatah lagi apabila negara menghampiri kedudukan sebagai negara berpendapatan tinggi, kehidupan pada masa itu akan menjadi lebih mencabar. Kita tidak dapat lari dari menghadapi situasi atau keadaan pada masa itu. Maka, sudah pastilah kita perlu melakukan sesuatu sekarang, membuat persediaan sebaik mungkin untuk menghadapinya. Kita akan menghadapinya dan anak-anak kita sudah pasti tidak dapat lari dari kenyataan kehidupan pada masa itu. Dan sudah barang pasti, Kemampuan kita tidak akan sama dengan anak-anak kita.

Berdasarkan kepada scenario ini, saya berharap agar kita dapat membuat persediaan bersama mulai dari sekarang. Saya berharap setiap sekolah, terutama di sekolah-sekolah Menengah memperkasakan guru-guru kaunseling dan maklumat lengkap kerjaya dan masa depan. Berikan mereka pengetahuan tentang peluang yang terbuka luas menanti mereka. Maklumkan kepada mereka bahawa memasuki Universiti bukanlah satu-satunya pilihan yang ada dan menanti mereka. Bagi mereka yang pintar itu adalah pilihan mereka. Tetapi bagi mereka yang kurang  berkebolehan dalam akedemik, mungkin pilihan terbaik untuk mereka adalah untuk mengikuti kursus-kursus terknikal dan vokasional yang banyak disediakan seperti IKM, ILP, IKBN, PerdaTech, KKTM, JMTI, JTI, GMTI dan sebagainya. Negera masih kekurangan pekerja dalam bidang teknikal dan vokasional ini. Kita yakni pemimpin, para guru dan ibubapa perlu memandu mereka dengan panduan yang baik. Para guru berada dikedudukan terbaik untuk mengumpan mereka, membuka minda mereka,  memandu arah kerjaya mereka mengikut minat mereka. Saya beriltizam, mulai tahun depan, tidak ada lagi para pelajar lepasan sekolah yang terus memasuki alam pekerjaan. Mereka harus malah diwajibkan untuk memasuki mana-mana pusat latihan teknik dan vokasional untuk mendapat sijil kemahiran demi masa depan mereka yang lebih baik dan lebih cemerlang. Jika tidak ada halangan saya mahu mewujudkan satu Majlis Kerjaya Barat Daya yang dianggotai oleh Pengetua dan Universiti serta Institut serta pusat latihan berkaitan. Kita hendak membimbing mereka dari peringkat menengah rendah lagi. InsyaAllah, bagi kedua-dua cadangan ini akan saya berikan peruntukkan secukupnya untuk perlaksanaan program yang akan disusun.

Para guru yang saya sayangi sekelian

Marilah kita sama-sama berganding bahu dengan penuh keinsafan untuk membantu generasi pelapis kita kerana Allah. Kita telah merasai keperitan kehidupan masa ini dan sudah pasti kita tidak mahu kehidupan anak-anak kita lebih teruk dari kita. Kita impikan agar kehidupan mereka lebih baik dari kita. Kita berada disini untuk mereka. Kita bergaji kerana mereka. Kita bergelar guru kerana mereka bernama murid.  Mereka adalah amanah yang kita pegang dan kita jaga. Saya yakin anda semua, para guru yang saya sayangi dan sanjung tinggi mampu membuat perubahan, mampu menyedarkan, mampu memberi sinar jaya penuh kepastian, mampu menyuluh dimalam hari, mampu memimpin disiang hari, mampu menyinar dalam kegelapan. Selamat menyambut hari guru. Terima kasih Cikgu.

Sekian. Wabilahitaufik Wal hidayah Wasalamualikum WBTH.

Tiada ulasan: