Artikel berikut dibincangkan dalam Akhbar Utusan bertarikh 27 Mac, 2013
Topik : Perancangan YB sekiranya berjaya mempertahankan kerusi DUN Pulau
Betong dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
1 1)
Apakah
perkara pertama yang akan YB lakukan sekiranya YB tercalon untuk bertanding
dalam pilihan raya umum akan datang dan seterusnya
berjaya memenangi kerusi yang dipertandingkan?
Ada satu
perkara yang wajib yang akan saya lakukan. Perkara ini saya lakukan sewaktu
menerima tawaran menjadi calon untuk Barisan Nasional pada tahun 2004, tahun
2008 dan juga sewaktu mendapat tawaran menjadi Setiausaha Politik kepada YB Tan
Sri Nor Mohamed Yakcob, iaitulah meminta restu dari emak (dulu dari arwah ayah
juga) dan juga izin dari isteri. Kedua-dua mereka ini amat penting dalam hidup
saya (dan semua orang juga).
Tercalon dan
menang dua perkara yang sama sekali diluar kawalan saya. Saya hanya berbekalkan
keyakinan bahawa saya telah menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat dengan
sebaik mungkin dan masyarakat menghargai kerja saya. Kerja-kerja saya adalah
menjadi kayu ukur saya samaada saya layak dicalonkan lagi atau berakhir di
penggal ini. Pemimpin tertinggi di UMNO Bahagian Balik Pulau, kemudiannya di
Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi Barisan Nasional dan seterusnya YAB
Presiden UMNO yang akan membuat keputusan akan kelayakan saya untuk bertanding.
Itu hak mereka dan saya akur akan semua keputusan yang akan dibuat.
Selepas
dicalonkan, saya pula menyerahkan kepada semua penduduk Balik Pulau yang mempunyai pendafataran sah
sebagai pengundi untuk membuat pilihan untuk memilih. Didalam kedua-dua hal
ini, iaitu sebagai calon dan untuk menang, saya tidak mempunyai kuasa. Hanya
ada dua perkara yang memungkinkan saya berada di penggal akan datang. Pertama
adalah penerimaan dan pengiktirafan masyarakat keatas kerja-kerja yang telah
saya lakukan dan laksanakan sewaktu saya menjadi wakil rakyat dipenggal ini. Semuanya akan dinilaikan oleh masyarakat dan merekalah
penentu dan yang keduanya adalah dengan
izin Yang Maha Kuasa.
Jika saya
menang ? Kemenangan akan saya takrifkan
sebagai pengiktirafan masyarakat keatas kerja saya selama ini dan
kemahuan masyarakat untuk saya menyambung lagi kerja saya. Sering saya katakan
bahawa hidup adalah pengorbanan dan perjuangan tetapi seperkara yang
mengisafkan saya dalam menjalankan tugas saya sebagai wakil rakyat adalah pesanan
arwah ayah saya yang berpesan, “ masa hang senang hang kena ingat kat orang
susah dan masa hang susah hang kena ingat ada orang lebih susah dari hang”.
Maka itulah yang telah dan akan saya lakukan.
2) Sebagai anak jati Balik Pulau, apakah rancang YB untuk 5
tahun akan datang bagi memastikan Balik Pulau dibangunkan selari dengan
kehendak dan keperluan masyarakat?
Bagi saya susah
itu datang dalam berbagai bentuk dalam kehidupan kita. Susah dalam
pendidikan, susah dalam kehidupan, susah
dalam perekonomian, dan susah dalam perumahan. Makan, tempat tinggal dan
pakaian adalah tiga perkara penting dalam kehidupan kita. Maka adalah menjadi
agenda utama saya untuk membawa masyarakat keluar dari kesemua kesusahan itu.
Saya akan teruskan dengan agenda pemerkasaan pendidikan sebagai tonggak utama
yang akan mengubah destini generasi masa depan masyarakat Balik Pulau.
Prasarana pendidikan akan dimantapkan lagi sehingga wujud sebuah university
disini. Setelah Balik Pulau ini dilengkapkan dengan prasarana sepenuhnya dari peringkat tadika sehingga ke Politeknik
dan Universiti, saya amat berharap tidak akan ada lagi diantara golongan belia
yang mempunyai atau mencari sebab untuk tidak belajar selepas Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) melainkan mereka sendiri memilih untuk tidak mahu lagi belajar.
Pembangunan
modal insan ini, tidak akan sempurna tanpa pengukuhan agama dalam jiwa
masing-masing. Sekolah-sekolah agama rendah sediada akan dimantapkan lagi
dengan bangunan dan kemudahan yang mencukupi. Dan kelas-kelas agama untuk remaja
sebagai kesinambungan kepada sekolah agama sewaktu mereka di sekolah rendah
akan diperkenalkan secara berperingkat.
Misi untuk
memastikan satu usahawan satu keluarga akan saya teruskan. Saya akan menanam
minat keusahawanan dikalangan warga belia dan akan menjadikan keusahawan
sebagai kerjaya pilihan para belia.
