Selasa, 20 November 2012

" ...... perjalananku"

Saya rasa bersyukur, kerana baru-baru ini saya telah terjumpa sebuah penulisan yang telah saya karang kira-kira 14 tahun yang lalu. Saya telah menyalin semula untuk dikongsikan kepada rakan-rakan usahawan, para belia dan graduan yang baru menceburkan diri dalam bidangan keusahawan, atau yang sedang berkira-kira untuk menjadi usahawan, malahan sesiapa sahaja yang berminat untuk mengenali diri dan pengalaman saya dimasa lalu. Walaupun telah lama ditulis (14 tahun yang lalu), saya boleh tersenyum melihat dan membaca beberapa perenggan yang ditulis mengenai impian dan harapan saya sewaktu itu. Semuga ada diantara penulisan ini yang akan dapat dijadikan panduan, dan juga peransang kepada pembaca.

APABILA saya mula berfikir untuk mencari satu topik yang sesuai untuk ditulis bagi memenuhi kehendak kursus keusahawanan, saya rasa agak susah. Ini adalah kerana keusahawanan adalah satu topik yang luas, begitu menarik dan begitu bermakna dalam kehidupan saya.

Saya berpendapat bahawa adalah lebih baik dan bermenafaat untuk menulis sesuatu yang boleh, sekiranya dibaca atau diketengahkan, membuka pintu hati, memberi kesedaran dan meniupkan semangat seseorang itu untuk menjadi seorang usahawan. Setidak-tidaknya menyedarkan bahawa apa yang disabdakan oleh Rasullah S.A.W bahawa “99%” daripada rezeki adalah daripada perniagaan adalah benar dan adalah sebagai pengalak atau pemangkin kearah melahirkan seorang usahawan.

Tulisan ini sekaligus bertujuan untuk menyedarkan saya sendiri bahawa, perjalanan saya masih jauh, halangan masih banyak yang perlu ditempuhi dan apakah saya akan berjaya memburu cita-cita yang tersurat di hati sanubari.

Saya namakan tulisan ini sebagai “…………………………..Perjalananku”

Sejak dari kecil lagi saya gemar berniaga. Apabila saya berumur 11 tahun (Darjah 5), saya telah mula menjual rojak buah di sekolah petang (Sek. Ugama) dengan buah-buahan yang saya dan ayah saya tanam sendiri di sawah. Saya juga menjual ‘Sagon’ dan ‘Aiskrim Malaysia’ yang emak saya buat. Pada hujung minggu saya akan membantu bapa saudara menjual kain baju di Pasar Minggu. Saya mendapat sedikit upah akan tetapi keseronokan boleh menjual melebihi segalanya. Dalam hati kecil saya sudah mula timbul bibit-bibit sukakan perniagaan.

Apabila tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya pergi merantau ke Kuala Lumpur. Saya tinggal di Selayang Baru dan membantu orang kampung saya yang telah merantau berniaga. Di pagi hari, saya menjual daging di Pasar Selayang, petang hari menjual di kedai runcit dan malam hari menjual di warung. Sememangnya amat letih dengan kerja-kerja itu tetapi keseronokan mengatasi segalanya. Walaupun upah tak seberapa tapi ilmu dari pengalaman yang saya perolehi tidak dapat dijual beli.

Apabila saya berada di Scotland untuk melanjutkan pelajaran saya juga tetap dengan minat saya untuk mencari duit tambahan dan pengalaman berniaga. Di petang hari apabila saya lapang, saya akan mengabis masa selama lebih kurang dua jam untuk keluar berjalan dari rumah ke rumah menjual produk-produk di bawah “Betterware”.

Kerana minat yang mendalam, saya tidak kisah bekerja walaupun pada masa yang sama rakan-rakan senegara berihat ; walaupun terpaksa berjalan mengharungi salji. Upahnya berbentuk komisyen. Jadi pendapatannya bolehlah tahan. Kalau saya kerja kuat dan jualan banyak saya akan dapat pendapatan yang lebih. Yang pentingnya saya dapat mempelajari teknik perniagaan yang dijalankan dan bagaimana komisyen diagihkan.

