Khamis, 12 Januari 2012

Selamatkan Kg Batu Uban : Antara Kawasan Petempatan dan Warisan Terawal Melayu di Pulau Pinang

KENYATAAN AKHBAR 12 Jan, 2012


Kenyataan Bersama Oleh :

1. Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang (PERADABAN)
2. Sejarawan, Sasterawan dan Budayawan USM
3. Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang
4. Persatuan Karyawan Pulau Pinang (Karyawan)
5. Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan)
6. Aktivis Warisan dan Sejarah Pulau Pinang
7. Persatuan Sejarah Negeri Kedah
8. Waris Haji Mohammad Salleh (Nakhoda Nan Intan), pengasas kampung Batu Uban

Pertahankan dan Selamatkan Antara Kawasan Petempatan dan Warisan Terawal Melayu di Pulau Pinang

Batu Uban adalah sebuah bandar dalam peta lakaran Kapten Walter Alves pada tahun 1763, peta pertama Inggeris sebelum membuka P.Pinang (lihat gambarajah). Ia adalah pelabuhan yang pertama sebelum George Town; dibuka oleh Haji Mohammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan dengan restu baginda Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Syah II (mm. 1710-1778).
Masjid Batu Uban telah di asaskan oleh Nakhoda Nan Intan pada tahun 1734. Nama sebenar beliau ialah Raja Nan Intan Ibni Al-Marhum Tengku Patih Sebatang. Beliau berasal dari Kampung Buadi, Paya Kumboh, Sumatera dan mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Minangkabau.

Nakhoda Nan Intan merantau ke Pulau Pinang bersama dua lagi bahtera. Nakhoda Nan Intan singgah di Batu Uban, satu lagi bahtera singgah di Bayan Lepas (Nakhoda Bayan) dan bahtera ketiga singgah di Jelutong (Nakhoda Kecil). Ketiga-tiga nakhoda tersebut mempunyai talian persaudaraan.

Oleh yang demikian, beliau merupakan orang yang paling awal yang membuka Pulau Pinang dan bukannya Francis Light yang di katakan membuka Pulau Pinang pada tahun 1786.

Dengan kata lain, Batu Uban adalah petempatan, pelabuhan dan tempat bersejarah yang paling awal sebelum bermulanya era penjajahan Pulau Pinang pada tahun 1786M.

MAKA, Kampung Batu Uban ini merupakan :

1. Warisan sejarah yang amat penting bagi orang Melayu di Pulau Pinang khasnya dan Sejarah Pulau Pinang umumnya,
2. Mempunyai hubungkait dengan Peradaban dan Tamaddun Melayu di Pulau Pinang

Dengan yang demikian, timbullah beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian segara dan mendesak :

1. Patutkah Kampung Melayu Batu Uban ini dikorbankan kerana pembangunan.
Batu Uban adalah bukti petempatan awal orang Melayu di Pulau Pinang dan merupakan pusat perkembangan peradaban Melayu dan Tamadun Islam khususnya di Pulau Pinang.

2. Beginikah akan berakhirnya Nasib Warisan Melayu dan Islam selepas 55 tahun Merdeka (yakni tidak terbela dan beransur lenyap)
3. Warisan penjajah dan kaum imigran lainnya mendapat pengiktirafan UNESCO, manakala warisan Melayu yang hakiki terlepas pandang dan tidak ada tempat langsung dalam kerangka Zon Warisan Pulau Pinang.

4. Warisan , Sejarah dan Peradaban Melayu dan Islam punya nilai dalam pembangunan.
Negara-negara Barat dan Timur membangun dengan pesat tetapi tidak mengetepikan sejarah dan peradaban mereka. Pulau Pinang hanya mengagungkan warisan penjajah dan kaum imigran tetapi mengetepikan warisan yang asal - peribumi dan bumiputeranya.

5. Kami juga tertanya mengapa Kampung Warisan Melayu Batu Uban ini yang merupakan kawasan perkampungan terawal di Pulau Pinang telah tidak digazetkan bersama-sama dan bersekali dengan permohonan Georgetown untuk mendapatkan Bandar Warisan ke UNESCO (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan)?

