Ahad, 21 Disember 2008

MELAYU PULAU PINANG HARUS TERUS MELANGKAH


Tuan kah kita, jika rumah yang kita huni milik kita, tapi tanah dimana rumah terbina itu milik orang lain. Akan kekal kenyangkah kita, jika setiap sesuap makanan yang masuk kemulut kita, ditanam, diternak, diniagakan oleh orang lain. Akan kekal berkuasakah kita, jika kewujudan dan kehadiran kita sering dipertikaikan. Akan lelapkah mata kita kembali menemui yang Maha Esa, jika zuriat yang ditinggalkan tidak tentu kesudahannya.

Tentunyalah, kita memerlukan satu pendekatan yang berbeza dari amalan biasa atau sekurang-kurangnya menambahbaikkan sistem yang sediada. Ianya harus dilakukan dengan hati yang terbuka dan bermula dengan penuh keinsafan, pengakuan atas kesalahan, kesilapan dan kekurangan yang berlaku sebelum ini.

Sejak dari mencapai kemerdekaan, pihak kerajaan pusat telah banyak mengadakan program untuk menyeimbangkan kemajuan kehidupan manusia dan kemanusian. Seringkali kita hanya melihat perhubungan manusia dengan manusia, sesekali kita melihat hubungan manusia dengan alam dan ada yang lupa hubungan manusia dengan Tuhannya atau Pinciptanya. Jika dilihat secara objektif, kehancuran dunia hari ini adalah kerana terdapat kecelaruan dalam mengabungkan, merencana dan melaksanakan dan ketiga-tiga hubungan ini. Keadaan orang Melayu di negeri ini juga, tidak dapat lari dari reality ini. Kita harus terima dengan hati yang terbuka.

Pemimpin Melayu dalam Kerajaan Negeri sekarang juga harus memikul tanggungjawap menyeimbangi situasi semasa untuk bangsanya. Walau apa pun potfolio yang mereka pegang, mereka seharusnya perlu dilihat membela bangsa mereka dalam ketiga-tiga hubungan itu.. Mereka perlu bekerja lima kali lebih kuat jika mereka berhasrat membela bangsa mereka. Mereka perlu menghadiri semua mesyuarat dan mengeluarkan pendapat. Suara mereka perlu didengar, kehadiran mereka mesti dihormati. Kalimah segan, malas, tidak apa, sibuk dan tak ada masa tidak boleh ada dalam kamus kerjaya mereka dan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk tidak menyumbang khidmat. Sebagai seorang islam, tertanggung tanggungjawap yang besar untuk membela agama dan bangsa mereka yang mempertahankan agama yang mereka anuti.

Apa yang kita perlukan adalah satu bentuk pembangunan yang lestari. Kita semakin kerap mendengari ungkapan ini, samaada diperingkat negara mahupun diperingkat antarabangsa. Samaada jelas difahami atau tidak, ianya merupakan satu jalan yang harus ditempuhi dalam menjadikan masyarakat Melayu di negeri ini khasnya dan Melayu diseluruh Malaysia amnya dapat hidup dalam keadaan yang berpadanan dengan perkembangan dunia sejagat dalam apa jua bentuk sekalipun, samaada berkaitan alam sekitar, pembangunan tanah dan hartanah, makanan dan tanaman, sosial dan politik, pendidikan dan modal insan.

Yang tersangat penting adalah perlunya sinergi diantara faktor tersebut. Jaringan antara faktor ini perlu ada, dipegang dipuncanya dan dipantau perlaksanaannya dan di analisa kesannya secara kualitatif dan kuantitatif.

Yang jauh meninggalkan kita adalah masa yang berlalu. Pun begitu, adalah menjadi kesalahan untuk kita mengatakan yang kita tidak punya masa untuk memperbaiki keadaan. Yang berat adalah amanah yang kita pikul, dan amanah untuk menjaga alam dunia ini ( sebagi khalifah bagi orang islam), adalah amanah yang cukup besar. Oleh yang demikian, kita seharusnya melihat bagaimana pembangunan lestari dapat dirangka, dilaksanakan dan dicapai berdasarkan kepada scenario politik, ekonomi dan sosial semasa, serta polisi kerajaan sediaada dan seterusnya penambahbaikan kepada semua yang dinyatakan dalam mewujudkan peluang-peluang baru bagi membina taraf kehidupan yang lebih baik .