Saya bukanlah berasal dari keluarga yang senang, perniagaan yang saya ceburi dan hasil yang saya terima dari pengorbanan masa, tenaga dan keringat saya adalah sesuatu yang amat dihargai.

Keluarga saya bukanlah keluarga ahli perniagaan yang boleh saya ikuti atau jadikan contoh. Pemerhatian keatas kejayaan orang lain, cemburu atas kejayaan mereka, irihati di atas kemewahan yang mereka perolehi adalah diantara faktor-faktor yang membakar semangat saya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Dalam kehidupan kita, kita harus mempunyai cita-cita. Cita-cita kecil atau cita-cita besar tidak penting. Yang penting adalah usaha dan ikhtiar kita dalam memastikan bahawa cita-cita kita itu tercapai. Jangan diharapkan yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Kalau tak pecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Cuba kita perhatikan diri kita. Apabila kita dilahirkan ke dunia, kita mula belajar menyebut bunyi-bunyian, kita belajar merangkak, belajar duduk, balajar berjalan dan seterusnya berlari. Siapakah yang mengajar kita bunyi, merangkak, duduk dan seterusnya? Tuhan yang Maha Kuasa mengerakkan kita untuk melakukannya. Dijadikan otot-otot dan badan kita sedemikian rupa untuk membolehkan kita bergerak. Apabila kita besar, kita sedar bahawa kita boleh berjalan dan berlari dan memanjat dan sebagai. Selepas itu kita sedar bahawa kita boleh mempercepatkan pergerakan kita itu dengan cara kita berusaha dan berlatih untuk pergerakan yang lebih sempurna. Akal fikiran yang dianugerahkan Ilahi, kita gunakan dalam membuat perkiraan, pertimbangan, penyelesaian terhadap kehendak kita itu dan begitulah seterusnya.

Bagitu jugalah dengan evolusi kesedaran kita terhadap dunia keusahawanan dan perniagaan. Ada di antara kita digerakkan hati untuk berniaga dari kecil lagi dan ada pula apabila dewasa. Ada yang cepat ada yang lambat. Kita harus percaya bahawa setiap makhluk yang dilahirkan ke dunia ini mempunyai rezeki masing-masing. Kita perlu berusaha. Banyak atau sedikit, cepat atau lambat adalah terletak di bahu kita.

Saya yakin bahawa kesedaran untuk memperolehi kehidupan yang senang ada dalam diri masing-masing, sejak dari kecil lagi. Apabila kesedaran dah ada, maka di atas diri kitalah terletaknya inisiatif untuk menjayakannya. Sepertimana kita berusaha memperbaiki ketahanan kita dalam berlari, melompat dan sebagainya, maka begitulah juga dengan kejayaan kita dalam keusahawanan. Kita perlu berlatih, berusaha dengan berterusan untuk memastikan apa yang kita hajati dapat dicapai. Apabila kita berhenti berlatih, kita akan lemah dan kalah; apabila kita berhenti berusaha kita akan tenggelam dan menghampiri kegagalan.

Apabila saya mendapat keputusan diterima memasuki Institut Teknologi MARA, saya amat bergebira dan bersyukur. Tetapi apabila saya mula berkenalan dengan kursus yang saya ambil dan apabila saya bandingkan kelulusan saya dengan kelulusan kawan-kawan saya, hati saya menjadi risau. Risau yang pertama adalah kerana kursus yang saya ambil (Quantity Surveying atau Ukur Bahan) adalah kursus yang amat asing bagi saya. Sepupu saya menasihatkan supaya diambil kursus itu disebabkan kekurangan pengetahuan, saya ikut saja.

Risau yang keduanya pula ialah apabila saya membandingkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia saya dan rakan dan juga latar belakang mereka amatlah berbeza berbanding dengan saya.

