Ramai
orang telah bercakap dan menyentuh tentang isu Penjualan Tanah di Kampung
Terang yang melibatkan sekeping tanah dan dua pemimpin UMNO iaitu Dato Omar
Fauzar dan Dato Musa. Difahamkan mereka adalah pemilik Miliion Crest Sdn. Bhd.,
iaitu syarikat yang telah membeli tanah tersebut. Saya memerhati perkembangan
berkaitan perkara ini sejak ianya mula di timbulkan oleh Ketua Menteri Pulau
Pinang dan Dato’ Speaker yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Balik Pulau.
Kemudiannya disambut oleh pemimpin-pemimpin PKR dan PAS Balik Pulau lainnya.
Dan terakhir sekali telah disentuh lagi oleh pemimpin DAP semasa lawatannya ke
Rumah Berhala Lam Thean di Sg Ara Bayan Lepas pada 11 Ogos. Lapuran yang
diterima memaklumkan bahawa antara kandungan ucapan beliau telah membidas dua
orang pemimpin UMNO yang telah menipu rakyat dengan membeli tanah milik orang
Melayu dan mengaut keuntungan sebanyak RM 5.00 juta dalam tempoh 3.5 bulan.
Beliau antara lain telah menyeru kepada para hadirin untuk menolak UMNO kerana
pemimpin UMNO sanggup menipu bangsa sendiri dan mereka tidak akan membela kaum
lain. Jika benar ungkapan itu, ianya adalah satu kenyataan yang berniat jahat
dan memberi gambaran yang melampau tentang UMNO yang sebenarnya mensasarkan
kepada kepimpinan Melayu di negeri ini. Sebagai pemimpin kecil dikawasan ini,
saya rasa saya perlu bersuara dan menulis diblog ini. UMNO yang menunjangi
kepimpinan Barisan Nasional bukan ditubuhkan untuk menipu bangsa sendiri dan
jauh sekali untuk menginayai kaum lain.
Sebagai
pemimpin tempatan tentulah saya amat terasa dengan kenyataan yang dibuat. Lebih-lebih
lagi ianya berkaitan dengan isu yang begitu berat yang saya pandang dan dekat
dihati saya. Seringkali saya mengingatkan anggota masyarakat di Balik Pulau ini
supaya tidak menjual tanah-tanah mereka yang mereka warisi. Telah berulangkali
saya menekankan bahawa kita hanyalah sebagai pemegang amanah keatas tanah-tanah
yang di wariskan kepada kita. Tanah-tanah tersebut adalah untuk anak-anak dan
seterusnya cucu-cucu kita. Apapun yang kita lakukan, sebarang tindakan yang
kita ambil, kita hendaklah memikirkan natijah yang akan menimpa generasi akan
datang. Walau apapun yang saya katakan dan lakukan, saya sedar bahawa saya tidak
akan dapat menghalang para pewaris untuk tidak menjual tanah mereka, kerana itu
hak mereka. Mereka bebas menjualnya ataupun mengadainya.
Apa
yang tidak dapat saya terima adalah seringkali bebanan serta kesalahan menjual
tanah itu diletakkan sepenuhnya keatas UMNO dan seterusnya pemimpin UMNO
walaupun yang menjual tanah itu bukan UMNO, bukan ahli UMNO, dan hanyalah
seorang Melayu yang tentunya mempunyai sebab untuk menjualnya. Cuba lah kita berlapang dada dan berfikir
sejenak.
Apakah
UMNO dan pemimpin dapat menghalang si pewaris daripada menjual tanah
mereka? Apakah PAS atau PKR atau DAP dan
pemimpin mereka dapat menghalang pemilik daripada menjual hak mereka ? Soal
menjual atau tidak adalah tertanggung diatas pewaris-pewaris. Kalau mereka
sudah membuat keputusan, sepatutnya kita menghormati keputusan mereka dan
bukannya meletakkan keputusan mereka itu sebagai satu kesalahan kepada orang
lain, dalam hal ini UMNO dan pemimpinnya.. Ketua Menteri atau Ketua Cabang atau
Yang diPertua PAS setempat atau Ahli Majlis atau Ahli Parlimen baru empat tahun
ini berada ditampuk kuasa pemerintahan negeri dan mereka itupun bukanlah
sepenuhnya menjadi rujukan masyarakat untuk menyuarakan masaalah mereka
seharian. Memang mudah untuk mereka menunding jari menyalahkan siapa sahaja
asalkan bukan mereka dan menabur janji. Cukup-cukuplah dengan sikap menunding
jari yang sebenarnya tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.
