Selasa, 30 Disember 2008

Program Gerak Usahawan Barat Daya

Program Gerak Usahawan Peringkat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) Barat Daya telah berjaya dilaksanakan pada 29 dan 30 hb. November, 2008 bertempat di Kompleks Pasar Awam Balik Pulau. Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato' Noh bin Hj. Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.


Antara agensi yang terlibat dan telah memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan program ini adalah MARA (Urusetia), PERDA, PDC, TEKUN, UDA, Bank Rakyat, Bank SME, Agra Bank, PKK, RELA, Pejabat Daerah Barat Daya dan FAMA. Terimakasih atas penat lelah rakan-rakan semua, dari mula bermesyuarat hinggalah keakhir program. Sebagai Pengerusi MPUD, saya cukup berbangga dengan kerjasama anda semua.



YB Menteri juga telah menyampaikan sumbangan pembiayaan projek/geran yang berjumlah
4,338,000.00 kepada 14 penerima. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM 2,518,100.00 adalah untuk peminjan-peminjam TEKUN NASIONAL bagi kawasan Balik Pulau dan Bayan Baru. Seramai 6 orang kontraktor telah diberikan lesen Kelas 'D' yang dikeluarkan oleh pihak Pusat Khidmat Kontraktor. Tahniah ! dan Syabas ! kepada semua penerima. Saya tumpang gembira dan mendoakan kejayaan saudara dan saudari semua dalam bidang yang diceburi.
Setiap hari, lebih 1000 orang telah mengunjungi sejumlah 92 booth yang telah disediakan. Sejumlah 45 usahawan tempatan dan 16 usahawan luar telah mengambil bahagian. Antara produk/usahawan yang mengambil bahagian adalah untuk produk-produk makanan dan minuman, produk makanan sejuk beku, produk herba, urut tradisional & homeopathy, produk kecantikan, butik dan pakaian, keraftangan dan lain-lain. Seminar/Bengkel keusahawan juga telah diadakan dengan penyertaan lebih 100 orang usahawan

Kepada semua Pemamer dan Pengerai yang telah mengambil bahagian, terimakasih atas masa dan tenaga. Daripada tinjauan saya dan urusetia, saya difahamkan secara keseluruhan, hasil jualan adalah memuaskan walaupun pada hari pertama hujan. Saya menghargai kesabaran anda semua. Sekali melangkah kedalam dunia perniagaan, anda harus terus melangkah dengan penuh kesabaran, kerana pintu rezeki Allah, insyaAllah senantiasa terbuka untuk kita semua yang mahu berusaha.

Ahad, 21 Disember 2008

MELAYU PULAU PINANG HARUS TERUS MELANGKAH


Tuan kah kita, jika rumah yang kita huni milik kita, tapi tanah dimana rumah terbina itu milik orang lain. Akan kekal kenyangkah kita, jika setiap sesuap makanan yang masuk kemulut kita, ditanam, diternak, diniagakan oleh orang lain. Akan kekal berkuasakah kita, jika kewujudan dan kehadiran kita sering dipertikaikan. Akan lelapkah mata kita kembali menemui yang Maha Esa, jika zuriat yang ditinggalkan tidak tentu kesudahannya.

Tentunyalah, kita memerlukan satu pendekatan yang berbeza dari amalan biasa atau sekurang-kurangnya menambahbaikkan sistem yang sediada. Ianya harus dilakukan dengan hati yang terbuka dan bermula dengan penuh keinsafan, pengakuan atas kesalahan, kesilapan dan kekurangan yang berlaku sebelum ini.

Sejak dari mencapai kemerdekaan, pihak kerajaan pusat telah banyak mengadakan program untuk menyeimbangkan kemajuan kehidupan manusia dan kemanusian. Seringkali kita hanya melihat perhubungan manusia dengan manusia, sesekali kita melihat hubungan manusia dengan alam dan ada yang lupa hubungan manusia dengan Tuhannya atau Pinciptanya. Jika dilihat secara objektif, kehancuran dunia hari ini adalah kerana terdapat kecelaruan dalam mengabungkan, merencana dan melaksanakan dan ketiga-tiga hubungan ini. Keadaan orang Melayu di negeri ini juga, tidak dapat lari dari reality ini. Kita harus terima dengan hati yang terbuka.

