TEXT UCAPAN YB Sr. MUHAMAD FARID SAAD
WAKIL PULAU PINANG
PERHIMPUNAN AGONG UMNO MALAYSIA : 21 – 23 Oktober, 2010
Izinkan saya memetik SURAH ASH-SYAM ayat 1-10, yang bermaksud :
Demi matahari dan sinarnya di pagi hari

Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi
Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada di hamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya
Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikan-Nya
Merugi bagi yang mengotori-Nya
Alhamdulillah, saya dilahirkan dari keluarga Melayu menjadikan saya berbangsa Melayu, kemudian diazankan dengan kalimah suci, menyediakan saya untuk menjalani kehidupan sebagai orang Islam dan kemudiannya didaftarkan sebagai Warganegara Malaysia. Apabila besar, setelah mengharungi kehidupan yang penuh barakah anugerah Allah SWT dengan kepimpinan cemerlang pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, maka saya memilih untuk menyokong perjuangan UMNO. Kita adalah waris pejuang yang akan beterusan memperjuangkan bangsa Melayu buka sahaja diatas kertas tetapi dipentas dunia, dinegara bernama berdaulat Malaysia. Kita bukan pewaris 30%, kita bukan penyokong Ali Baba. Kita adalah pendokong perkongsian bijak. Kita nak zahirkan kebencian kepada orang yang masih mempertikaikan keadilan sosial yang telah berjaya membangunkan Malaysia ketahap yang kita nikmati sekarang ini. Dari RMK 1 sehinggalah ke RMK 10, semua perancangan adalah untuk membangunkan kesemua rakyat Malaysia mengikut acuan kita, pengalaman kita dan kebijaksanaan pemimpin kita. Hanya orang yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih sahaja yang berterusan membenci dan berusaha mempengaruhi orang lain untuk membenci negara ini.
Perjuangan UMNO hari ini adalah kesinambungan perjuangan orang-orang Melayu yang dipimpin oleh golongan umarak dan ulamak, telah berjaya membangunkan Negara Malaysia ini. Perjuangan UMNO adalah perjuangan yang telah mengambil iktibar daripada keperitan kehidupan di zamam penjajahan. Selama 446 tahun bangsa Melayu dijajah, dijajah oleh Portugis, diikuti oleh Belanda, lepas itu Inggeris, disusuli dengan Jepun dan kemudiannya Inggeris semula. Semua ini sudah cukup untuk mematangkan kita.
Tahun depan – 2011, menandakan telah 500 tahun masa berlalu sejak kejatuhan Zaman Keagungan Kerajaan Melayu Melaka, sebuah kerajaan berteraskan perdagangan yang gah dipersada dunia. Tahun depan adalah juga akan bermulanya perlaksanaan Rancangan Malaysia ke Sepuluh, rancangan pertama dibawah kepimpinan YAB Dato Seri Najib. Tahun depan juga membawa kita masuk ke satu dekad terakhir sebelum mencecah tahun 2020 dimana Malaysia dijangkakan menjadi sebuah negara maju.
Persoalannya, dimanakah kita hari ini. Siapakah kita dan Kearah manakah hala-tuju kita dimasa akan datang. Dalam situasi apakah kita akan berada pada masa Malaysia diistiharkan sebuah negara maju. Kita yang saya maksudkan adalah orang-orang Melayu secara keseluruhannya.
YAB Presiden UMNO, selaku Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia, samaada yang menyokong atau berterusan membangkang, telah memahatkan slogan baru ‘Rakyat diDahulukan, Pencapaian diUtamakan’ dalam pentadbiran yang diharapkan dapat menganjakkan rakyat Malaysia ke episod baru Malaysia yang adil dan saksama. Adil yang bermaksud, yang kurang-ditambah, yang susah-dibantu, yang miskin-dibela, yang kaya-menginsafi, yang senang-bersimpati, yang berjaya-tidak sombong diri dan yang memimpin sentiasa prihatin. Adil juga membawa maksud, yang telah disepakati hendaklah dihormati dan bukannya kalau dah senang-lupa diri, bukannya perjuangan orang awal-dikhianati, bukannya meminta terus-tanpa mahu memberi. Kita kenang pada yang berjasa, tapi kita benci kepada orang yang sombong, lupa diri dan tidak mengenang budi. Kita tahu yang mana yang telah banyak berjasa, tetapi mereka juga perlu tahu bahawa kita telah banyak berbudi dan berkorban.
