Ahad, 7 Disember 2008

HALATUJU MELAYU PULAU PINANG :

Telah banyak kali timbul pertanyaan; apa yang telah berlaku, terancang dan terlaksana kepada bangsa Melayu dinegeri ini? Bagaimanakah dan apakah pendekatan baru negara bangsa dalam lonjakan kedua lima puloh tahun kemerdekaan. Mungkin, ianya satu persoalan yang biasa diutarakan, tapi sudah adakah penyelesaiannya.

Melayu Pulau Pinang seringkali dilihat sebagai terpinggir dinegeri sendiri. Sedihnya, semakin kuat mereka meneriakkan nasib mereka, semakin kuat tekanan yang mereka hadapi. Mungkin kerana salah cara bersuara, mereka dilihat seolah-olah membangkitkan isu sensitive yang berbau perkauman. Tekanan juga datang daripada bangsa Melayu sendiri yang seolah-olah memperlekehkan persoalan tersebut. Tidak kurang juga yang mengusulkan pendekatan politik yang mengatakan bahawa parti UMNO yang dilihat selama ini mempertahankan orang Melayu, juga telah gagal dalam perjuangan mereka menjaga orang Melayu selama memerintah bersama dengan parti komponen kerajaan Barisan Nasional. Ada juga mengatakan formula Barisan Nasional adalah ketinggalan zaman dan memerlukan perubahan.

Apakah tersisihnya Melayu di negeri ini adalah kerana faktor politik semata-mata atau ada faktor lain. Bagaimana pula halnya dengan kegagalan orang Melayu kerana sikap sendiri. Begitu juga dengan persoalan berkaitan dengan kegagalan kakitangan kerajaan yang gagal melaksanakan polisi-polisi kerajaan pusat dan negeri dalam memmbantu orang Melayu, samada dari segi pendidikan, ekonomi, keushawanan, perancangan bandar dan wilayah, perumahan, dan sebagainya. Realitinya, majority besar kakitangan kerajaan adalah orang Melayu sendiri. Malahan kakitangan utama pentadbiran negeri dan persekutuan juga adalah orang Melayu. Apakah mereka ini tidak memahami dan tidak membantu.

Sejarah menujukkan bahawa sebelum kedatangan orang Inggeris, telah ada orang Melayu di pulau ini. Kemudian, dibawa masuk orang-orang China dan India kenegeri ini dan Negeri Selat lainnya untuk mencari rezeki, menampung kekurangan tenagakerja pada masa itu dan membuka lembaran baru kehidupan mereka di negeri ini. Golongan mendatang boleh berjaya kerana berkerja keras, tetapi yang asal telah lalai dan leka sekian lama. Kini suara mereka bersuara keras tapi tidak dihiraukan, mungkin telah hilang roh dan semangatnya. Apakah mereka tidak pernah diberi peluang untuk berubah? Apakah modal insan Melayu ini masih dan akan berterusan bermentaliti rendah atau tiada peluang diketengahkan kehadapan kerana ekonomi ditangan bangsa lain. Apakah bangsa lain ikhlas untuk berkongsi kek ekonomi atau hanya sekadar retorik.

Sejarah juga menunjukkan bahawa pada satu ketika, jumlah orang melayu yang pada asalnya peneroka, adalah jauh kurang berbanding kaum lain. Sehingga kini masih kurang, tapi telah merapat dan dijangkakan akan melebihi kaum lain pada tahun 2020. Apakah pada pada masa itu, Melayu hanya akan ramai dari segi kuatiti tapi kurang dari segi kualiti, atau sebaliknya. Apakah pada masa itu masih ada tanah untuk diduduki orang Melayu atau mereka terusir keluar secara tidak sedar. Adakah orang Melayu ambil berat tentang masa depan dan perancangan masa depan negeri mereka ini atau mereka hanya berserah pada pihak tertentu, jika ada, untuk memikir tentang masa depan mereka.

Kita harus mencari jawapan ikhlas kepada persoalan berkaitan orang Melayu negeri ini, dilema bangsa minoriti yang tidak mempunyai kuasa pentadbiran negeri serta politik dan kuasa ekonomi. Apakah telah terlambat untuk Melayu bangkit, sepertimana pepatah nasi sudah menjadi bubur. Atau selepas mengakui masaalah serta kelemahan, boleh menerjah bangkit semula dengan semangat Melayu baru. Apa caranya?