Kerajaan pusat telah banyak merangka program-program sejak dari kemerdekaan dalam membangunkan negara dan masyarakat. Walaupun telah banyak membantu dalam merubah masyarakat, namun masih dilihat terdapat kepincangan dalam perlaksaanan program sehingga menimbulkan isu-isu seperti ketirisan, kegagalan mengubah cara berfikir yang dikaitkan dengan pemikiran kelas ketiga, masyarakat mudah lupa dan pembangunan modal insan. Oleh yang demikian, kita perlu menyoroti isu-isu ini dan mengetengah cara penyelesaian yang praktikal, semasa, dan bersasaran dalam memenuhi keperluan masyarakat . Contohnya, disarankan supaya pihak kerajaan mencuba kaedah alternatif dalam usaha membangun masyarakat luarbandar melalui pendekatan perniagaan yang dinamakan Syarikat Berkaitan Komuniti atau Community Linked Company (CLC). Pemimpin Melayu setempat harus menghulur tangan dan berganding bahu bersama. Diajak berbincang dan merancang dengan penuh keinsafan.

Apa yang kita harapkan adalah, pada akhirnya, kita berupaya bangkit dengan satu program bersepadu untuk masyarakat melayu Pulau Pinang dengan sebuah pendekatan yang mesra masyarakat dan berupaya membantu mengeluarkan masyarakat miskin dari kelompok kemiskinan, membina golongan pasca-miskin yang berdayasaing dan mampu bertahan mengikut perkembangan semasa. Contohnya, pihak kerajaan dan pihak korporat Melayu anak Pulau Pinang yang telah berjaya, boleh berganding bahu menyediakan satu platform ekonomi baru dalam bentuk perniagaan sosial atau ‘social business’ yang melibatkan masyarakat desa atau kota yang difokas. Bersama kita bina jatidiri, kita kuatkan semangat berdikari dan kita buang sifat nafsi-nafsi. Letaklah perjuangan bangsa melebihi perjuangan parti.

Kita sedar bahawa faktor masa bukan penghalang kepada perubahan. Perubahan tetap akan berlaku. Sebab itu, sebolehnya, perubahan didalam kawalan mesti dirancang. Perubahan diluar kawalan perlu ditangani. Kita, masyarakat Melayu dan pihak kerajaan perlu bersama, seiring sejalan, seia sekata, dalam mencari jawapan kepada kepada persoaalan yang kita ketahui dan akui tetapi agak samar dalam kesatuan hati untuk menyelesaikan kemelut sekarang ini. Contohnya, kalau pegawai tinggi kerajaan atau guru-guru Kumpulan ‘A’ yang selama ini bekerja untuk negara tanpa memikirkan keuntungan diri, kini dengan penuh kesedaran dan keinsafan mahu menabur bakti dalam usaha membina bangsanya yang tercinta melalui UMNO, maka pihak kerajaan dan kepimpinan UMNO samaada dicawangan, bahagian, negeri mahupun pusat harus memberi kelonggaran, membawa mereka bersama dalam perjuangan, melalui pendekatan berhemah.

Pun begitu, secara sedar atau pun tidak, situasi yang ideal tersebut mungkin sukar dicapai. Tetapi, haruskah kita terus berpeluk tubuh dan menunggu?

Bagi pemimpin Melayu yang sedar, tanpa mengira latarbelakang harus kerap berjumpa dan berbincang. Setiap bulan harus bertemu dan dihoskan oleh NGO Melayu yang berbeda, berbincang dalam perspektif mengikut apa yang diperjuang oleh badan NGO tersebut. Dengan cara ini, boleh mengukuhkan silaturahim, bertukar fikiran dan seterusnya mengorak langkah membina kekuatan perjuangan agama dan bangsa.

Dalam hubungan kaum pula, kita harus sedar bahawa kita tidak bersendirian dinegeri ini. Kaum lain juga mempunyai hak untuk hidup diatas bumi bertuah ini. Mereka juga inginkan kehidupan dalam keadaan aman dan damai, kemakmuran ekonomi yang boleh dikecapi dan kestabilan perhubungan antara kaum yang dilahirkan dari perasaan muhibbah, hormat menghormati dan percayai mempercayai. Dari itu, kita perlu menerima hakikat kehidupan masyarakat majmuk dinegeri ini. Kita menghormati agama ikutan mereka dan mereka menghormati agama Islam agama yang kita pilih sebagai jalan hidup kita. Kita akui bahawa perpaduan antara kaum amat penting dalam membina kekuatan Negara Malaysia. Kita sayangkan Malaysia. Bersatu dan bangkitnya orang Melayu bukanlah untuk menindas kaum lain, tetapi untuk memperbaiki kualiti bangsanya, merasai kek ekonomi yang tersedia tetapi dinikmati cuma sedikit, memperkasakan budayanya untuk membina jatidiri, mengakui kelemahannya untuk membina kekuatan, mengisafi kekurangannya bagi mencari ruang dan peluang membina bangsa yang cerdas mindanya, bijak politiknya, cekal semangatnya, bersih ekonominya, sihat tubuhnya, cemerlang akedemiknya dan kritis pemikirannya. Malaysia tanah tumpah darahku.