Pemimpin Melayu dalam Kerajaan Negeri sekarang juga harus memikul tanggungjawap menyeimbangi situasi semasa untuk bangsanya. Walau apa pun potfolio yang mereka pegang, mereka seharusnya perlu dilihat membela bangsa mereka dalam ketiga-tiga hubungan itu.. Mereka perlu bekerja lima kali lebih kuat jika mereka berhasrat membela bangsa mereka. Mereka perlu menghadiri semua mesyuarat dan mengeluarkan pendapat. Suara mereka perlu didengar, kehadiran mereka mesti dihormati. Kalimah segan, malas, tidak apa, sibuk dan tak ada masa tidak boleh ada dalam kamus kerjaya mereka dan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk tidak menyumbang khidmat. Sebagai seorang islam, tertanggung tanggungjawap yang besar untuk membela agama dan bangsa mereka yang mempertahankan agama yang mereka anuti.

Apa yang kita perlukan adalah satu bentuk pembangunan yang lestari. Kita semakin kerap mendengari ungkapan ini, samaada diperingkat negara mahupun diperingkat antarabangsa. Samaada jelas difahami atau tidak, ianya merupakan satu jalan yang harus ditempuhi dalam menjadikan masyarakat Melayu di negeri ini khasnya dan Melayu diseluruh Malaysia amnya dapat hidup dalam keadaan yang berpadanan dengan perkembangan dunia sejagat dalam apa jua bentuk sekalipun, samaada berkaitan alam sekitar, pembangunan tanah dan hartanah, makanan dan tanaman, sosial dan politik, pendidikan dan modal insan.

Yang tersangat penting adalah perlunya sinergi diantara faktor tersebut. Jaringan antara faktor ini perlu ada, dipegang dipuncanya dan dipantau perlaksanaannya dan di analisa kesannya secara kualitatif dan kuantitatif.

Yang jauh meninggalkan kita adalah masa yang berlalu. Pun begitu, adalah menjadi kesalahan untuk kita mengatakan yang kita tidak punya masa untuk memperbaiki keadaan. Yang berat adalah amanah yang kita pikul, dan amanah untuk menjaga alam dunia ini ( sebagi khalifah bagi orang islam), adalah amanah yang cukup besar. Oleh yang demikian, kita seharusnya melihat bagaimana pembangunan lestari dapat dirangka, dilaksanakan dan dicapai berdasarkan kepada scenario politik, ekonomi dan sosial semasa, serta polisi kerajaan sediaada dan seterusnya penambahbaikan kepada semua yang dinyatakan dalam mewujudkan peluang-peluang baru bagi membina taraf kehidupan yang lebih baik .

Kerajaan pusat telah banyak merangka program-program sejak dari kemerdekaan dalam membangunkan negara dan masyarakat. Walaupun telah banyak membantu dalam merubah masyarakat, namun masih dilihat terdapat kepincangan dalam perlaksaanan program sehingga menimbulkan isu-isu seperti ketirisan, kegagalan mengubah cara berfikir yang dikaitkan dengan pemikiran kelas ketiga, masyarakat mudah lupa dan pembangunan modal insan. Oleh yang demikian, kita perlu menyoroti isu-isu ini dan mengetengah cara penyelesaian yang praktikal, semasa, dan bersasaran dalam memenuhi keperluan masyarakat . Contohnya, disarankan supaya pihak kerajaan mencuba kaedah alternatif dalam usaha membangun masyarakat luarbandar melalui pendekatan perniagaan yang dinamakan Syarikat Berkaitan Komuniti atau Community Linked Company (CLC). Pemimpin Melayu setempat harus menghulur tangan dan berganding bahu bersama. Diajak berbincang dan merancang dengan penuh keinsafan.

Apa yang kita harapkan adalah, pada akhirnya, kita berupaya bangkit dengan satu program bersepadu untuk masyarakat melayu Pulau Pinang dengan sebuah pendekatan yang mesra masyarakat dan berupaya membantu mengeluarkan masyarakat miskin dari kelompok kemiskinan, membina golongan pasca-miskin yang berdayasaing dan mampu bertahan mengikut perkembangan semasa. Contohnya, pihak kerajaan dan pihak korporat Melayu anak Pulau Pinang yang telah berjaya, boleh berganding bahu menyediakan satu platform ekonomi baru dalam bentuk perniagaan sosial atau ‘social business’ yang melibatkan masyarakat desa atau kota yang difokas. Bersama kita bina jatidiri, kita kuatkan semangat berdikari dan kita buang sifat nafsi-nafsi. Letaklah perjuangan bangsa melebihi perjuangan parti.