6 ulasan:

UrbAnWiTch berkata...

selamt datang ke dunia blogging

Unknown berkata...

Tahniah YB semoga jadi contoh kpd YB yang lain.ex

HeroHuruHara berkata...

Statistik dan sejarah perubahan sosio-ekonomi di Singapura menunjukkan butir-butir yang memberi kita banyak pengajaran. Khusus bagi pemimpin-2 terutama YB sendiri perlu kaji pengajaran tersebut. Singapura di hari kemerdekaan dari Malaysia masih lagi dihuni oleh hampir 61% Melayu. Tapi hari ini 61% itu lenyap bukan sekadar atas kertas statistik ekonomi sahaja malah di atas kertas statistik taburan penduduk pun lenyap. MENGAPA?

YB sendiri pun arif tentang hal ini. 61% Melayu Singapura masa itu amat nipis kesedaran tentang kemajuan ilmu, penerokaan bidang baru dan perkongsian kuasa Melayu dalam menentukan pemimpin negara. Melayu Singapura masa itu banyak didominasi oleh isu hiburan, cari makan cukup untuk belanja rumah dan habiskan dengan hiburan yang berselerak. Cina Singapura masa itu pula rajin mencari peluang mendominasi bidang baru (kejuruteraan, perniagaan,pelaburan). Akibat desakan ekonomi yang di mana Melayu Singapura GAGAL mengawal kenaikan kos taraf hidup kerana terlalu bergantung pada satu sumber gaji maka sedikit demi sedikit terhapus hinggakan Istana Kampung Glam juga tergadai. Sungguhpun begitu jati diri Melayu yang nyata dapat dilihat dalam diri Melayu Singapura yang berasal dari tanah Indonesia dan Arab dan India.

Di Pulau Pinang khususnya DUN Pulau Betong YB boleh kaji statistik pemuda-pemudi yang gagal meneruskan pengajian peringkat sekolah. Golongan yang berhenti sekolah pada peringkat awal persekolahan, terkandas di peringkat peperiksaan dan yang bagus dalam peperiksaan tapi masih hanyut mengikut arus desakan dunia hiburan... Ini nampak sbg satu petanda ulangan kisah di Singapura. Orang Melayu khususnya makin jauh dari perlumbaan mencari ilmu dan penerokaan ekonomi. Alhamdulillah kita dah diberi peluang yang sebesar-besarnya dalam bidang pendidikan dan kerjaya. Tapi mengapa golongan pelapis ini masih hanyut? Kalau berterusan begini DUN Pulau Betong sendiri nanti ekonominya dikawal secara monopoli oleh bukan Melayu dan realiti kuasa politik juga akan beralih pada bukan Melayu. Sampai satu tahap, kita tidak mampu berteduh di tanah DUN Pulau Betong ini dan mungkin kita jugallenyap dari peta taburan penduduk DUN Pulau Betong. Hari ini kampung tradisional satu-satunya kubu terakhir yang dipertahankan tetapi disekeliling pembangunan yang bertali arus tdak langsung mencuit hati anak muda pelapis kita untuk sama berusaha merebut peluangnya.

Diharap YB boleh MENYERGAH golongan muda ini dan menggerakkan tenaga kerja professional (berjawatan, NGO,sukarela) agar bekerjasama dengan YB untuk mengolah semula sistem pemikiran umat Melayu khusus di DUN Pulau Betong. Biarpun kerjanya nelayan tetapi biarlah nelayan yang celik IT dan tahu mengikuti pasaran harga ikan semasa melalui internet dan mengeksploitasi hasil ikannya bukan semata-mata kepada peraih tetapi juga meneroka pembuatan produk baru yang berdaya global. Petani kecil dan peladang mampu berusaha sendiri mencari peluang pemasaran dengan membuang sikap TANAM, TUNGGU,KUTIP,JUAL. Anak muda di sektor industri bukan semata-mata sebagai operator pengeluaran atau penjaga stor tetapi sebagai jurutera, pengurus, eksekutif dan seterusnya pengarah urusan. Kita mampu...cuma otak kita sudah berwarna-warni hingga sukar nak disatukan jadi satu warna. Saya bersedih sebab ada anak muda di alam persekolahan yang memasang angan-angan lepas peperiksaan SPM hendak memasuki kesemua ujibakat program realiti TV tidak kira apa rancangan asalkan realiti TV. Mereka ini dah terpesong kerana fikir dengan cara mudah sebegini mereka tidak perlu dipersiapkan dengan ilmu cukup dengan sekadar melaram dan menayang bakat mereka. Ini dah jadi barah keseluruh Malaysia.

