Jumaat, 10 Disember 2010

Kenyataan Akhbar Berkaitan Lapuran Akhbar Harakah

KENYATAAN AKHBAR YB Sr. MUHAMAD FARID SAAD ADUN PULAU BETONG BERKAITAN KENYATAAN UNTUK MENYAMAN AKHBAR HARAKAH

Pada 23hb Nov, melalui pihak Media saya telah meminta supaya pihak Harakah untuk meminta maaf diatas artikel yang dikeluarkan dimuka depan, bertajuk ADUN BN Akui UMNO Punca tanah Melayu Terhakis yang diterbitkan dalam Harakah Daily dan Akhbar Harakah (11&12 Nov.). Sehubungan itu. saya telah memberikan tempoh 14 hari, jika tidak saya akan mengambil tindakan mengikut undang-undang.

Hari ini 14 hari telah berlalu. Saya masih tidak mendapat apa-apa khabaran daripada pihak Harakah.

Saya mempunyai pilihan sekarang ini untuk samaada meneruskan tindakan menyaman akhbar tersebut atau membiarkan sahaja isu ini terus diputar belitkan dalam ceramah-ceramah dipentas politik PAS.

Setelah memikirkan sedalam-dalamnya, saya membuat keputusan untuk memaafkan pihak wartawan pelapor dan penerbit Akhbar Harakah dan Harakah Daily diatas perlapuran yang tidak tepat dan yang telah menjejaskan imej saya. Saya menafikan bahawa saya telah mengukapkan kenyataan seperti yang ditajukkan itu. Dari awal lagi, apabila dijemput untuk menjadi ahli panel, niat saya adalah ikhlas untuk berkongsi pengetahuan dan memaklumkan cadangan yang telahpun kita sediakan untuk fikirkan sesuai untuk mengatasi permasaalah yang dihadapi oleh orang-orang Melayu di Pulau Pinang terutamanya berkaitan dengan perumahan. Malangnya dan saya dukacita kerana tidak berpeluang berkongsi perkara dengan para hadirin. Saya juga sedih kerana saya mengetahui bahawa ada pihak tertentu yang telahpun menukarkan tajuk forum kepada yang bersifat provokasi dan bernada negatif dan seterusnya menghebahkannya.

Saya sedih melihat pada malam itu, majoriti yang hadir lebih berminat untuk menjadi hakim dan mendengar siapa bersalah daripada sama berfikir dan mencari jalan untuk mengatasi masaalah yang dihadapi. Sepatutnya, kita mengambil iktibar diatas apa yang telah berlaku, sedar akan kesilapan, insaf diatas keadaan sekarang ini dan bersama berusaha mengubahkan keadaan untuk masa depan dan generasi akan datang.

Saya berpendapat, biarlah saya meneruskan usaha saya untuk membawa perubahan dan anjakan yang termampu oleh saya dengan izin Allah daripada saya menjerumuskan diri saya untuk berterusan mencari salah siapa dan menyalahkan orang lain. Saya akan meneruskan kerja saya sebagai pemimpin kecil dan prinsip saya bahawa dalam hal-hal berkaitan kemiskinan dan pendidikan, bahawa ianya harus melangkaui batas-batas politik dan kaum. Saya menjalankan tugasan kerana Allah dan saya hanya mencari keredhaan Illahi. SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH.

Sr. MUHAMAD FARID SAAD
ADUN PULAU BETONG
Jumaat, 10hb. Disember, 2010