Kita sedar bahawa faktor masa bukan penghalang kepada perubahan. Perubahan tetap akan berlaku. Sebab itu, sebolehnya, perubahan didalam kawalan mesti dirancang. Perubahan diluar kawalan perlu ditangani. Kita, masyarakat Melayu dan pihak kerajaan perlu bersama, seiring sejalan, seia sekata, dalam mencari jawapan kepada kepada persoaalan yang kita ketahui dan akui tetapi agak samar dalam kesatuan hati untuk menyelesaikan kemelut sekarang ini. Contohnya, kalau pegawai tinggi kerajaan atau guru-guru Kumpulan ‘A’ yang selama ini bekerja untuk negara tanpa memikirkan keuntungan diri, kini dengan penuh kesedaran dan keinsafan mahu menabur bakti dalam usaha membina bangsanya yang tercinta melalui UMNO, maka pihak kerajaan dan kepimpinan UMNO samaada dicawangan, bahagian, negeri mahupun pusat harus memberi kelonggaran, membawa mereka bersama dalam perjuangan, melalui pendekatan berhemah.

Pun begitu, secara sedar atau pun tidak, situasi yang ideal tersebut mungkin sukar dicapai. Tetapi, haruskah kita terus berpeluk tubuh dan menunggu?

Bagi pemimpin Melayu yang sedar, tanpa mengira latarbelakang harus kerap berjumpa dan berbincang. Setiap bulan harus bertemu dan dihoskan oleh NGO Melayu yang berbeda, berbincang dalam perspektif mengikut apa yang diperjuang oleh badan NGO tersebut. Dengan cara ini, boleh mengukuhkan silaturahim, bertukar fikiran dan seterusnya mengorak langkah membina kekuatan perjuangan agama dan bangsa.

Dalam hubungan kaum pula, kita harus sedar bahawa kita tidak bersendirian dinegeri ini. Kaum lain juga mempunyai hak untuk hidup diatas bumi bertuah ini. Mereka juga inginkan kehidupan dalam keadaan aman dan damai, kemakmuran ekonomi yang boleh dikecapi dan kestabilan perhubungan antara kaum yang dilahirkan dari perasaan muhibbah, hormat menghormati dan percayai mempercayai. Dari itu, kita perlu menerima hakikat kehidupan masyarakat majmuk dinegeri ini. Kita menghormati agama ikutan mereka dan mereka menghormati agama Islam agama yang kita pilih sebagai jalan hidup kita. Kita akui bahawa perpaduan antara kaum amat penting dalam membina kekuatan Negara Malaysia. Kita sayangkan Malaysia. Bersatu dan bangkitnya orang Melayu bukanlah untuk menindas kaum lain, tetapi untuk memperbaiki kualiti bangsanya, merasai kek ekonomi yang tersedia tetapi dinikmati cuma sedikit, memperkasakan budayanya untuk membina jatidiri, mengakui kelemahannya untuk membina kekuatan, mengisafi kekurangannya bagi mencari ruang dan peluang membina bangsa yang cerdas mindanya, bijak politiknya, cekal semangatnya, bersih ekonominya, sihat tubuhnya, cemerlang akedemiknya dan kritis pemikirannya. Malaysia tanah tumpah darahku.

Kita harus menanam pokok yang boleh tumbuh subur. Pohonnya berdaun penuh untuk berteduh, lebat buahnya untuk dimakan, berkhasiat buahnya untuk mengenyangkan dan mengubati penyakit, batangnya yang keras untuk dibuat perabut, daunnya yang jatuh dijadikan baja. Bagitulah perumpamaan generasi harapan kita dimasa akan datang yang perlu kita semai dan jaga mulai sekarang. Kalau kita boleh membuat perancangan lima (5) tahun untuk Rancangan Malaysia dengan peruntukan perbelanjaannya yang besar , maka perlu juga kita merancang dengan peruntukan mencukupi untuk lima tahun pertama dan lima tahun kedua dan seterusnya untuk mengukuhkan modal insan Melayu Pulau Pinang. Contohnya, anak-anak yang hari ini di darjah 5 atau 6 sekolah rendah, dipantau pelajaran mereka (bukan sahaja ditahun-tahun peperiksaan) dan pergaulan mereka, dirangka secara berterusan pengajian mereka, maka lagi 10 tahun mereka akan pulang kekampung berbekal segulung ijazah atau pengalaman hidup untuk membina keluarga mereka, membela masyarakat mereka dan mengukuh bangsa mereka. Sementara itu, kita yang dewasa dan sedar akan kekurangan dan kelemahan yag ada harus bertahan sebagai pemegang amanah generasi Melayu akan datang. Kita mahu mereka lahir sebagai Melayu yang berjiwa besar. Bukankah itu perjuangan UMNO; demi agama, bangsa dan Negara. Hari ini kita mungkin lemah, 10 tahun lagi kita mahu bangun semula menjadi bangsa yang kuat dan dihormati. Bulat air kerana pembentung, bulat Melayu kerana muafakat. Kita bersedia ?!.