Mendahulukan rakyat, bukan bermaksud mengikut kehendak rakyat secara melulu dan juga bukan mengikut bulu. Mendahulukan rakyat harus berbentuk mengisafi kekurangan-kekurangan yang sedia dan masih wujud dikalangan rakyat keseluruhannya, lebih-lebih lagi golongan lemah, miskin dan marhain; dan dengan penuh keikhlasan membantu mereka ini.
Apakah betul tindakan dan perkerjaan kita, kalau kita semata-mata meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) dan NKRA sebagai kayu ukur pencapaian kita. Apakah cukup dan memadai jika prestasi pegawai, seterusnya jabatan, seterusnya kementerian dinilai dengan pencapaian KPI semata-mata. KPI yang dihasratkan jika tidak dipantau, dan disalahgunakan, boleh mendatangkan kemudaratan kepada jentera kerajaan. Takut nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Adalah malang jika sekiranya ada polisi-polisi yang dibuat bersifat retorik, tidak berpijak dibumi nyata, tidak melihat jauh kedalam masyarakat, tidak memahami permasaalahan sebenar bagi setiap kelompok, golongan, komuniti, daerah dan negeri yang hendak dibantu atau yang hendak dikeluarkan dari permasaalahan mereka. Kita mencadangkan agar pihak kerajaan memantau setiap polisi yang diimplimentasikan, melalui penubuhan badan khas yang dibarisi oleh para cendiakawan, ilmuan dan berpengalaman. Mereka memantau, mereka memberi nasihat, mereka membetulkan dan mereka memberi nafas baru, malahan memberhentikan sekiranya terkesan kesilapannya. Mereka harus melihat dan menilai dari kacamata penerima, yakni rakyat, dan bukannya dari kacamata penilaian pemberi. Saya berpendapat, ada polisi-polisi yang dibuat dengan jiwa yang kosong, dengan pendekatan syok sendiri dan buta warna. Polisi-polisi seperti ini adalah hebat di meja runding, panas dibilik mesyuarat berhawa dingan tetapi lemah dan pincang dilapangan. Polisi seperti inilah juga yang telah membantutkan perkembangan sosial, perkembangan ekonomi dan perkembangan orang Melayu. Polisi-polisi tidak ber’roh inilah yang telah membazirkan waktu, merugikan wang, merugikan rakyat dan membawa natijah yang burok kepada pihak kerajaan.
YAB Perdana Menteri telah mengariskan tiga prinsip Model Baru Ekonomi (NEM) yang terhasil daripada laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara NEAC – pertama : berpendapatan tinggi, kedua : kemampanan dan ketiga : keterangkuman (inclusive). Ketiga-tiga prinsip ini dikatakan akan memacu kemajuan ekonomi untuk kita menjadi sebuah negara yang membangun sepenuhnya menjelang 2020; meletakkan kedudukan negara yang berdaya saing secara strategik di dalam ekonomi serantau dan global, persekitaran yang mapan dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.
Alhamdulillah, kerana Allah SWT telah menganugerahkan idea yang bernas kepada YAB Presiden. Allahyarham Tun Abdul Razak telah meletakkan prinsip keadilan sosial dalam Dasar Ekonomi Baru, yang menjadi asas kukuh dalam agihan ekonomi dan kemajuan negara, dan hari ini anaknya pula meneruskan kesinambungan falsafah itu Model Baru Ekonomi dengan ditambahkan lagi dengan prinsip kemampanan dan keterangkuman dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi dalam mencapai wawasan 2020.
Dalam hal ini, Saya gembira diatas keperihatinan Kerajaan kerana memberi penekanan kepada golongan bawahan 40% daripada rakyat Malaysia kerana 75% daripada golongan ini adalah golongan bumiputera yang rata-ratanya tinggal diluar Bandar. Maka apa yang kami harapkan adalah supaya polisi, perancangan, peruntukan dan perlaksanaan oleh pihak kerajaan benar-benar akan dapat melahirkan masyarakat luar bandar yang berpendapatan tinggi. Ini adalah kerana ada sesetengah agensi yang ditubuh atas tujuan tertentu telah tersasar focus dalam perlaksanaannya. Adalah terlalu biasa kita lihat, semangat sesuatu program dan polisi itu akan menjadi lemah dan tersasar dengan peredaran masa. Demikian juga peruntukan yang besar, terbazir tidak memenuhi matlamat.
