Sabtu, 15 Jun 2013

TEXT UCAPAN HARI GURU PERINGKAT BARATDAYA, 2013

Bertempat Di SMK Pondok Upeh : 11 June, 2013

 Saya bersyukur kehadarat Allah SWT yang telah memberikan kita semua masa dan kesihatan serta kekuatan untuk hadir di dewan SMK Pondok Upeh untuk bersama meraikan Sambutan Hari Guru pada tahun ini. Alhamdulillah.
Pada16 Mei 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) yang dikenali sebagai Laporan Razak sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan.  Bersempena Tarikh itulah iaitu 16hb. Mei, selama ini dan saban tahun disambut sebagai Hari Guru.

Sehubungan dengan itu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Pulau Pinang dan PPD Barat Daya khasnya yang telah sudi menjemput saya untuk merasmikan sambutan ulangtahun Hari Guru peringkat Daerah Barat Daya pada hari ini. Sesungguhnya, berucap didepan para guru yang saya hormati adalah satu penghormatan kepada saya.

Melihat kepada OBJEKTIF HARI GURU MALAYSIA, ada terdapat 6 objektif yang telah digariskan  oleh pihak Kementerian. Dalam konteks keperluan semasa, saya ingin mengajak para guru sekelian untuk memberikan tumpuan khusus kepada usaha-usaha bagi Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat. Saya juga ingin mengajak guru-guru yang saya hormati semua untuk bersama kita menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia, yang perlu mengambilkira faktor kepelbagaian kaum, budaya, bahasa dan agama dan seterusnya mengambil langkah-langkah supaya peranan itu diadunkan dan menjadi lebih berkesan.

Sesungguhnya, sebagai pemimpin kecil masyarakat Balik Pulau ini, seringkali saya memperingatkan diri saya dan masyarakat bahawa masa depan anak-anak kita adalah jauh lebih penting dari kita hari ini. Kesinambungan keharmonian dan perpaduan diantara rakyat Malaysia dan sesama mereka amatlah penting dan merupakan resepi  terpenting dalam penentuan kejayaan dan masa depan Malaysia yang lebih cemerlang. Titik tolak pencorakan keharmonian kaum adalah bermula di sekolah. Rasa hormat menghormati, sikap toleransi, perasaan muhibbah, keakraban dan saling mengenali dan mengasihi akan wujud dalam jangkamasa yang panjang jika sekiranya ianya diterapkan dari awal umur lagi. Dengan lain perkataan, sekolah adalah merupakan institusi pertama dalam pembentukan wajah baru masa depan rakyat Malaysia.

Tentulah dalam konteks ini, para guru mempunyai tanggungjawap yang besar untuk melakar kertas putih wajah masa depan Negara. Jika bulat dikatakan bujur, empat segi dikatakan tiga segi, murid akan menurut, kerana yang berkata itu adalah guru yang mengajar mereka. Bagi mereka, guru itu serba mengetahui; guru itu senantiasa bercakap benar dan perlu diikuti. Sesungghnya, bagi pelajar guru adalah segalanya.

Begitu juga dengan ibubapa dirumah. Mereka menaruh penuh harapan kepada para guru disekolah. Bagi sesetengah mereka, mereka meletakkan sepenuh harapan kepada para guru untuk mendidik dan mengajar anak-anak mereka. Baik kata guru, baiklah kata mereka sehingga terkadang mereka langsung tidak mengambil peduli tentang pelajaran anak-anak mereka dan membiarkan sepenuhnya kepada kudrat guru. Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam. Berserah dan pasrah. Jarang sekali jalan sebegini membuahkan kejayaan anak-anak. Saya juga melihat dengan mata pengalaman sebagai wakil rakyat, para pelajar yang cemerlang dalam pelajaran mereka adalah para pelajar yang mendapat perhatian dan kasih sayang dirumah ketika bersama ibu dan bapa serta keluarga dan disekolahnya pula mendapat didikan dan ajaran yang ditumpahkan dengan penuh keikhlasan dan kasihsayang seorang guru.

Dalam memimpin masyarakat Balik Pulau, saya mengimpikan sebuah masyarakat yang harmoni, hidup aman dan saling menghormati. Saya mahukan sebuah masyarakat yang dinamik dengan paksi daya juang yang tinggi untuk berjaya dimasa depan. Saya meletakkan harapan yang tinggi dalam penguasaan ilmu dan pemerkasaan pendidikan dalam juzuk-juzuk kehidupan anak-anak kita dan kita sendiri. Tentulah semua ini akan hanya dapat dicapai dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi dan tidak berbelah bagi diantara guru, ibubapa dan pemimpin. Mudah-mudahan niat yang baik ini akan dipermudahkan Illahi. Marilah kita buka episode baru dalam buku kehidupan kita. Hayatilah slogan guru "HIDUP BERBAKTI". Amatilah ikrar guru yang mendukung terus dan berkeyakinan dengan cita-cita murni profesyen perguruan. Guru-guru akan berbakti kepada masyarakat dan negara tercinta. Guru-guru akan sentiasa menjunjung Perlembagaan Negara dan akan mengamalkan Prinsip-prinsip Rukun Negara pada setiap masa.

Dengan lafaz Alhamdulillah dan kalimah suci Bismillahirahma Nirrahim, saya merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Barat Daya Tahun 2012.

Pagar teguh dibina baru,
Padu berdiri di tepi istana;
Besar sungguh jasa guru,
Ilmu diberi bagai permata.

Padu berdiri di tepi istana,
Bunga hiasan naik menjadi;
Ilmu diberi bagai permata,
Membina insan baik pekerti.

Bunga hiasan naik menjadi,
Bunga biru dua jambangan;
Membina insan baik pekerti,
Jasa guru dilupa jangan.

Bunga biru dua jambangan,
Cempaka baru digubah dara;
Jasa guru dilupa jangan,
Tanpa guru siapalah kita.

Terima kasih Cikgu. WE love you.
Wassalam ……

Sr. Muhamad Farid Saad
ADUN Pulau Betong