Kita harus menanam pokok yang boleh tumbuh subur. Pohonnya berdaun penuh untuk berteduh, lebat buahnya untuk dimakan, berkhasiat buahnya untuk mengenyangkan dan mengubati penyakit, batangnya yang keras untuk dibuat perabut, daunnya yang jatuh dijadikan baja. Bagitulah perumpamaan generasi harapan kita dimasa akan datang yang perlu kita semai dan jaga mulai sekarang. Kalau kita boleh membuat perancangan lima (5) tahun untuk Rancangan Malaysia dengan peruntukan perbelanjaannya yang besar , maka perlu juga kita merancang dengan peruntukan mencukupi untuk lima tahun pertama dan lima tahun kedua dan seterusnya untuk mengukuhkan modal insan Melayu Pulau Pinang. Contohnya, anak-anak yang hari ini di darjah 5 atau 6 sekolah rendah, dipantau pelajaran mereka (bukan sahaja ditahun-tahun peperiksaan) dan pergaulan mereka, dirangka secara berterusan pengajian mereka, maka lagi 10 tahun mereka akan pulang kekampung berbekal segulung ijazah atau pengalaman hidup untuk membina keluarga mereka, membela masyarakat mereka dan mengukuh bangsa mereka. Sementara itu, kita yang dewasa dan sedar akan kekurangan dan kelemahan yag ada harus bertahan sebagai pemegang amanah generasi Melayu akan datang. Kita mahu mereka lahir sebagai Melayu yang berjiwa besar. Bukankah itu perjuangan UMNO; demi agama, bangsa dan Negara. Hari ini kita mungkin lemah, 10 tahun lagi kita mahu bangun semula menjadi bangsa yang kuat dan dihormati. Bulat air kerana pembentung, bulat Melayu kerana muafakat. Kita bersedia ?!.

Teringat saya dalam satu pertemuan diakhir satu program dengan penarik beca Melayu Pulau Pinang, saorang abang beca berkata, “ kalaulah kami diberi kesedaran dan jati diri masa kami muda tentulah kami tidak jadi begini. Dulu, emak bapak kami orang senang, tapi kami habiskan semua duit mereka. Kamiu ada masa untuk belajar tapi kami tidak mahu belajar. Hidup kami bebas lepas. Kami punya peluang masa muda untuk bekerja, tapi kami tidak mahu. Kalau ada orang yang memberi kesedaran dan membimbing kami masa kami masih muda, tentu lah kami tak menjadi seperti ini.” Program untuk penarik beca tersebut dibuat kerana pada masa itu terdapat sepuloh orang pengusaha beca yang tidur dalam beca dan mandi ditandas awam. Kini Koperasi Pelancungan (KOPEL) telah dipertanggungjawapkan untuk menjaga kebajikan mereka. Alhamdulillah, ada juga dikalangan mereka yang mempunyai anak yang berjaya ke menara gading. Yang mana pilihan kita?

4 ulasan:

HeroHuruHara berkata...

Tegasan Tun Dr. Mahathir melalui 'Malay Dilemma' amat berpengaruh kalau dikaji perubahan dalam struktur sosio-konomi masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Kekangan adat yang melambatkan proses mematangkan ilmu dan pemikiran antara perubahan yang dapat dilihat semakin terhakis.Alhamdulillah kini kita mudah menerima sesuatu yang baru dengan lebih mudah malah kita boleh lihat pusat-pusat internet boleh beroperasi di kampung-kampung kecil tanpa ada bantahan adat.

7 tahun yang lalu cukup kuat dalam ingatan saya mana kekangan adat yang amat tegas bila pusat internet saya beroperasi di kampung Jalan Bharu,Balik Pulau. Para ustaz, guru sekolah serta wakil-wakil penduduk kampung saban hari datang melawat. Lawatan yang menghampakan saya kerana anak remaja disuruh pulang dengan sergahan dan ditegaskan supaya tidak lagi mengunjungi pusat internet saya. Objektif saya untuk memberi alternatif dalam misi penerokaan dunia luar yang maju terhalang!! Tidak saya menyalahkan masyarakat pada masa itu kerana kita umat Melayu Islam masih dalam dilemma. Memang tepat tegasan dan teguran dalam karya Tun itu.