Seluruh dunia sekarang ini menghadapi krisis makanan (food crisis dan food security) dan Malaysia tidak akan terkecuali, jika kita tidak mengambil inisiatif tertentu sebagai persediaan. Kita sepatutnya mengambil peluang untuk menangani permasaalahan sejagat ini. Kita sedar bahawa kebanyakan orang Melayu adalah tinggal diluar bandar. Yang menyelamatkan orang kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang juga adalah kerana tanah-tanah milik mereka adalah diluar bandar, didalam zon pertanian dan jelapang padi. Malahan dinegeri-negeri lain pun, kebanyakan orang Melayu tinggal diluar bandar. Mahu atau tidak mereka inilah, yang termasuk dalam golongan 40%, yang akan menjadikan pencapaian purata pendapatan USD 15,000.00 per kapita sebagai tanda Malaysia sebuah negara yang maju menjelang 2020. Maka dengan itu, saya mengesyorkan kepada semua jentera kerajaan termasuklah kelima-lima Koridor supaya menjadikan agenda pembangunan luar bandar sebagai agenda wajib mereka. Sepertimana kata YAB Presiden – Melayu itu UMNO, UMNO itu Melayu. Tanah luar bandar itu adalah tanah orang Melayu, hilang tanah - hilang lah Melayu, hilang Melayu - maka akan hilanglah UMNO. Mereka ini perlu dibela sekarang ini, kerana merekalah yang akan membela UMNO nanti
Kita bersetuju dengan penumpuan kerajaan sekarang ini kepada 12 bidang teras ekonomi (NKEA). Terdapat 7 sektor perkhidmatan yang kebanyakkannya berkisar di kawasan bandar dan kawasan sekitar dengannya yang telahpun maju, diberi penumpuan dengan peruntukkan yang besar. Pertanian adalah salah satu daripadanya, tetapi dengan peruntukkan RMK10 yang bernisbah kecil berbanding dengan 12 bidang teras yang lain. Saya khuatir, dengan pendekatan ini, bukan sahaja jurang diantara bandar dan luar bandar semakin besar, pendapatan antara kaum dan sesama kaum diluar bandar dan bandar semakin ketara, malahan kek ekonomi negara tidak dapat dinikmati seadilnya oleh rakyat Malaysia. Tidak bermaknalah, menjadi negara maju 2020, padahal golongan bumiputera pada masa itu masih lagi berjuang mencari nafkah sesuap nasi dengan sehelai kain ditangan buat mengelap siair mata. Kita harus sedar bahawa hanya 20% daripada rakyat Malaysia mempunyai kelayakan pasca SPM; 80% adalah hanya mempunyai SPM dan kebawah. Dan daripada peratusan ini, sebahagian besar adalah mereka-mereka yang tinggal dan membesar dikawasan luar bandar dan rata-rata mereka ini adalah orang Melayu.
Kita juga mendapati Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) untuk pertanian lebih menumpukan kepada mereka yang telah berjaya dan melupakan rakyat marhain yang sebenar, yang sepatutnya diberi penumpuan. Nasihat kami, Panggilah kami yang tidak pandai ini, yang kurang pelajaran ini, yang tinggal dikampung-kampung, tetapi yang mengetahui dan menjiwai isu yang sebenarnya, untuk turut memberi pandangan. Barang diingat bahawa, masyarakat adalah university ketiga dalam system pengajaran kehidupan kita.
Kita akui bahawa dunia sekarang semakin mencabar. Kita mahu supaya kita menjadi Melayu Glokal, kita mahu supaya menjadi Towering Malay yang boleh dibanggakan, kita disuruh untuk berfikir diluar kotak untuk melakukan sesuatu yang boleh mengubah nasib kita, kita diarah mengatur strategi ala ‘blue ocean strategy’ dengan harapan agar kita akan tampil dengan kekuatan baru untuk mengimbangi kaum lain yang berada di Malaysia ini. Kita mahu mendengar kata nasihat, kita mahu berubah, kita mahu cemerlang dalam kehidupan kita. Tetapi persoalan yang tetap bermain di fikiran kita sekarang ini adalah - apakah kita mampu menjadi satu bangsa yang dihormati dinegera ini dimasa akan datang?.
