Rabu, 22 April 2009

TEXT UCAPAN YB Sr. HJ. MUHAMAD FARID HJ. SAAD, ADUN PULAU BETONG DALAM PERSIDANGAN DEWAN KE-12, 20 APRIL 2009

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Saya bangun untuk turut serta dalam usul ucapan terima kasih diatas ucapan Tuan Yang Terutama Tun dipermulaan persidangan Dewan ke Deua Belas ini.

Saya bersyukur kerana kita semua dapat bersidang pada penggal kali ini, walaupun tanpa satu kerusi yang telah dikosongkan oleh YB Penanti. Tidak sangka pulak, teguran-teguran yang saya buat pada sessi yang lepas terhadap beliau, rupa-rupanya munkin benar dan benar belaka.

Sebagai wakil rakyat, apatah lagi dari pihak pembangkang, saya akan terus menegur kerajaan negeri. Menegur bukan kerana tidak suka kerajaan negeri tetapi kerana sayangkan anak-anak negeri. Memberi penerangan dan pandangan kepada kerajaan negeri bukan kerana kerajaan negeri tidak pandai, tetapi kerana anak-anak negeri perlukan pembelaan dan kebenaran.


YB Tuan Speker,

Saya bersyukur kerana pihak kerajaan negeri turut juga prihatin dengan kemiskinan dinegeri ini. Dalam ucapan perasmian dewan, telah dinyatakan bahawa (M/S. 7. Perengan 2 (Perkara 9)) Program sosial Kerajaan Negeri telah Berjaya mencatat suatu kejayaan membanggakan rakyat dan mengharumkan nama kerajaan negeri Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama yang bebas daripada miskin tegar di Malaysia. ……. Negeri Pulau Pinang yang pertama mencapai Miskin Tegar Sifar pada 30hb. Mac

Ini merupakan satu kenyataan yang angkuh dan sombong kerajaan negeri. Mata penilaian CAT telah dikelabukan oleh perasaan yang angkuh dan sombong dan tidak berpijak dibumi nyata. Kerajaan negeri dengan sengaja terlupa bahawa kalau ada angka 9 dan kalau tak dicampur 1 takkan jadi 10. Kalau dulu guru-guru kafa diberikan pertambahan sejumlah RM 50.00 tetapi diwar-warkan bahawa kerajaan negeri telah memberikan gaji guru KAFA sebanyak RM 550.00, tanpa langsung menyembut bahawa pihak kerajaan persekutuan telah memberikan wang sejumlah RM 500.00 selama ini kepada semua guru KAFA.


Hari ini, dengan menambah sedikit wang, ada yang RM 100.00, ada yang RM 50.00, kerajaan negeri terus membuat kenyataan angkuh bahawa kerajaan negeri telah Berjaya mensifarkan miskin tegar. Bukankah lebih manis, lebih elok, lebih telus, lebih accountable, lebih cekap, kalau dikatakan bahawa kerajaan negeri telah melengkapkan sumbangan besar yang telah diberikan oleh kerajaan persekutuan dengan menjadikan jumlah pendapatan keluarga RM 500.00. Kenyataan benar itu perlu untuk mengambarkan kerajaan CAT. Jika tidak, ianya tidaklah seindah polisi CAT yang didokong kerana CAT bukanlah Cekap tapi Celarukan, bukan Akauntible tapi Angkuh, bukan Telus tapi Terpesong.


YB Tuan Speker,

Kalau kerajaan negeri adalah CAT, maka dengan penuh kesedaran dan keinsafan, tidak akan dengan angkuhnya membuat kenyataan yang mengabui mata dan perhatian rakyat. Saya tidak berhajat untuk bercakap tentang senarai-senarai penerima bantuan. Saya nak tau, kajian yang digunakan oleh pihak UPEN berdasarkan kepada kajian pihak USM, yang digabungkan dengan senarai pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pejabat daerah, dan kemudiannya diminta pihak JKKK buat kajian. Adakah itu muktamad, atau hanya setakat 15hb. Januari sahaja? Saya rasa Bukan semua JKKK yang telah lengkap membuat kajian. Bukan semua kajian adalah lengkap dan tepat. YB Penaga telah memberikan buktinya dalam perbahasan beliau. YB Sg. Dua juga telah membahas isu yang sama. Saya juga mempunyai bukti bahawa tuntutan miskin sifar negeri Pulau Pinang adalah tidak betul sama sekali. Satu kenyataan yg Celaru, yang Angkuh, dan Yang Terpesong