Walaubagaimanapun kerisauan itu tidak saya biarkan lama bertapak di hati saya sebaliknya saya lawankan ia dengan semangat yang berkobar-kobar bahawa tiada yang mustahil di dunia ini. Saya juga seperti mereka, punya akal untuk berfikir, punya hati untuk membuat pertimbangan dan sesungguhnya Allah S.W.T sentiasa sedia untuk menerima dan memakbulkan doa hambanya yang kuat dan rajin berusaha.

Lantas saya tetapkan satu wawasan dalam hidup dan cita-cita secara berperingkat untuk dicapai, iaitu :

1. Harus mendapat Diploma dengan C.G.P.A tidak kurang dari 3.00 mata
2. Harus meletakkan diri dala kategori pelajar cemerlang supaya mendapat tawaran MARA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri.
3. Harus berdaftar sebagai Jurukur Bahan Professional pada umur 28 tahun
4. Membuka firma sendiri apabila berumur 30 tahun.

Alhamdulillah saya sekarang berumur 35 tahun. Apakah saya berjaya mencapai cita-cita saya ? Ya dan masih lagi sedang berusaha. Saya berjaya mendapat CGPA melebihi 3.00 mata, terpilih dan ditawarkan biasiswa oleh MARA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negeri. Saya berjaya mendapat pengiktirafan sebagai Jurukur Bahan Professional pada umur 28 tahun. Saya mendaftarkan firma saya pada umur 28 tahun iaitu dua tahun lebih awal dari jangkaan saya. Saya telah menjadi majikan selama lapan tahun dan kini mempunyai dua pejabat di Alor Setar dan Petaling Jaya dengan jumlah kakitangan seramai 22 orang (dibantu oleh dua (2) pengarah di pejabat Petaling Jaya).

Kita tidak pernah dijanjikan bahawa semua yang kita usahakan, kita idamkan atau kita hajatkan akan tercapai atau dapat dicapai pada masa yang kita harapkan. Saya perlu terus berusaha dan sentiasa bersyukur dengan apa yang telah diberikan oleh Tuhan Yang Maha Permurah.

Saya amat bersyukur kerana saya di beri kesihatan, kekuatan dan ketabahan oleh Yang Maha Kuasa. Pintu rezeku dibukaNya untuk diketuk oleh semua hambaNya yang rajin berusaha.

Sementara menunggu untuk masuk fasa ke 2 dalam perancangan hidup saya iaitu apabila memasuki umur 36 tahun ke atas, saya sudah mula memikirkan perancangan saya seterusnya. Fasa kedua adalah selama 4 tahun iaitu sehingga umur saya 40 tahun.

Saya berpendapat bahawa umur di antara 30 hingga 40 tahun adalah umur untuk kita bekerja keras kerana tenaga kita pada tempoh umur ini Insyaallah diberikan Allah adalah kuat. Ini membolehkan kita bekerja tidak kira siang atau malam, tidak kira penat lelah.

Apabila mencecah umur 40 tahun, kita seharusnya lebih dewasa, lebih matang, lebih arif, lebih kukuh dari segi kewangan, ketokohan dan lebih berkeyakinan.

Dengan yang demikian, kita berada di satu kedudukan yang selesa untuk melepaskan sedikit tanggungjawab kepada kakitangan yang senior yang telah dilatih, memerhati dan menyelia pekerjaan mereka, menceburi bidang yang baru dan mula mendamping pihak-pihak berkuasa seperti Menteri-menteri, Pengarah-pengarah Kanan Pejabat Kerajaan dan duduk semeja bersama-sama dengan ahli serta tokoh perniagaan dan korporat. Insyaallah, jika dipanjangkan umur saya akan sampai ke peringkat ini.

Ingin saya berbalik kepada sejarah penubuhan firma saya dan bagaimana saya bermula, apakah halangan-halangan yang saya hadapi, apakah kekurangan-kekurangan yang saya tempuhi dan sebagainya sehinggalah kehari ini.