Kita menjadi tuan, hanyalah apabila rumah adalah rumah kita, terbina diatas tanah milik kita, maka tidak ada siapa yang boleh menghalau kita. Akan tetapi kalau tanah yang kita pijak itu milik orang, walaupun rumah adalah milik kita, kita akan diusir dan selalunya terusir dalam keadaan yang terhina. Memang benar salah satu daripada 7 Wasiat Raja-Raja Melayu bahawa “Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;”
Tanah-tanah ketogari ini samaada tanah anugerah, tanah adat ataupun tanah simpanan melayu hanyalah berada dinegeri-negeri beraja dan tidak termasuk Pulau Pinang. Tanah-tanah di Pulau Pinang adalah tanah yang bebas dimiliki oleh sesiapa yang mampu.
Dalam tahun 1786, Francis Light telah datang dan berlabuh di Tanjung Penaga. 4 hari selepas daripada itu, terdapat 33 orang Melayu yang diketuai oleh Dato’ Janatun pergi berjumpa dengan beliau. Ini tercatit dalam catatan pengembaraan Francis Light. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu telah berada lama di Pulau Pinang. Seterusnya Nahkota Kecil membuka Batu Uban, Hj. Mohd Salleh membuka Bayan Lepas, Nahkoda Saidin membuka Teluk Kumbar dan Sungai Batu dan Lebai Tampak membuka Balik Pulau. Mengikut sejarah, kumpulan ini berserta dengan ahli keluanga dan rombongan merekalah yang membuka Pulau Pinang sebelum Francis Light dan kedatangan orang lain. Kawasan baru mereka buka dan terokai untuk dijadikan tempat tinggal dan mencari rezeki menyambung kehidupan. Tetapi hari ini, dan hal ini telah berterusan sekian lama, sedikit demi sedikit tanah mereka ini, yang diwarisi turun temurun telah dijual dan dibeli dan bertukar tangan. Akibatnya, tanah milik orang Melayu di Daerah Timur Laut hanyalah 1.16%, tanah di Balik Pulau adalah 15.07%, di Seberang Perai Utara – 44.20 %, Seberang Perai Tengah – 23.55 % dan di Seberang Perai Selatan – 18.09 %. Secara keseluruhannya tanah milik orang Melayu di Pulau Pinang dan Seberang Perai hanyalah 20.41% sahaja.
Sekali lagi saya katakan bahawa, kalau tanah bukan milik kita, walaupun rumah milik kita, kita bukan lah tuan ditempat itu dan kita akan diusir keluar pada bila-bila masa oleh pemilik tanah baru itu. Lazimnya generasi terdahulu boleh bertolak ansur untuk membenarkan kita tinggal diatas tanah ini, tetapi apabila tiba giliran generasi baru mentadbir tanah itu, tidak akan ada lagi rasa belas kasihan, tidak ada lagi perasaan kasihan kepada orang berbudi, yang ada hanya ‘you keluar dari sini, kalau tak puas hati nanti jumpa saja di mahkamah’. Maka inilah yang berlaku di Pulau Pinang sekarang ini. Pemimpin terdahulu harus menerima hakikat bahawa permasaalahan ini wujud kerana kealpaan mereka. Generasi Melayu terdahulu juga harus menerima hakikat kegagalan mereka mempertahankan hak mereka dan amanah yang mereka pegang untuk generasi hari ini. Sekarang kita perlu belajar dari kesalahan. Kita perlu menginsafi apa yang telah berlaku, sedar apa yang sedang berlaku dan harus beriltizam untuk membuat perubahan yang termampu selagi masa masih ada, selagi masih ada lagi sedikit kuasa.