Kejayaan mengurangkan kadar kemiskinan dan membasmi miskin dan miskin tegar adalah program berterusan kerajaan Barisan Nasional, kerja yang telah lama bermula dan tidak pernah berhenti.

Disebabkan kerajaan negeri angkuh dengan angka-angkanya, saya dengan rendah diri ingin memaklum dewan yang mulia ini dan kepada semua yang mengikuti perbahasan ini bahawa kerajaan persekutuan telah melaksanakan projek-proejk berikut untuk membasmi kemiskinan, samaada tegar mahupun relative

YB Tuan Speaker,

Agenda Pembasmian Kemiskinan adalah agenda Persekutuan. Pengumuman Kerajaan Negeri bahawa Kemiskinan Tegar di Pulau Pinang telah dihapuskan adalah bersifat “political gimmics” dan “rhetoric”. Kerajaan Persekutuan (melalui pelbagai agensi Persekutuan) telah menyediakan pelbagai peruntukan program/projek Pembasmian Kemiskinan Pulau Pinang di bawah RMKe 9.

Antaranya Projek Menjana Pendapatan:

1. Penternakan itik dan pemprosesan telur masin (KKLW) - RM 120,000.00
2. Program Usahawan Mikro MARA – PBT (MARA) - RM 2 Juta
3. Program incubator teknikal (MARA) - RM 2 Juta
4. Program rangkai niaga (MARA) - RM 2 Juta
5. Program mikro ekonomi (PERDA) - RM 940,000.00
6. Program baikpulih rumah dan bina baru (PBR) Tahun 2008
(ICU – 19 bina baru, 56 baikpulih) - RM 1.2 Juta
7. Kem. Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah : Tahun 2008
a) RM 189,600.00 bagi PBR (3 bina baru, 11 baikpulih)
b) RM 111,551.00 bagi program peningkatan pendapatan (PPP) – 18 orang
8. Kem. Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah : tahun 2009
a) RM 836,000.00 bagi PBR (13 bina baru, 38 baikpulih)
b) RM 575,000.00 bagi PPP (telah memilih 50 orang Peserta buat masa ini)
9. Kem. Perumahan dan Kerajaan Tempatan : tahun 2008
a) RM 58,560.00 bagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di kawasan MPSP (42 orang)
10. Kem. Perumahan dan Kerajaan Tempatan :tahun 2009
a) RM 516,432.00 bagi PPKB (MPSP -240 orang , MPPP-35 orang)

Jumlah Keseluruhan : RM 10,546.000.00

Perancangan :

1. ICU tahun 2009
a) Projek Champion - RM 300,000.00
b) Program bina insan - RM 200,000.00
c) Program jalinan kasih - RM 12,525.00

2. Kem. Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah : tahun 2009
a) Program kecemerlangan pendidikan - RM 100,000.00
b) Program pembangunan minda insan - RM 100,000.00
Jumlah : RM 712,000.00

Kesungguhan Kerajaan Persekutuan untuk membasmi kemiskinan di teruskan lagi menerusi Pakej Ransangan Kedua, antaranya :

a) Perlantikan siswazah menggangur dari keluarga miskin dan miskin tegar sebagai Pengurus Projek Ekonomi Pembasmian Kemiskinan (RM 13 jutabagi seluruh Malaysia)
b) Kem. Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) - Pembinaan Bina Rumah sebanyak RM 500 juta bagi seluruh Malaysia dan RM 10 juta bagi Pulau Pinang (sebahagian besar dilaksanakan oleh RISDA).