Isu perumahan
juga adalah isu utama yang akan diberikan perhatian. Ada beberapa perancangan
dalam tahun 2008 yang tak dapat saya laksanakan disebabkan kekalahan Barisan
Nasional di negeri ini akan saya teruskan. InsyaAllah, kerja saya akan lebih
mudah jika negeri ini kembali diperintah oleh Barisan Nasional. Saya telah
membina banyak rumah-rumah baru dengan mengunakan peruntukan melalui Kerajaan
Pusat dan begitu juga rumah-rumah uzur yang telah banyak kita baiki.
Masyarakat tahu akan perkara ini. Saya
berharap masyarakat dan melihat semua ini dan nampak apa yang mereka lihat dan
dapat menilai sumbangan kerajaan Pusat yang banyak berbanding dengan kerajaan
negeri. Selain daripada bantuan rumah
kepada golongan miskin, saya akan mencari kaedah baru untuk memboleh anggota
masyarakat dapat memiliki rumah sendiri dengan kaedah pembiayaan yang mudah, termasuklah membantu mereka
menyelesai masaalah pokok yang sering dihadapi oleh pewaris tanah-tanah
warisan iaitu geran ‘berangkai’.
Saya mahu
mengekalkan kehijauan dan kawasan pertanian. Alam sekitar dan udara tanpa
pencemaran perlu dikekalkan. Kelastarian Balik Pulau untuk generasi akan datang
akan terus dipertahankan. Konsep ‘from waste to wealth’ akan terus di tekankan
agar setiap inci tanah diusahakan, dan setiap hasil di tuai untuk dijadikan
produk yang dapat meningkatkan ekonomi sekeluarga.
Pengalaman saya
sebagai Perunding Jurukur Bahan, sebagai ahli politik selama 2 penggal dan
selama tiga tahun bersama YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcob di Unit Perancang
Ekonomi telah dan akan saya gunakan untuk membangunkan Balik Pulau kefasa
seterusnya. Balik Pulau akan terus dibangunkan sebagai sebuah daerah lestari
berprasana moden dan lengkap.
3) Bagi memastikan masyarakat
Balik Pulau tidak ketinggalan dalam menuju tahun 2020 yang hanya berbaki 7
tahun lagi, apakah yang akan dilakukan sekiranya YB masih diberi mandat oleh
rakyat untuk menjadi seorang ADUN?
Malaysia hari ini bergerak
dan semakin menghampiri dengan tahun
2020 yang dinantikan oleh semua orang. Masyarakat dunia juga memerhati apakah
sebuah Wawasan jangka panjang yang dicetuskan pada tahun 1990 oleh YAB Dato
Seri Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri ketika itu berjaya dicapai. Dibawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato
Seri Najib kita melihat pendekatan yang lebih hebat dan berkesungguhan tinggi
dan padu dibuat seperti GTP dan ETP. Rakyat kini dapat melihat dan merasai
kesan langsung dan tidak langsung hasil daripada pendekatan yang telah diambil.
Gagasan 1Malaysia – Rakyat di Dahulukan dan Pencapaian di Utamakan telah
mendapat empat dan sebati dengan warga Malaysia. Meletakkan slogan Janji Di
Tetapi juga menunjukkan bahawa YAB Dato Seri Najib ikhlas dalam niatnya dan
diserlahkan dengan pendekatan yang bersungguh-sungguh. Saya yakin bahawa
kejayaan yang bakal dicapai oleh Malaysia nanti akan dapat dirasai dan
dinikmati oleh keseluruhan rakyat Malaysia.
Maka sebab itulah saya berusaha
supaya masyarakat Balik Pulau tidak ketinggalan. Sejak dari tahun 2004, apabila
menjadi wakil rakyat buat pertama kalinyanya, masyarakat dapat melihat bahawa
saya amat menitikberatkan pendidikan dan pencapaian akedemik anak-anak. Setelah
13 tahun, Balik Pulau telah dapat melihat anak-anak kelahiran yang menjadi
Doktor, Jurutera, Mekanik, Scientist, Biologist, Akauntan dan banyak bidang
lagi. Setiap tahun kita melihat pencapaian yang baik dalam UPSR yang
membolehkan anak-anak Balik Pulau memasuki sekolah-sekolah berasrama penuh dan
seterusnya ke universiti. Begitu juga dalam pencapaian PMR, SPM dan STPM. Ramai
juga yang melanjutkan pelajaran ke bidang kemahiran seperti di Perdatech, ILP,
IKM, dan sebagainya. Ramai diantara mereka yang bekerja diluar. Sebenarnya mereka inilah yang menjadi contoh
terbaik untuk diikuti oleh pelajar sekolah dan juga remaja.
Saya juga yakin bahawa setiap
pelajar atau belia perlu diberi peluang kedua dalam mengejar pelajaran dan
kemahiran, malahan dalam urusan kehidupan pun kita perlu diberi peluang kedua.