Sekarang ini kerajaan negeri dibawah pimpinan DAP, sudah semakin melampau. Mereka telah mula membuka kawasan yang selama ini dipertahankan daripada dibangunkan. Contohnya, Satu lot telah dikeluarkan dari gezet Sg. Borong yang dikhaskan untuk sawah sejak dari dulu lagi dan satu kes lagi, sebahagian daripada kawasan Taman Negeri juga telah dikeluarkan untuk perumahan. Kes ini akan membuka laluan untuk pembukaan kawasan-kawasan lain dalam ketogari yang sama. Tidak hairan jika sekirannya satu hari nanti tidak akan ada lagi sawah dan kehijauan hutan di Pulau Pinang. Saya berpendapat kes ini adalah contoh penyalahgunaan kuasa untuk mendapat kuasa dan mesti diberhentikan. Pihak kerajaan persekutuan melalui kementerian perlu memandang serius perkara ini dan harus mempunyai kuasa untuk menghalang perlaksanaan ‘membuka gezet’ atau ‘de-gazette’ kawasan sensitive alam sekitar bagi semua negeri. Jika tidak, lebih cepat lagi masyarakat melayu di Pulau Pinang akan diusir keluar. Inilah adalah contoh kes peminggiran melalui polisi dan dasar selain daripada peminggiran secara fizikal, peminggiran secara saikologi dan peminggiran secara terang dan nyata.
Maka dengan yang demikian, saya merafak sembah momohon keatas Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, sebagai penaung kepada kami rakyat dinegeri tak berRaja dibawah pemerintahan negara Raja Berperlembaagan, sudi apalah kiranya keBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebagai ketua Agama Islam, melihat kedudukan kami disana. Secara umumnya Melayu adalah Islam dan Islam adalah Melayu. Ini bermakna menjaga keberadaan bangsa Melayu di Pulau Pinang adalah bermakna mengekalkan keberadaan dan kewujudan Agama Islam disana, ketiadaan bangsa Melayu bermakna tiadalah suara azan dan sunyilah bangunan Masjid. Berkurangnya bangsa Melayu bermakna sepilah masjid dan tenggelamnya suara azan. Tiada tanah bermakna tiadalah tempat tinggal.
Saya ingin menyatakan disini bahawa keadaan Melayu di Pulau Pinang adalah kritikal. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, hasil daripada maklum balas dari kesemua 13 ketua bahagian, sebanyak 60 kelompok perkampungan orang Melayu yang berpenduduk seramai 7,000 orang akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka sekarang ini adalah terbina diatas tanah milik orang.
Saya sebagai generasi pewaris, saya ingin berpesan kepada para perwakilan semua, jangan jadi macam apa yang berlaku di Pulau Pinang. Jangan biarkan sejarah berulang kedua kali. Ingatlah, sedarlah dan insaflahlah, bahawa apa yang kita miliki hari ini adalah sebagai amanah yang kita pegang untuk generasi akan datang. Kita wajib perkuatkan diri kita, keluarga kita, ekonomi kita dan kedudukan kita.
Sebagai rakyat Malaysia, kita mahu meneruskan kehidupan yang penuh keamanan dan keharmonian bersama-sama dengan kaum lain. Walaupun bahasa ibunda berbeza, walaupun adat tidak sama, walaupun agama berbeza, perasaan muhibbah dan menghormati harus tetap kekal abadi dari generasi turun kegenerasi. Jika 1Malaysia menjadi slogan penyatuan dan perpaduan baru, maka Rukunegara dan Perlembagaan Negara hendaknya jangan lah kita abaikan.
Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan kepada YAB Dato Seri Presiden dan barisan kepimpinan UMNO supaya mengambil iktibar akan perkara ini. Perjuangan untuk mempertahankan tanah kita haruslah menjadi Fardu Kifayah bagi Kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO. Sejak dari tahun 1806 orang Melayu menjadi kaum minoriti di Pulau Pinang, dan hari ini merupakan 44% daripada jumlah penduduk di Negeri itu, dan apabila menjelang tahun 2020, dianggarkan jumlah orang Melayu melebihi jumlah kaum-kaum lain di Pulau Pinang. Apakah pihak kerajaan sanggup melihat dikala Perdana Menteri ketika itu mengistiharkan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi, orang-orang melayu di Pulau Pinang pula akan hanya tinggal di rumah pangsa kos rendah, malah lebih teruk lagi tidur dalam beca sepertimana 10 orang pengusaha beca Melayu Pulau Pinang hari ini yang tidak mempunyai rumah dan tidur didalam beca.