Keputusan
untuk menjual yang diambil oleh semua pewaris adalah kerana mereka menghadapi
masaalah untuk mengagihkan hak dan panggu mereka yang ramai itu dalam bentuk
agihan hartanah. Maka tentulah kecairan asset lebih mudah, dan dengan menjual
tanah dan mengagih wang perolehan hasil jualan adalah jauh lebih mudah
berdasarkan kepada peratusan hak atau panggu mereka. Tanah itu pula dijual
dengan cara perbincangan dan dipersetujui bersama (willing buyer and willing
seller). Tidak ada paksaan dalam persetujuan itu. Bukankah itu adalah kaedah
yang terbaik berbanding dengan percubaan pihak kerajaan negeri yang mahu
mengambil tanah orang kampong yang dipertahankan habis-habisan. Amatlah tidak
wajar untuk mengatakan penduduk ditipu. Tetapi kalau sudah diniatkan untuk
mencetuskan rasa benci dan permusuhan maka kenyataan ‘telah menipu itu’ telah
berjaya mencapai tujuan ianya dicanangkan. Jika sudah diniatkan untuk
melahirkan rasa permusuhan dan kebencian sesama anggota masyarakat, maka
kenyataan bahawa UMNO tidak menjaga bangsa Melayu maka jangan harap untuk
menjaga bangsa lain, adalah satu telahan politik yang jahat. Adapun keuntungan
yang dibuat itu pulak adalah selepas transaksi kedua dibuat. Perubahan kenaikan
harga tidak perlu menunggu 3.5 bulan tetapi boleh mencapai nilai baru dan masa
seminggu sahaja. Kita harus tahu dan sedar bahawa nilai harga tanah dikawasan
Balik Pulau ini tidak ada jadual yang khusus. Kadar jualan adalah lebih
berdasarkan kepada penjualan dan pembelian secara sukarela dan suka sama suka.
Sudah ramai orang tengah yang mendapat keuntungan dalam urusniaga tanah
dikawasan ini.
Diwaktu para pewaris berasa gembira dan
bersyukur kerana ada orang Melayu membeli tanah mereka, orang politik pula
mengambil kesempatan untuk menjadikanya agenda politik untuk menjatuh imej dan
maruah satu pihak yang lain. Dikala para pewaris berjaya menikmati wang hasilan
jualan tanah yang mereka warisi untuk digunakan bagi tujuan yang berfaedah dan
memenuhi keperluan semasa mereka, orang politik pula berusaha untuk meraih populariti
sokongan politik. Yang paling menyedihkan lagi, sesama sebangsa bertelagah
mengikut gendang yang dialunkan oleh orang yang cuba memecah-belahkan sesama
kita. Aneh kan ?, kita lebih rela bermasan muka sesama sendiri diatas isu yang
sebenarnya boleh menyatupadukan kita. Cuba lihat sendiri, dalam bagitu
banyaknya projek perumahan mewah yang dibuat, berapa ramaikah pemaju Melayu –
hanya 1 sahaja. Ada orang ketawa melihat
kita bertelagah. Lagi teruk kita bertelagah, lagi seronok mereka. Ada orang ke
bank mengira untung, kita pula sebok kekedai kopi mengira berapa banyak kita
boleh menjatuh sesama kita.
Ada
perkara yang boleh kita politikkan, tapi janganlah semua benda kita hendak
politikkan. Tidak adakah langsung dalam hati kita ini untuk menjadikan
permasaalahan yang dihadapi ini sebagai faktor penyatuan!
Adapun
sebenarnya isu tanah Kg.Terang itu bukannya satu isu yang patut di perbesarkan
oleh Pakatan Rakyat (PR). Tetapi ianya sengaja di jadikan isu besar untuk
menutup isu sebenar yang menampakkan Kerajaan PR jelas mahu merampas tanah
milik orang kampung seperti yang berlaku pada penduduk Kg.Genting. Dengan
tujuan untuk mengalihkan pandangan serta tumpuan terhadap bantahan demi
bantahan yang di anjurkan penduduk, maka isu tanah Tanah Kg.Terang pun sengaja
di perbesarkan mengikut citarasa Kerajaan PR yang tak bertanggungjawab ini. Isu
berkaitan dengan Kg Genting telahpun saya jelaskan dalam penulisan sebelum ini.
“Ya
Allah, satukanlah hati-hati kami dibawah payung rahmatMU dan elakkan kami
daripada berpecah-belah dalam urusan seharian kami dalam mempertahankan Agama
kami, Bangsa kami dan Tanahair kami. Jadikan bumi Malaysia yang dihuni oleh
makhlukMU yang berbagai bangsa, keturunan dan agama anutan, sebuah negara yang
aman, bahagia dan berkembang menjadi sebuah negara maju yang didalammnya kami
hidup bahagia dan bersenangan dengan nikmatMU”