Saya juga ingin mendapat penjelasan lanjut daripada EXCO :

1. Apakah asas yang digunakan oleh negeri dalam mengumumkan miskin tegar telah terhapus.

2. Dimanakah sumber kewangan yang diperolehi oleh negeri untuk member bantuan pembasmian kemiskinan. Saya difahamkan sumbangan dari swasta. Siapa syarikat swasta tersebut. Kuasa dan bidang kuasa negeri dalam memunggut wang dari orang ramai. Sumbangan dari syarikat untuk memperkasakan politik boleh ditafsirkan sebagai habuan dan berunsur penyelewengan. Apakah dana negeri yang diwujudkan ?

YB Tuan Speker,

Saya bersyukur kerana pihak kerajaan negeri turut juga memberi penumpuan kepada sector pelancungan dinegeri ini. Dalam ucapan perasmian dewan, telah dinyatakan bahawa (M/S. 4, Perenggan Atas (Perkara 5)) “Manakala Penang Global Tourisan s/b. bertujuan menjadi jentera pemangkin kearah sector pelancungan berikutan keputusan Kementerian Pelancungan membatalkan memorandum persetujuan berhubung kegiatan pelancungan di Pulau Pinang diantara MTPN dan Kerajaan Negeri”

Saya telah menyemak akan kenyataan ini. Memang benar MOU diantara MTPN dan Kerajaan Negeri telah dibatalkan selepas pilihanray ke-12, kerana MTPN tidak boleh bertanggungjawap dan menerima arahan dariapda EXCO Pelancungan. Ini adalah kerana pegawai-pegawai MTPN adalah bertanggungjawap kepada Menteri. Tetapi, TIDAK pernah memberhentikan pengagihan peruntukkan untuk pelancungan di negeri ini.

Dewan telah dimaklumkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Negeri telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 5 Mac, 2009. Bagi saya, Ianya bukan tepat masanya tapi telah lewat ditubuhkan kerana isu kewangan melanda seluruh dunia pada bulan oktober 2008. Kerajaan negeri sengaja melengah-lengahkan masa dan hanya menyalahkan pihak lain. Jika boleh, krisis ini disalahkan kepada pentadbiran yang lepas. Tidak ada usaha yang iklas bagi menangani krisis ini.

Telah dinyatakan bahawa tedapat 3 buah jawatankuasa telah ditubuhkan tetapi Tidak pula menghuraikan strategi-strategi bagi setiap sektor menghadapi krisis ini. Apakah strategi pelancongan dari segi pemasaran, sasaran pasaran dan produknya, misalnya tidak dihuraikan.

YB Tuan Speker,

Dewan yang mulia telah dimaklumkan tentang Penubuhan Chief Minister Incorporated, yang dikatakan akan memberi dimensi baru kepada aktibiti pelaburan. Adakan penubuhan Chief Minister Incorporated bercanggah dengan State Secretary Incorporated yang telah sedia ada dengan fungsi dan peranan yang sama? Wujud kecelaruan disini, seolah-olahnya ada jabatan dalam jabatan kerana seolah-olah Ketua Menteri tidak percaya kepada agensi-agensi sedia ada. Penubuhan CM Incorporated merangkumi semua kegiatan yang dijalankan oleh InvestPenang, PDC dan agensi yang lain. Kalau begitu, bagi mengurangkan perbelanjaan dan mengelakkan pembaziran seperti yang dinyatakan dalam CAT, lebih baik dimansuhkan sahaja InvestPenang, dan PDC kerana fungsi mereka telah diambilalih oleh CM Incorporated.