Alhamdulillah.. Allah itu Maha Pemurah. Misi saya tidak berakhir begitu mudah..RUGI memang sudah nyata masa itu. Pengwujudan Kelas Bimbingan Tambahan yang saya usahakan dengan saudara terdekat dan dibantu dua orang pelajar USM yang bermurah hati mendapat tempat dalam masyarakat. Kerunsingan bertambah kerana majoriti pelajar yang hadir adaah pelajar yang prestasi mereka amat kritikal dan yang bakal menghadapi PMR pun masih gagal dalam ujian sifir yang saya adakan. Kuasa Allah saya berupaya menjadi 'troubleshooter' buat pelajar-pelajar ini. Dengan izin ibu bapa mereka saya mengambil mereka selama satu bulan dalam program khusus dan intensif termasuk sessi motivasi (petang,malam,hari minggu). Tujuan asal untuk mencari pendapatan dalam Pusat Bimbingan ini sudah dilupakan kerana misi menyelamatkan anak remaja ini lebih cenderung dalam hati. Alhamdulillah setengah dari mereka berjaya dan tidak keberatan saya memuji mereka dengan kata 'from ZERO to HERO'. Mereka betul-2 berjaya bukan sekadar lulus tapi kredit dalam subjek yang kritikal awalnya spt Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

Berdasar pengalaman pada masa itu saya nampak secara MAKRO kegagalan umat kita awalnya adalah disebabkan kurang perhatian terutama ibu bapa dalam perkembangan anak-anak. Secara MIKRO umat kita memang amat memandang mudah isu pendidikan. Walau saya rugi akhirnya dari segi objektif perniagaan tapi saya beroleh sesuatu yang saya sendiri tidak pernah pelajari sebelum itu..menjadi GURU , MOTIVATOR, dan PENYELESAI KONFLIK (troubleshooter) dalam satu masa!

Desakan ekonomi akhirnya membuatkan saya berundur dari bidang perniagaan ini. Hutang perniagaan itu juga baru dilangsaikan pada November lepas. Alahmdulillah saya berupaya menyelesai masalah saya sendiri...Terima Kasih buat adik-beradik yang sudi membantu walaupun menjejaskan sedikit norma bajet ekonomi mereka..Itulah Persaudaraan Sebenar... MUSLIM SOLIDARITY.

Kegagalan pertama memang pahit dan membuatkan saya patah hati. Dalam kusut Allah sekali lagi memberi ruang dengan memudahkan urusan perniagaan saya yang kedua dan yang hingga kini masih diuruskan. Membaca catatan saudara YB di Pejabat MARA Negeri yang bertajuk 'Perjalanan Ku" memberi impak motivasi sekali lagi buat saya. Catatan itu difotokopi dengan izin pegawai MARA dan dengan izin Allah itu antara bahan panduan dalam menghadapi masalah dalam mengembangkan perniagaan buat sekian tahun. Terima Kasih buat YB dengan catatan yang bermanfaat.

Hari ini saya masih lagi 'troubleshooter' tapi dalam sektor dan skop yang lebih besar iaitu syarikat perkilangan. Lebih mencabar kerana perlu mencabar minda-minda jurutera agar berkerja sebagai satu pasukan. Mencari potensi pelanggan baru untuk syarikat serta mencabar potensi saya sendiri dalam mereka bentuk produk-produk yang kompetitif dan berdaya maju. Penat berkerja makan seharian, malam hari dipenuhkan masa sebelum tidur dengan menguruskan urusan perniagaan melalui INTERNET yang dahulunya SYAITAN pada mata masyarakat.

Saya mampu merubah diri saya mengikut wahyu Allah dalam kitab suci Al-Quran. Sememangnya untuk berubah perlulah keazaman dan kefahaman agama dan ilmu duniawi yang sebenar-benarnya. Hari ini jika kita (Melayu Islam) benar bermuhasabah diri maka esok marilah kita sama-sama dalam satu Pakatan Persaudaraan Islam dan duduk dalam majlis yang sama untuk mengubah nasib umat kita.

Fahaman politik kita jauhkan dari hati kita dan letakkan semula Persaudaraan ISLAM ditempat yang teratas dan bersama kita bercakap bahasa yang sama dan bergerak dalam saf yang sama.

YB sebagai 'wire and connector' dan kami masyarakat menjadi 'current and voltage'.

ADUN PULAU BETONG, Setiausaha Politik YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata...