Penyertaan YB dalam menangani isu ini cukup bernilai. Pertolongan masyarakat dalam mengembleng tenaga dan fikiran dalam menangani isu juga Insya Allah akan datang tanpa diundang kerana ini kerja MUAMALAT kerja yang BERMUSYAWARAH dan kerja JIHAD serta memenuhi tuntutan fardhu kifayah.. Insya Allah YB lebih arif hal-hal sebegini..

Kita rakyat diluar sebagai cermin kepada YB. Jika YB nak cermin kemajuan kerja YB cerminkanlah pada wajah kami. Kemajuan pada wajah kami mencerminkan kejayaan YB sebagai pemimpin.

ADUN PULAU BETONG, Setiausaha Politik YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata...

Terima kasih di atas pandangan HeroHuruHara. Saya menghargainya. Banyak benda yang boleh kita pelajari daripada sejarah. Sejarah tidak menipu kita; tetapi seringkali kita memutarbelitkan sejarah untuk kepentingan kita.

Benar kata sdra, "Kita rakyat diluar sebagai cermin kepada YB. Jika YB nak cermin kemajuan kerja YB cerminkanlah pada wajah kami. Kemajuan pada wajah kami mencerminkan kejayaan YB sebagai pemimpin". Sesungguhnya, kepuasan saya adalah apabila masyarakat kita berjaya dan matang dalam kehidupan mereka, berubah cara mereka berfikir dan pendekatan mereka lebih bijak dalam meniti kehidupan seharian - generasi selepas generasi.

Harapan saya, lebih ramai dikalangan kita yang memberi pandangan disini, ataupun secara berdepan dengan saya, insyaALLAH akan dapat menyedarkan dan membantu saya. Terima kasih.

Keris Bersarung berkata...

Menarik ulasan YB,

Sebenarnya barah masalah Melayu ini bukan lagi hanya di DUN Pulau Betong, tapi menyeluruh. Merangkumi semua peringkat umur dan golongan. Ini adalah yang biasa difikirkan lebih utama oleh golongan2 berikut:

1. Golongan berusia menghabiskan masa memikirkan apa yang hendak diisi untuk masa lapang, surau, kedai kopi, anak-cucu sendiri, etc..

2. Golongan muda memikirkan naik pangkat, gaji lebih, kahwin, anak-anak sendiri, hutang piutang, etc..

3. Remaja lelaki memikirkan handphone terkini dan sms, seluar jeans, motosikal, fesyen rambut, makwe, rokok dan dadah, etc..

4. Remaja wanita memikirkan sms, chat, fesyen terkini, kosmetik, cerita terkini artis, kekasih hati, etc

4. Ahli politik memikirkan kawan, lawan, komisen, pemilihan, etc..

5. Ahli perniagaan memikirkan projek, rumah banglo, kereta besar, perempuan, melancong, ect..

6. Petani, Nelayan, Pekebun memikirkan hasil, kos sara hidup naik, belanja anak2 sekolah, mengasapkan dapur, etc..

7. Penjawat Awam memikirkan naik pangkat, side-income biz, komisen, etc..

8. Golongan media memikirkan apa yang boleh melariskan jualan akbar, media mereka. Sudah tentu gossip artis, program hiburan dan konsert, skandal, kahwin-cerai, dan politik panas, etc..

...

walaupun tidak semua dari 8 golongan diatas seperti yang itu, namun CUBA KITA FIKIR-FIKIRKAN, dibahagian dan golongan mana yang memikirkan PERSOALAN BANGSA MELAYU SECARA SERIUS. Ramai yang bersuara tapi hanya sekadar retorik tanpa tindakan berkesan, bersuara ketika pemilihan atau kempen pilihanraya.

Mungkin golongan para guru sahaja yang masih begitu serius memikirkan nasib anak-anak bangsa. Itupun diikat kaki, tangan dan disumbat mulut. "PELAJAR TIDAK BOLEH DISENTUH DAN DIMARAH". Tugas guru mengajar sahaja, walaupun pelajar itu semakin kurang ajar.