Teringat saya dalam satu pertemuan diakhir satu program dengan penarik beca Melayu Pulau Pinang, saorang abang beca berkata, “ kalaulah kami diberi kesedaran dan jati diri masa kami muda tentulah kami tidak jadi begini. Dulu, emak bapak kami orang senang, tapi kami habiskan semua duit mereka. Kamiu ada masa untuk belajar tapi kami tidak mahu belajar. Hidup kami bebas lepas. Kami punya peluang masa muda untuk bekerja, tapi kami tidak mahu. Kalau ada orang yang memberi kesedaran dan membimbing kami masa kami masih muda, tentu lah kami tak menjadi seperti ini.” Program untuk penarik beca tersebut dibuat kerana pada masa itu terdapat sepuloh orang pengusaha beca yang tidur dalam beca dan mandi ditandas awam. Kini Koperasi Pelancungan (KOPEL) telah dipertanggungjawapkan untuk menjaga kebajikan mereka. Alhamdulillah, ada juga dikalangan mereka yang mempunyai anak yang berjaya ke menara gading. Yang mana pilihan kita?

Rabu, 17 Disember 2008

Jom 'Frisbee'

Aktiviti dijalankan pada :
6 hb. Disember, 2008
Bertempat : Padang Bola Kongsi


Frisbee sejenis permainan yang agak baru di negara ini. Walaubagaimanapun permainan ini telahpun menjadi sukan yang popular dinegara-negara seperti Amerika Syarikat dan Eropah.

Satu klinik permainan telah dijalankan pada tarikh dan tempat diatas dengan kerjasama BASKEB (Badan Sukan dan Kebudayaan Balik Pulau) dan MBD (Majlis Belia Daerah). Sebanyak 90 keping Frisbee atau juga dikenali sebagai disk telah diberikan secara percuma kepada semua yang hadir.

Saya berpendapat bahawa sukan ini, amat sesuai untuk dimainkan oleh semua lapisan masyarakat dari berbagai lapisan umur. Permainan ini juga sesuai untuk keluarga beriadah.

Kepada yang berminat, bolehlah mendapat maklumat lebih lanjut melalui internet dengan menaip ultimate frisbee > you tube. Saya masih lagi mempunyai beberapa keping frisbee, jadi jika ada yang berminat untuk memiliki sekeping frisbee bolehlah datang ke Pusat Khidmat KADUN Pulau Betong, selagi stok masih ada.










Selasa, 16 Disember 2008

Jom Bersilat !


Alangkah indahnya seni persilatan Melayu yang diwarisi sejak turun temurun. Dalam liuk lentok seni tarinya ada ketegasan ditunjukanya. Dalam lembut geraknya ada senaman dibawa bersama. Dalam keras asakannya, ada matlamat yang ditujunya. Langkah disusun, tangan dihayun, badan diimbang dalam satu gerakan bersepadu. Semuanya memerlukan disiplin yang tinggi.
Guru dihormati, dibantah jangan sekali. Rakan seperguruan di bi'ah bersama, menjaga dan dijaga, hormat menghormati, mengasihi dan menyayangi rakan segelanggang. Bersama persilatan lain harus menghormati. Mencari gaduh jangan sekali. Merapatkan silarturahin diingat selalu.


Alangkah beruntungnya jika pesanan guru-guru persilatan dipegang kuat oleh anak-anak muridnya. Alquran dan Sunnah dilupa jangan. Menjadi insan sempurna, nasihat mereka.



Tentunya menjadi sesuatu yang cukup malang jika seni mempertahankan diri bangsa Melayu lenyap dari dakapan orang Melayu. Sesungguhnya, bangsa yang dihormati adalah bangsa yang kuat. Kuat dan sihat fizikalnya, cerdas mentalnya dan positif sikapnya.

Adalah menjadi harapan saya agar disetiap kampung akan mempunyai gelanggang persilatannya sendiri. Banyak faktor yang positif mengapa persilatan Melayu harus diperkembangan dikalangan anak-anak dan remaja Melayu, kalau boleh dengan kadar segera. Saya menyokong sebarang usaha untuk membuka dan memperkembangkan apa jua bentuk persilatan dan perguruan di kawasan ini.