Saya ingin tahu, Mengapa kereta kabel dicadangkan dari taman Botani ke Bukit Bendera? (Pg. 11 – item 17) Bukankah tanah yang di kawasan kuari bersebelahan dengan Taman Botani merupakan sebahagian daripada projek pembesaran Taman Botani? Bayangkan hanya satu jalan saja menuju ke taman botani dan bagaimana jalan-jalan dalam kawasan perumahan tersebut dapat menampung peningkatan lalulintas, jika disana dibuat satu lagi stesyen pengangkutan ke Bukit Bendera? Adakah penubuhan Perbadanan Bukit Bendera berkait dengan cadangan kereta kabel ini? Siapakah yang mencadangkan pertalian seperti ini? Penubuhan perbadanan akan menyebabkan perbadanan ini mencari punca kewangan sendiri. Adakah udang disebalik batu? Adakah perbadanan ini akan menyerap semua tanah yang ada di bukit bendera untuk dimajukan bagi menjana punca kewangan? Adakah perbadanan ini akan dikuasai atau dipengaruhi oleh pihak yang mahu memajukan bukit bendera pada tahun 90’an? Walau pun dikatakan tender terbuka, ada maklumat mengatakan projek kereta kabel ini berkait dengan personaliti koperat Pulau Pinang yang mahu memajukan bukit bendera pada tahun 90’an. Projek kereta kabel ini juga bercanggah dengan pelan asal pembesaran taman Botani. Bagaimanakah pula dan apa akan telah dan akan terjadi kepada perancangan Taman Botani?

YB Tuan Speaker,

Kerajaan ini bukan Cat dan mungkin juga bukan CopyCat tetapi Cut and Paste. (Pg. 11 – item 17) Auto City Theme Park di Juru sebenarnya telah dipelopori oleh kerajaan BN sebelum ini dengan cadangan daripada sebuah syarikat jepun. Malahan Kerajaan BN telah memberi sokongan kepada cadangan tersebut pada bulan april 2007. Theme Park tersebut dicadangkan atas tanah seluas 3.2 hektar. Ini dilaporkan dalam akhbar the Star pada 23 April 2007. Apa sebenarnya yang baru daripada Kerajaan Cut and Paste.?

Kerajaan Cut and Paste juga mahu mengambil kredit dan cadangan pemajuan kelip-kelip atau firefly watching. Aktibiti ini lama sudah dimulakan, dipromosikan oleh bekas ADUN Jawi, Tan Cheng Liang. Beliau telah menubuhkan Majlis Pelancongan Seberang Perai Selatan pada tahun 2007 bagi mempromosikan eko pelancongan kawasan Nibong Tebal yang merangkumi kelip-kelip sungai kerian. Usaha tersebut mendapat sokongan dan bantuan kerajaan negeri ketika itu dengan membiayai pelbagai program dan usaha promosi termasuk laporan khas dalam terbitan Going Places, satu terbitan Majlis Pelancongan Negeri bersama dengan The Star. Apa yang baru oleh Kerajaan sekarang.? Semuanya di cut and paste daripada apa yang telah dirancang, dilaksana, dilakukan dan dipromosikan oleh BN.

Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri dan syabas terutamanya kepada Exco Pelancungan kerana telah berjaya mengetengahkan polisi dan carakerja pelancungan baru ‘Cut and Paste’ dalam kerajaan CAT negeri Pulau Pinang. Kerajaan negeri ini, seperti ayat YB Dato Keramat, pencelup, peniru!

Kerajaan negeri mahu memberi penumpuan kepada pelancungan berasaskan eko dan agro pelancungan. Bagus, saya amat bersetuju, kerana saya senantisa mendokong pelancungan semulajadi ini. Tetapi mereka terlupa tentang asset semulajadi yang ada dinegeri ini. Apa sudah berlaku kepada Taman Negeri atau State Park Pulau Jerjak? Apakah berlaku pula kepada Taman Negara Pulau Pinang? Jika kerajaan negeri benar-benar mahu memajukan eko pelancongan, perhatian perlu diberi kepada kedua-dua taman ini daripada Tiger Park. Contohnya, Taman Negara Pulau Pinang mempunyai satu sanktuari penyu, penyu yang datang secara semulajadi. Apakah kedudukannya sekarang? Kerajaan BN memperuntukkan hampir RM100 ribu setahun bagi pemuliharaan penyu. Apa yang dibuat kerajaan sekarang? Yang asli tidak dijaga, Yang luar dibawa masuk. Yang cut and paste mahu dijaga, Yang CAT pula dibiar merajuk.