Saya dengan penuh keinsafan memohon kepada YAB Presiden agar cubalah memahami masaalah orang-orang Melayu di Pulau Pinang. Allahyarham Ayahanda Presiden, Allahyarahm Tun Abdul Razak, dalam awal tahun 1970an, setelah mengambilkira peristiwa dalam tahun 1969, telah menubuhkan Pasukan Petugas untuk meneliti dan mengkaji rentetan peristiwa, telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Penyertaan Bumiputera yang diurusetiakan oleh unit dibawah ICU. Maka saya berharap agar YAB Presiden dapat melihat semula buku Lapuran Petugas dan semangat dan tujuan asal penubuhan Jawatan Kuasa untuk memberi roh dan semangat baru dalam ertikata menjaga, membela, memajukan serta menganjakkan nasib golongan Melayu di Pulau Pinang secara komprehensif, mampan dan inklusif. Tidak keterlaluan permintaan saya agar ianya menjadi sebahagian daripada agenda besar YAB Presiden untuk memberikan dan melaksanakan keadilan sosial yang berpaksikan perlembagaan umumnya kepada keseluruhan masyarakat dan khasnya kepada golongan yang masih lagi dibelakang.
YB Tan Sri Nor Mohamad Yakcob, sebagai Menteri dari Pulau Pinang telah menjalankan tugas dengan baik sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang. Kita berterimakasih kepada Beliau kerana telah mengadakan program khusus untuk menangani isu perumahan dan modal insan di Pulau Piang. Kita berharap usaha beliau ini akan dimantapkan lagi dengan penubuhan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera. Kita juga berharap da berterimakasih kerana dapat bernaung dibawah kebijaksanaan Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Perhubungan UMNO.
Saya mencadangkan agar Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang akan ditubuhkan berdasarkan ucapan YAB Perdana Menteri dalam pembentangan RMK10, menjadi Pemantau kepada Bahagian Penyelarasan dan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang. MTAB ini perlu diperkasakan dengan mempunyai seorang Pelaksana yang bertaraf Menteri dan mempunyai ketrampilan, kebijaksanaan dan pengalaman mentadbir, contohnya Pengerusi MARA.
Saya ingin mengesyorkan kepada MTAB secara khususnya dan kepada pihak kerajaan melalui kementerian secara keseluruhannya supaya menyediakan perkara berikut : Satu, Untuk meningkatkan keusahawan berpendapatan dan berimpak tinggi – perlu disediakan satu bentuk Pembiayaan Keusahawanan Bumiputera secara bersepadu dan berpekej. Keduanya bagi sektor pendidikan - Penumpuan harus ditumpukan kepada agenda pembangunan keupayaan dan kebolehan tenaga kerja Bumiputera diperingkat tertinggi. Dalam hal ini, biasiswa dan pinjaman harus diberi secara khusus dan bukannya berbentuk seperti sekarang ini. Ketiganya, dalam apa jua polisi dan pendekatan kerajaan, golongan miskin bandar dan luar bandar, jangan sesekali dilupakan.
Kita juga melihat bahawa dalam Bajet 2011 dan juga program dalam RMK10, pernyataan dalam hal ini adalah tidak jelas menerangkan keutamaan kepada isu-isu keterangkuman masyarakat terutamanya luar bandar. Kita mahukan program untuk pembangunan masyarakat luarbandar terutamananya untuk Bumiputera perlu dilaksanakan secara bersepadu. Semua ini adalah perlu dilaksanakan, kerana ini boleh menampakkan bahawa UMNO adalah perjuang sebenar orang Melayu, dari dulu, sekarang dan dimasa hadapan.
Kita mahu mempertahankan kelastarian kehidupan, menjaga bumi hari ini agar generasi akan datang tidak akan hidup tersiksa kerana perbuatan kita. Kawasan luar bandar harus dibangunkan agar penghijrahan besar-besaran golongan muda semata-mata untuk mengejar pekerjaan berpendapatan tinggi dibandar harus diminimakan. Jadikan kawasan luarbandar yang belum tercemar, yang belum ditelanjangi oleh kerakusan teknokrat mencari kekayaan tanpa batas kemanusian atas nama mengejar kekayaan semata, ditinggalkan begitu sahaja dek kerana program transformasi kerajaan yang tidak seimbang perlaksanaannya. Ianya perlu dilaksanakan didekad terakhir sebelum tarikh keramat 2020 ini secara bersungguh-sungguh dengan affirmative action dan dengan peruntukkan secukupnya supaya golongan itu tidak terpinggir disaat orang lain sudah maju. Ingatlah, yang jauh itu adalah masa yang berlalu, yang berat itu adalah amanah yang kita tanggung. Jangan tangguh pekerjaan yang baik, sewaktu kita punyai masa dan kuasa. Bila hilang semuanya, keluar air mata darah pun tidak ada gunannya.