Terima kasih atas pandangan saudara dan balasan ulasan yang mengembirakan saya. Terima kasih kerana membaca artikel 'Perjalananku'. Selalu saya katakan, setiap dari kita mempunyai tugas dan tanggungjawap untuk memajukan masyarakat kita. Kita yang sedar harus terus membela mereka. Pengalaman saya mengajar saya untuk tidak berputus asa dan tidak mudah menyerah kalah. Pesanan arwah Ayahnda saya, "kalau kita susah, kita harus ingat bahawa ada orang yang lebih susah dari kita". Antara sebab mengapa saya mengadakan blog ini, adalah kerana saya yakin ada saudara-saudara saya diluar sana, yang juga turut memainkan peranan masing-masing untuk menjaga dan memajukan bangsa Melayu di kawasan ini kerana Allah Ta'ala. Sekali lagi terima kasih dan tahniah atas usaha-usaha saudara.

Panglima Perang Cyber berkata...

isi sudah mantap..

cuma jika bagus dapat dibuat template blog yang menarik minat pembaca datang.

itu komen saya...

yang lain ok dan harap dapat kita sama sama bersatu tak kira pangkat dalam satu wadah di siber ini yang dinamakan Blogger Pembela Negara.

BPN merentasi geografi politik demi mengumpulkan blogger perihatin nasib negara bangsa dan juga agamanya.

shahdeliklau berkata...

Pertama-tama saya terharu dengan "Hidup ini adalah perjuangan"-Hamka. Tidak saya sangka Yb juga penelaah yang hebat. Membaca tulisan tuan saya merasa sungguh terharu lantas menggamit memori perjalanan saya juga di Balik Pulau. Bermula mengikut emak saya setiap program WI dan dengan pelbagai majlis anjuran UMNO dahulu di bawah Cikgu Omar dan Hj.Fadil saya telah mula membaca pelbagai buku yang mak saya bawa pulang. Masih saya simpan buku-buku kecil bagaimana Tun mempekenalkan Dasar Penswastaan, dasar Pandang ke Timur dan pelbagai lagi buku kecil. Dan bercita-citalah saya bila besar nanti untuk terlibat dalam perkumpulan yang hebat ini.

Membesar saya tanpa Bapa yang jauh merantau mencari rezeki membuat saya begitu rapat dengan emak dan orang kampung. Bila saja ada kematian menerpa saya untuk sama mengebumikan. Bila saja ada kenduri meluru saya mendapatkan tempat favorite saya "Jaga Air Merah". Boleh dikatakan hampir semua rumah di Kampung Paya saya pernah masuk bertandang sama ada semasa hari raya atau kenduri kendara. Emak saya pesan bapa tak ada maka hang dengan abang hang lah yang kena bercampur dengan orang kampung.

Nmaun sekarang saya jauh disini terasa cukup terharu dengan blog ini ditambah pula kata-kata ulasan YB
"Antara sebab mengapa saya mengadakan blog ini, adalah kerana saya yakin ada saudara-saudara saya diluar sana, yang juga turut memainkan peranan masing-masing untuk menjaga dan memajukan bangsa Melayu di kawasan ini kerana Allah Ta'ala."

Nampaknya ulasan YB dan ruang YB buka ini akan menjadi forum untuk bersama memberi idea pada membangunkan modal insan khususnya warga Balik Pulau yang sememangnya harus disedarkan...dari hanya terus memberi fokus untuk makan gaji...antara kilang, hotel dan kedai makan apa lagi yang mampu untuk dimimpikan oleh mereka.

Insaya Allah YB masing-masing kita mempunyai peranan bagi memperjuangkan halatuju warga kita.

Dikesempatan ini saya inginn memohon sedikit bantuan untuk YB memperuntukan sedikit masa YB melihat perkembangan saudara Bakhtiar Effendy (Bagan) yang sedang mengusahakan penanaman cili secara fertigasi. saya dimaklumkan bahawa Yb juga seorang yang terlibat secara langsung dengan mesyuarat program pertanian dengan agensi-agensi dibawah MOA. Mungkin YB dapat menggesa mereka untuk turun bersama membantu menaikan usahawan yang sedang cuba bangkit untuk mengusahakan sesuatu.

Insya Allah saya juga cuba sedaya upaya membantu sekiranya diperlukan dengan kampasiti saya di MARDI mungkin dari segi khidmat nasihat yang boelh saya dapatkan daripada pakar yang berada di sini.

Mungkin YB kenal saudara "Ramli Omar " MARDI Seberang Perai. Beliau berkata mengenali YB semasa mesyuarat. Lalu berceritalah kami semasa menghadiri satu kursus kaunseling dan Rakan Pembimbing di Lumut tentang hasrat bagaimana mahu memajukan usahawan.

Biar apa pun juga...Balik Pulau Tetap dihatiku sebagaimana yang saya nyatakan dalam blog saya My Sweet Home Balik Pulau.