Saya ingin menegaskan kepada Dewan yang mulia bahawa bahawa, kerajaan persekutuan telah banyak membantu sector pelancungan dinegeri ini. Malangnya tidak pernah dihargai oleh kerajaan negeri. Saya sendiri sebagai anak negeri, tidak rela membiarkan Pulau Mutiara negeri kelahiran saya ini tertinggal dalam sector pelancungan.

Kerajaan Barisan Nasional telah, sedang dan akan terus memberikan perhatian kepada sector pelancungan dinegeri ini. Untuk makluman dewan dan seluruh warga industri pelancungan suka saya maklumkan bahawa diantara projek pelancungan yang telah dan sedang dilaksanakan adalah :

1. Membina Hotel Sri Malaysia Kepala Batas (siap) - RM 35 juta
2. Sistem Keretapi Bukit Bendera (dlm perlaksanaan)- RM 60 juta
3. Naiktaraf kawasan Little India, Georgetown (siap) - RM 1.6 juta
4. Naiktaraf kemudahan Pulau Aman (siap) - RM277,000.00
5. Pemb. Muzium Perang F-2 (dijangka siap Jun 2009)- RM 5 juta
6. Pus. makanan laut Batu Kawan (dalam pembinaan) - RM 3.8 juta
7. Kemudahan pelancongan Stesen Bukit Bendera (akan mula pembinaan) - RM 5 juta
8. Pembangunan pelancongan Taman Perbandaran (dalam pembinaan) - RM 4 juta
8. Naiktaraf selenggara Chalet Sri Idaman, Teluk Tempoyak - RM 200,000.00
9. Pembangunan pelancongan Taman Botani (dalam pembinaan) - RM 7 juta
10. Peningkatan kemudahan pelancongan Taman Metropolitan Relau - RM 2 juta
11. Pembangunan Pelancongan Taman Perbandaran - RM 4 juta
JUMLAH : 127,827,000.00

Untuk maklumat dewan, dari sejumlah RM 465,400.00 yang diperuntukkan kepada Tourism Malaysia P.Pinang, sebanyak RM 240,000.00 telah diperuntukkan untuk tujuan promosi. Disamping itu, sejumlah RM 1,800,000.00 juga telah dibelanjakan oleh Kementerian Pelancungan untuk program pelancanran Homestay Pulau Pinang, Zoom! Malaysia Travel Fair di Queensbay dan Cuisine and Cultural Extravaganza Pulau Pinang. Semua ini, adalah bertujuan untuk mempromosikan bumi tersinta Pulau Pinang ini. Semua ini juga jelas membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mengambil berat tentang pelancungan di negeri ini. Biarlah Kerajaan negeri dengan Copy Catnya, Pussy Catnya, Cut and Pastenya, Kerajaan Barisan tetap rasional dan perihatin dengan masyarakat Pulau Pinang dan akan terus membantu dan membela Tourism Industry Player.

Saya juga ingin memaklumkan Dewan bahawa penubuhan Unit Polis Pelancungan bukanlah perkara baru, tetapi sebenarnya telah lama diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini.

Saya juga ingin memohon pertimbangan kerajaan negeri supaya perkhidmatan Bas Percuma yang sekarang ini hanya tertumpu kepada kawasan Bandar sahaja. Saya berpendapat bahawa, rakyat yang diluarbandar juga memerlukan perkhidmatan yang serupa. Begitu juga dengan projek ‘Cherry Blossom’ juga hanya tertumpu dikawasan Bandar saya. Saya lihat seolah-solah, rakyat negeri ini hanya ada di kawasan Bandar sahaja, kerajaan negeri seolah-olah hanya mengambilkira penduduk Bandar dan lupakan dan tidak sayang kepada penduduk luarbandar.