Kita juga mahu supaya bagi semua GLC menjadikan agenda Sosial Business sebagai salah satu portfolio perniagaan mereka. Dengan cara ini, segala kekayaan GLC dapat juga dinikmati oleh masyarakat luar bandar secara langsung. Kepada kesemua GLC, jangan lupa diri, kerana dimana langit dijunjung, disitu bumi dipijak. Kejayaan anda semua adalah kerana pengorbanan orang Melayu yang susah sebelum kamu.
Kita masih menghirup udara dibumi milik diatas sebuah negera yang dinamakan Malaysia. Kita bersyukur. Kita sedar bahawa kejayaan yang kita perolehi sehingga kehari ini, segala kenikmatan kehidupan yang kita rasai dihari adalah kerana perjuangan semua yang menamakan diri mereka sebagi anak Malaysia. Kejayaan Malaysia hari ini adalah kerana sumbangan tenaga dan buah fikiran semua kaum yang telah hidup dalam keadaan muhibbah, hormat-menghormati dan perasaan toleransi yang telah wujud hamper 500 tahun yang lalu. Jangan biarkan binaan yang telah menaungi kita dari hujan dan panas, yang didirikan atas teras perlembagaan, yang didindingi oleh perpaduan antara kaum yang berbilang bangsa dan agama, dihancurkan oleh rasa benci yang dilahirkan kerana kedengkian dan ketamakkan.
Yang kita minta tadi, yang kita cadang tadi adalah diatas keinsafan kita, kerana kesedaran kita. Pulau Pinang sedar dan Pulau Pinang Insaf. Kesengsaraan yang kami alami sudah memadai, janganlah hendaknya dilalui sama oleh orang Melayu lain dibumi Malaysia ini. Dengan izin Allah dan kerana Allah, akan kami bangkit semula, kerana UMNO tidak kalah. Kami yakin dengan kepimpinan sekarang. Serulah semangat juang bangsa Melayu. UMNO adalah parti perjuangan orang Islam, UMNO adalah pondokong perpaduan kaum. Saya mahu sampaikan mesej kepada rakan-rakan kita di Pulau Pinang bahawa UMNO akan tetap bersama mereka : MCA, MIC, Gerakan dan PPP dalam perjuangan menentang Pakatan yang telah rosak dan telah merosakkan Pulau Pinang.
YAB Presiden, YAB Timbalan Presiden dan Pemimpin lainnya dan seluruh seisi keluarga, bersederhanalah dalam apa jua tindakan, kerana sebaik-baik pekerjaan adalah sederhana. Dikala para Pemimpin terasa senang, ingatlah mereka yang masih susah dan kesempitan dalam kehidupan, dikala para pemimpin berasa susah, ingatlah bahawa ada orang lebih susah dari diri kita. YAB dan pemimpin lainnya berada diatas kerana adanya yang dibawah. YAB dan saf kepimpinan kuat kerana sokongan dan dokongan daripada ketua-ketua bahagian dan keseluruhan ahli UMNO, maka ingat-ingatlah mereka sama. Tanggungjawap mereka adalah besar untuk memastikan yang semua yang diatas bertahan tidak jatuh kebawah, maka berterimakasihlah kepada mereka dengan penuh kasih dan sayang. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Mereka semua sayang YAB. Saya yakin, YAB Presiden akan menyayangi para perwakilan dan seluruh ahli UMNO melebihi dari mereka menyayangi YAB.

SEKIAN, PULAU PINANG MOHON MENYOKONG.
Text Ucapan disediakan oleh
YB Tn. Hj. Sr. Muhamad Farid Saad
ADUN Pulau Betong
Setiausaha Politik YB Tan Sri Nor Mohamad Yakcob
1 ulasan:
I must congratulate u on this soeech. Well written and i hope yab presiden takes note on your points
Catat Ulasan