6. Di peringkat Negara Malaysia pula, mengapa pihak Kementerian yang bertanggungjawap dalam hal-hal berkaitan dengan Warisan dan Kebudayaan tidak secara serious melihat isu ‘pengekalan kampung warisan Melayu’.

Walaupun Kampung Batu Uban ini tidak digazetkan oleh UNESCO yang bukan di dalam kawalan kita, Kampung Batu Uban ini boleh digazetkan sebagai Kampung Warisan oleh Kerajaan Malaysia, dan juga oleh Kerajaan Negeri.

Persatuan Warisan Pulau Pinang (Penang Heritage Trust -PHT), dan jaringan- jaringannya telah berjaya dalam usaha-usaha mereka dalam memulihara dan mengekalkan warisan terutama di Georgetown. Maka perlu ada satu inisiatif lain yang berusaha ke arah pengekalan warisan di ‘kampong-kampung terpilih’ yang ada kaitan dengan sejarah Pulau Pinang, di bahagian lain di pulau dan juga di Seberang Perai.

Kita berharap perkara-perkara berikut dapat diberi perhatian serius dengan kadar segera oleh pihak kerajaan :

1. Kekalkan kawasan perkampungan Batu Uban (terutamanya dalam lingkungan kawasan masjid dan kawasan perkuburan (yang menempatkan makam Nakhoda Intan dan kaum keturunannya) sebagai ‘kampung warisan hidup’ atau ‘living heritage’.

2. Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia serta pihak Kerajaan Negeri mengazetkan Kampung Batu Uban ini sebagai Kampung Warisan Pulau Pinang.

3. Kerajaan membangunkan semula kampung Batu Uban ini sebagai Kampung Warisan Hidup.

4. Mendesak Kerajaan Negeri tidak lagi meluluskan sebarang pembangunan dikampung ini. Pihak kerajaan negeri juga perlu dengan kadar segera menyediakan satu pelan Rancangan Khas Kawasan bagi pembangunan kampong warisan ini.

5. Bagi tujuan pengekalan Sejarah Peradaban Melayu Pulau Pinang di kampong bersejarah ini, kita mendesak pihak Kerajaan Pusat dapat membeli semua tanah di kampong ini dan dibangunkan semula.

6. Kita juga berharap dalam hal berkaitan dengan soal Warisan Melayu dan Islam ini akan turut mendapat perhatian dan keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang.

Hari ini saya menyeru kepada para budayawan, sejarawan, NGO-NGO Melayu, dan penduduk Melayu di Pulau Pinang agar bangun, insaf dan sedar bahawa tanpa kesepakatan, dan kesatuan hati, kampung-kampung warisan dan tradisi Melayu akan terhakis dan hilang dan hanya kekal pada nama sahaja dan mungkin akan hilang terus.

Kita tidak boleh berterusan menyalahkan orang-orang yang terdahulu, tetapi kita perlu melakukan sesuatu untuk mengekalkan peradaban dan warisan Melayu di negeri ini.

Hingga kini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menafikan sejarah orang-orang Melayu di Pulau Pinang. Negeri yang berkembang maju ini seolah-olah diwujudkan oleh Inggeris dan dimajukan oleh tertentu sahaja.

Atas alasan tersebut, pihak berkuasa, ahli-ahli politik dan NGO’s seharusnya sedar akan situasi yang berlaku. Kesilapan dan kealpaan terhadap sejarah asal negeri Pulau Pinang harus dihentikan. Pembangunan yang berlangsung atas nama keuntungan wang ringgit semata-mata sejak era penjajahan tidak harus berlaku lagi. Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tapak pertapakan Melayu di Pulau Pinang tidak lenyap ditelan arus pembangunan. Kita juga tidak mahu sejarah orang-orang Melayu tenggelam ditelan oleh sejarah yang tidak tepat.

Kita mahukan pembangunan yang lestari, seimbang dan adil untuk semua kaum di negeri ini.