Satu lagi persoalan yang ditidak disenangi oleh anggota masyarakat adalah berkaitan dengan Tabung Modal Pusingan untuk membantu usahawan kecil mendapat pinjaman kewangan. PDC sebagai pelaksana telah memperuntukkan RM 500,000.00. Tabung yang telah lebihkurang 6 bulan dilancarkan, masih belum lagi mengeluarkan bantuan yang sepatutnya. Dalam jawapan kepada soalan bertulis saya berkaitan dengan perkara ini, kerajaan memberitahu bahawa "setakat ini, bantuan pinjamana belum dikeluarkan kepada mana-mana pemohon, kerana memerlukan penelitian cadangan projek dan melibatkan peraturan kewangan. Semasa melancarkan tabung ini bukan main lagi bersemangat Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri. Nama YB Mohd. Fairus terpapar diatas borang tersebut, seolah menunjukkan dialah berkuasa meluluskan pinjaman, Tapi kini dia sudah 'bersara', apa jadi kepada borang, permohonan dan program itu. Adakah rakyat ditipu lagi ? Rakyat sudah jelek mendengar alasan demi alasan.
YB Tuan Speker,
Saya ingin beralih kepada isu setempat pula.

Isu Pertama

Tahniah kepada kerajaan CAT Pulau Pinang yang mewarisi sebuah pasar yang cukup cantik di Balik Pulau.

Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada kerajaan CAT kerana berjaya menjimatkan wang MPPP kerana sampai kehari ini, masih ada janji-janji yang telah diberikan dalam jawapan kepada soalan dewan yang lepas, tetapi masih tidak ditunaikan. Kata jawapan dewan tersebut “ Saranan YB Pulau Betong adalah bertepatan. Bahagian Perlesenan MPPP telahpun merujuk kepada Jabatan Bangunan MPPP untuk memasang papan tanda Halal dan Tunjuk Arah” . Jawapan kerajaan CAT inilah yang saya berikan kepada peniaga-peniaga di pasar awam Balik Pulau.

Mereka begitu gembira bila saya tunjukkan jawapan dewan ini. Mereka kata hebat kerajaan negeri baru ini. Tapi hari ini, setelah 6 bulan berlalu mereka kata, janji hanya tinggal janji. Satu tanda arah pun takada. Yang ada hanyalah tahi cicak yang membuat tanda-tanda di merata tempat. Manis kata dibibir saja, tapi hati lain bicara, andai ini adat bekerja, polisi CAT sia-sia saja.

Mereka juga memohon supaya, kadar sewa dikurangkan. Alasannya cukup mudah. Kerajaan CAT Pulau Pinang adalah kerajaan perihatin, dan sayangkan rakyat. Kalau yang miskin tegar ditambahkan wang bagi menjadikan mereka tidak tegar, maka, mengapa tidak yang tegang urat bekerja mencari nafkah tidak dibantu juga. Mereka mahu dan merayu, mohon supaya kadar sewa dikaji semula dan dikurangkan serendah yang boleh untuk membantu mereka menghadapi situasi ekonomi yang kian mencabar. Alasan lain yang mereka berikan adalah kerana jumlah pelanggan yang terhad.

Contoh :

Astaka
Sewa : RM 120.00
Lessen : RM 36.00
Jumlah : RM 156.00 tidak termasuk api air

Bazar
Sewa : RM 160.00
Lessen : RM 30.00
Jumlah : RM 190.00 tidak termasuk api air

Pasar kering
Sewa : RM 100.00
Lessen tiada
Letrik sendiri

Market basah Ikan/ayam/sayur
Sewa : RM 130.00
Lesen tiada

Sementara itu terdapat 2 orang OKU wajar juga ditolong. Mereka bersemangat untuk berdikari tetapi tidak mampu membayar sewa yang tidak setimpal dengan pendapatan mereka. Akhirnya mereka terpaksa menggunakan wang yang mereka perolehi daripada Jab. Kebajikan Masyarakat untuk menampung membayar penyewaan mereka.


YB Tuan Speker

Isu Kedua

Saya juga ingin merujuk kepada jawapan kepada soalan dewan yang lepas. Soalan berkaitan dengan banjir kawasan berhampiran pasar awam Balik Pulau.

Jawapan yang saya terima adalah :
"…… Mengikut lapuran dari pengurus projek, tidak ada banjir berlaku di kawasan sekeliling tapak projek.”