Ahad, 7 Disember 2008

HALATUJU MELAYU PULAU PINANG :

Telah banyak kali timbul pertanyaan; apa yang telah berlaku, terancang dan terlaksana kepada bangsa Melayu dinegeri ini? Bagaimanakah dan apakah pendekatan baru negara bangsa dalam lonjakan kedua lima puloh tahun kemerdekaan. Mungkin, ianya satu persoalan yang biasa diutarakan, tapi sudah adakah penyelesaiannya.

Melayu Pulau Pinang seringkali dilihat sebagai terpinggir dinegeri sendiri. Sedihnya, semakin kuat mereka meneriakkan nasib mereka, semakin kuat tekanan yang mereka hadapi. Mungkin kerana salah cara bersuara, mereka dilihat seolah-olah membangkitkan isu sensitive yang berbau perkauman. Tekanan juga datang daripada bangsa Melayu sendiri yang seolah-olah memperlekehkan persoalan tersebut. Tidak kurang juga yang mengusulkan pendekatan politik yang mengatakan bahawa parti UMNO yang dilihat selama ini mempertahankan orang Melayu, juga telah gagal dalam perjuangan mereka menjaga orang Melayu selama memerintah bersama dengan parti komponen kerajaan Barisan Nasional. Ada juga mengatakan formula Barisan Nasional adalah ketinggalan zaman dan memerlukan perubahan.

Apakah tersisihnya Melayu di negeri ini adalah kerana faktor politik semata-mata atau ada faktor lain. Bagaimana pula halnya dengan kegagalan orang Melayu kerana sikap sendiri. Begitu juga dengan persoalan berkaitan dengan kegagalan kakitangan kerajaan yang gagal melaksanakan polisi-polisi kerajaan pusat dan negeri dalam memmbantu orang Melayu, samada dari segi pendidikan, ekonomi, keushawanan, perancangan bandar dan wilayah, perumahan, dan sebagainya. Realitinya, majority besar kakitangan kerajaan adalah orang Melayu sendiri. Malahan kakitangan utama pentadbiran negeri dan persekutuan juga adalah orang Melayu. Apakah mereka ini tidak memahami dan tidak membantu.

Sejarah menujukkan bahawa sebelum kedatangan orang Inggeris, telah ada orang Melayu di pulau ini. Kemudian, dibawa masuk orang-orang China dan India kenegeri ini dan Negeri Selat lainnya untuk mencari rezeki, menampung kekurangan tenagakerja pada masa itu dan membuka lembaran baru kehidupan mereka di negeri ini. Golongan mendatang boleh berjaya kerana berkerja keras, tetapi yang asal telah lalai dan leka sekian lama. Kini suara mereka bersuara keras tapi tidak dihiraukan, mungkin telah hilang roh dan semangatnya. Apakah mereka tidak pernah diberi peluang untuk berubah? Apakah modal insan Melayu ini masih dan akan berterusan bermentaliti rendah atau tiada peluang diketengahkan kehadapan kerana ekonomi ditangan bangsa lain. Apakah bangsa lain ikhlas untuk berkongsi kek ekonomi atau hanya sekadar retorik.

Sejarah juga menunjukkan bahawa pada satu ketika, jumlah orang melayu yang pada asalnya peneroka, adalah jauh kurang berbanding kaum lain. Sehingga kini masih kurang, tapi telah merapat dan dijangkakan akan melebihi kaum lain pada tahun 2020. Apakah pada pada masa itu, Melayu hanya akan ramai dari segi kuatiti tapi kurang dari segi kualiti, atau sebaliknya. Apakah pada masa itu masih ada tanah untuk diduduki orang Melayu atau mereka terusir keluar secara tidak sedar. Adakah orang Melayu ambil berat tentang masa depan dan perancangan masa depan negeri mereka ini atau mereka hanya berserah pada pihak tertentu, jika ada, untuk memikir tentang masa depan mereka.

Kita harus mencari jawapan ikhlas kepada persoalan berkaitan orang Melayu negeri ini, dilema bangsa minoriti yang tidak mempunyai kuasa pentadbiran negeri serta politik dan kuasa ekonomi. Apakah telah terlambat untuk Melayu bangkit, sepertimana pepatah nasi sudah menjadi bubur. Atau selepas mengakui masaalah serta kelemahan, boleh menerjah bangkit semula dengan semangat Melayu baru. Apa caranya?