Firma ini saya tubuhkan pada tahun 1990. Pada masa itu, saya masih bekerja di Kuala Lumpur. Saya telah menerima dan melantik seorang kawan yang menetap di Alor Setar untuk mengendalikan pejabat di sini. Sementara itu saya memerhatinya dan berulang-alik sebulan sekali dari Kuala Lumpur. Disebabkan firma ini adalah firma professional dan ditubuhkan dengan kelulusan Lembaga Jurukur Bahan Malaysia dan tertakluk kepada Akta Parliamen, maka sudah tentulah ada perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Firma ini didaftarkan oleh saya sebagai firma pemilik Perseorangan (Sole-Proprietor). Ini bermakna, atas bahu sayalah tanggung segala ‘tanggungjawab’ (responsibilities) dan ‘liabilities’.

Apabila setahun berlalu, saya merasakan dan berpendapat bahawa terdapat beberapa tindakan telah dilakukan di luar pengetahuan saya. Selepas saya selidiki dan berpuas hati dengan penemuan saya, saya mengambil keputusan untuk kembali ke Alor Setar dan menumpukan sepenuh masa saya kepada firma ini.

Saya kembali dengan hati yang terbuka untuk menempuh segala cabaran dan dugaan saya terpaksa berkorban. Saya terpaksa melepaskan kerja saya di Firma Swasta yang pada ketika ini adalah jawatan ‘Senior’ dan menolak tawaran Pengarah. Saya terpaksa tinggal berjauhan dengan isteri dan anak saya dan saya terpaksa menjual kereta kerana tidak punya cukup modal.

Setahun yang pertama amat getir dalam kehidupan saya. Elaun saya tidak tetap, kos sara hidup isteri dan anak-anak tidak tetap. Tiada pakaian baru selama setahun. Hidup saya menumpang. Saya bukan sahaja berhadapan dengan masalah kerja tetapi juga tekanan daripada masalah keluarga.

Masa setahun berlalu begitu pantas. Saya mendapat ;pertolongan dari kawan saya daripada segi memberi semangat, bantuan kewangan dan bantuan dalam kerja-kerja saya. Beliau telah banyak membantu saya.

Di hari ini saya sungguh gembira. Gembira kerana usaha yang tidak mengenal penat-lelah, tidak mengira masa kini telah mula Nampak hasilnya. Firma saya mula dikenali dan saya tidak perlu bersusah payah berkempen di kalangan ahli professional.

Dengan penubuhan satu lagi pejabat di Petaling Jaya, saya berupaya untuk menawarkan khidmat perundingan Ukur Bahan di seluruh Malaysia, samada untuk Kerajaan mahupun pihak swasta.

Kini sudah lebih sepuluh tahun saya berkecimpung dalam bidang Ukur Bahan dan berada di penghujung Fasa Pertama perjalanan saya, saya telah mula berjinak-jinak dengan beberapa bentuk perniagaan lain yang berhubung rapat dengan profesyen saya. Ianya lebih menarik dan lebih menguntungkan. Walaubagaimana tidak dapat saya tuliskan disini kerana saya masih berjalan menghampirinya.

Saya sentiasa berharap agar segala usaha saya diberkati oleh Allah S.W.T dan mudah-mudahan agar segala usaha saya ini dan yang akan saya usahakan dipermudahkan olehNya.

Nota :

Penulisan ini dibuat pada tahun 1997, ketika membuat MBA di Universiti Utara Malaysia. Ketika itu, Malaysia (dan Asia) sedang menghadapi krisis kewangan yang teruk. Sektor pembinaan ketika itu hampir lumpuh, banyak syarikat yang gulung tikar. Firma saya bertahan. Saya mengambil keputusan untuk mengisi ruang masa (kerana tiada projek/kerja) dengan menyambung pelajaran.