Saya hairan kenapa permasaalahan sebegini dirujuk kepada pihak pemaju dan bukannya kepada Pejabat Daerah? Terlalu mudah untuk memberi jawapan dengan merujuk kepada pengurus projek. Kenapa tidak turun kepadang, dan rujuk sendiri kepada pemilik-pemilik rumah dan mendapatkan jawapan dari mereka. Adakah kerana mereka Ahli Gerakan makan EXCO PKR tidak boleh turun padang menanyakan khabar.

Ini adalah antara contoh terbaik untuk mengambarkan cara bekerja kerajaan CATA yang dikatakan Cekap, Akauntible dan Telus. Cekap kerana mendapat jawapan dengan cara yang paling mudah, Akauntible dengan melepaskan tanggungjawap kepada pihak ketiga dan Telus, kerana mempunyai agensi sendiri tetapi tidak mempercayai mereka!

Sekarang ini musim hujan. Dan banjir berkemungkinan akan berlaku. Saya mahu jawapan ikhlas dan telus daripada EXCO, nak selesaikan masaalah ataupun tidak. Kalau tak nak, beritau kata tak nak, supaya orang tidak mengharap seperti mengunggu durian yang tak jatuh. Kalau padi, katakan padi. Tidak mereka tertampi-tampi. Kalau sudi katakana sudi, tidak mereka ternanti-nanti.


YB Tuan Speker

Isu Ketiga

Isu ketiga ini juga saya ingin merujuk kepada jawapan kepada soalan yang lepas, iaitu berkaitan dengan pengorekan tanah bukit dan penambunan tanah sawah.

Jawapan :” pengorekan tanah bukit adalah tidak dibenarkan. Pihak mana yang melanggari syarat boleh didakwa dalam mahkamah”.

Sebagaimana pengorekan tanah bukit adalah satu kerja yang salah, maka penambunan tanah sawah di KAwasan Pengairan Sg. Burong juga adalah juga kerja yang salah dengan merujuk kepada Warta 161 Tahun 1953.

Saya mahu jawapan kepada isu ini yang telah saya hantar kepada YB Exco Pertanian melalui surat saya bertarikh 4 Mac 2009. Saya telah bermesyuarat dengan Pejabat Daerah bersama dengan JPS dan Jabatan Pertanian, tetapi mengapa sehingga kehari ini tidak ada apa-apa tindakan diamabil dikawasan tambunan tanah di Lot 421.


YB Tuan Speker

Saya telah memberikan tadi kisah benar tiga (3) isu yang telah diutarakan dalam soalan dewan yang lepas yang masih menanti penyelesaian. Kerana ketidakcekapan kerajaan negeri, kerana tiadanya akauntibiliti kerajaan negeri, kerana ketidaktelusan pengurusan kerajaan negeri maka hal-hal yang sepatutnya diselesaikan dengan kadar segara telah dilengahkan. Ditangguhkan sehingga menyusahkan rakyat. Rakyat diperkotak-katikkan sesuka hati. Janji kosong, bunyinya kuat, isinya tiada. Andai ini adat memuja, pincanglah CAT, hancurlah negeri. Musnahlah masyarakat.

Sekian, saya mohon menyokong.

Sr. MUHAMAD FARID HJ. SAAD
ADUN PULAU BETONG
22 APRIL 2009

2 ulasan:

toktambang berkata...

Salam YB,

Tahniah YB diatas isu isu yang bangkitkan,kerajaan negeri hanya menimbulkan negative perception terhadap kerajaan persekutuan dan BN khasnya. Seolah-olah BN tak buat apa-apa untuk rakyat. Walhal, bermacam-macam program dan bantuan yang kerajaan persekutuan dah atur untuk rakyat-jelata.

ADUN PULAU BETONG berkata...

Asmlkum Toktambang,
Pakatan Rakyat bermain dengan kaedah 'politic of perceptions'. Menimbulkan rasa marah dan benci sesama kita. Diumpamakan kita sebagai satu anggota badan, dicubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Sakit gigi, seluruh badan menggigil kesakitan. Dengan berniat membantu kerana Allah, insyaALLAH, kita akan merasa nikmatNya.