Peluang kedua yang lahir daripada kesedaran dan keinsafan mampu memberi nafas
dan semangat baru kepada remaja lepasan sekolah.
Remaja perlu dibimbing. Kesedaran
harus diberikan kepada mereka dan mereka tidak boleh dibiarkan bersendirian dan
mencari halatuju kehidupan mereka dan mereka tidak boleh dibiarkan berserah
kepada nasib semata-semata. Dengan
adanya Politeknik Balik Pulau dan UiTM
Balik Pulau, peluang untuk membimbing mereka lebih terarah. Sering saya katakan
bahawa Institusi Pendidikan harus menjadi sebahagian daripada masyarakat barulah
mudah untuk kita menerapkan pendidikan sepanjang hayat. Saya telah melihat
kejayaan hasil dari 9 tahun bekerja dan
saya akan meneruskan lagi 7 tahun untuk memastikan yang masyarakat Balik Pulau
adalah juga masyarakat yang menyumbang kepada Negara berpendapatan tinggi pada
tahun 2020. InsyaAllah.
4) Bagi YB apakah cabaran paling getir yang perlu YB tempuhi
dalam memastikan agenda yang bakal di bawa untuk penggal seterusnya sebagai
ADUN dapat direalisasikan?
Banyak cabaran yang perlu saya
hadapi. Cabaran terdekat dan paling getir adalah untuk menghadapi PRU13 yang
bakal berlangsung dan berjaya dengan cemerlang bersama dengan rakan-rakan lain
di Balik Pulau dan seluruh Pulau Pinang dan juga Malaysia.
Kalau berdasarkan kepada pengalaman
saya ada banyak cabaran yang menjadi penghalang kepada apa yang saya usahakan
dan akan usahakan. Tetapi yang paling sukar diubah dan juga merupakan
penghalang kepada kejayaan dan yang
boleh mengagalkan segala perancangan adalah sikap seseorang itu. Saya boleh
membuat kertas kerja untuk memohon peruntukkan, meminta agensi untuk membantu
dan sebagainya tetapi itu adalah faktor-faktor luaran yang mempunyai kesan yang
sedikit atau tiada langsung dengan sikap seseorang. Selalu saya tekankan kepada
masyarakat bahawa mereka perlu sedar akan segala kekurangan atau kepayahan
mereka, kemudian insaf atas kesemua itu dan berubahlah menuju kebaikan untuk
diri mereka dan keluarga mereka.
Saya juga memerlukan sokongan
semua pihak untuk menjayakan agenda-agenda
tersebut. Masing-masing dan setiap satu daripada masyarakat Balik Pulau
mempunyai peranan masing-masing. Kejayaan sesebuah masyaraka akan hanya
tercapai jika semua dapat bekerjasama. Sukar tetapi tidak mustahil. Saya telah berusaha
dan saya mengajak anggota masyarakat yang memahami dan menyokong usaha saya
untuk bersama saya untuk merealisasikan impian kita bersama.
5) Apakah harapan YB terhadap
masyarakat Balik Pulau keseluruhannya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?
Saya telah bersama dengan
masyarakat sewaktu mereka ditimpa bencana, sewaktu mereka susah, sewaktu anak-anak
mereka hendak masuk kesekolah, sewaktu mereka hendak memohon bantuan agensi
untuk berniaga, sewaktu rumah mereka bocor atau tidak dapat dihuni lagi,
sewaktu mereka memohon biasiswa dan
pinjaman, sewaktu mereka hendak mendapat pengesahan lesen dan elaun sara hidup,
sewaktu mereka tidak dapat turun kelaut, sewaktu mereka tiada bekalan air,
sewaktu mereka tiada bekalan letrik, sewaktu mereka dihalau keluar rumah,
sewaktu mereka tidak mempunyai duit untuk makan dan banyak lagi
kejadian-kejadian dan keperluan-keperluan serta pertolongan yang mereka
perlukan. Alhamdulillah, sedaya termampu telah saya laksanakan. Jika ada
sebarang kekurangan saya memohon kemaafan. Saya bersyukur kerana telah berjaya
mencukupkan tempoh khidmat saya sebagai wakil rakyat, menjalankan amanah yang
dipertanggungjawapkan oleh masyarakat kepada saya. Saya yakin bahawa yang
membolehkan saya mengharungi kehidupan seorang wakil rakyat yang mencabar
dengan hati yang sabar ini dan semangat tidak goyah ini adalah dengan Izin
Allah jua. Jika ditakdirkan saya untuk meneruskan khidmat saya, saya akan
menerimanya dan melaksanakan keranaNYA jua.
(( Nota : Mudah-mudahan sesaiapa sahaja yang di pilih untuk menjadi Calon BN pada penggal akan datang dan seterusnya memenangi PRU13 itu nanti akan meneruskan kerja-kerja mulai untuk memajukan masyarakat Balik Pulau ))