Faktor2 lain yang mungkin,

- mungkinkan gejala rasuah juga menyebabkan melayu semakin terhina dan mundur?
- mungkinkan kuota 30% DEB menjadi melayu lemah dan wujud sikap rasa cukup dan rasa tidak apa walaupun 70% dikuasai oleh orang lain?
- mungkinkah sikap dengki dan tidak boleh lihat orang lain lebih menyebabkan melayu tidak boleh bersatu dan senang di perkotak- katik kan?
- mungkinkah sikap lebihkan bangsa lain berbanding bangsa sendiri menyebabkan melayu susah untuk bersaing?

Benar kata YB, adakah bangsa lain bersedia berkongsi kek ekonomi dengan bangsa melayu.

Lihat beberapa senario secara terbuka dan berlapang dada tanpa ada niat menimbulkan prasangka perkauman, ikhlas kita melihat senario ini:

- Kedai runcit bangsa lain boleh hidup diperkampungan melayu. Adakah kedai runcit melayu boleh hidup di perkampungan bangsa lain?

- Majoriti pelanggan bagi kedai pemborong hardware bangsa lain adalah melayu, siapa pelanggan kedai pemborong hardware melayu?

- Syarikat-syarikat bangsa lain amat sukar untuk menggaji melayu untuk pos penting disyarikat mereka, bagaimana dengan syarikat-syarikat melayu?

- Restoran mamak muslim, cuba lihat siapa pembekal barangan untuk masakan mereka, siapa lebih ramai Melayu, India atau Cina, jawapannya mudah sahaja, sudah tentu bukan melayu

- Jika stesen minyak petronas dan shell sebelah menyebelah, lihat bangsa lain, stesen mana yang mereka akan pilih? anda pasti ada jawapannya

- Jika syarikat swasta bangsa lain mempunyai sebarang projek, adakah mereka akan memberikan projek tersebut kepada syarikat2 melayu. Sudah tentu mati-matian mereka tidak akan bagi dengan pelbagai alasan walaupun diadakan tender terbuka dan kononnya telus..Alasan meritokrasi

- Malahan bank pilihan, cuba lihat jika public bank dan maybank sebelah menyebelah, kemana bangsa lain akan pergi berurusan?

- Cuba berkomunikasi dengan anak remaja bangsa lain, apakah bahasa yang meraka lebih faham, adakah bahasa melayu, jawapannya mudah, sudah tentu bukan melayu. Selain bahasa ibunda, mereka lebih fasih berbahasa Inggeris dari berbahasa kebangsaan..

Cukuplah sekadar itu..

lihat dan renungkan lah..

YANG PASTI SEMAKIN KETARA ANAK-ANAK BANGSA MELAYU SEMAKIN LEKA DENGAN HANPHONE, SMS DAN PROGRAM REALITI, ROKOK, REMPIT DAN BUANG ANAK...

Namun, sudah tentu Bangsa Melayu tidak boleh terus mengalah dan berpeluk tubuh dengan menyerah kepada nasib.

Maksud Firman Allah di dalam Al-Quran: "Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu berusaha untuk merubah nasib mereka sendiri"

Contohilah bangsa kulit hitam Amerika. Bermula dari sekumpulan hamba abdi ratusan tahun dahulu, kini akan menduduki rumah putih. Adalah mereka meneriakkan soal kuota kepada bangsa kulit putih Amerika..

ADUN PULAU BETONG, Setiausaha Politik YB Tan Sri Nor Mohamed Yakcob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata...

Terima kasih atas pandangan Sdra. Keris Bersarung. Saya bersetuju dan ambil perhatian dengan pandangan sdra. Saya ingin terus berkongsi pandangan saya dengan sdra. dan lain-lain rakan pembaca dengan artikel ke-2 saya yang bertajuk MELAYU PULAU PINANG HARUS TERUS MELANGKAH. InsyaAllah, kalau kita berfikir bersama, berganding bahu menyelesaikan masaalah yang sama-sama kita hadapi, saya yakin yang berat akan menjadi ringan, yang sukar akan menjadi mudah kerana setiap niat yang yang ikhlas dan besikap positif akan mendapat bantuan Allah Yang Maha Berkuasa. Kita semua beperanan, maka mainlah peranan kita dengan bersungguh-sungguh.