Sajak-sajak berikut ditulis ketika berada dalam pesawat
Berada di udara dan berilhamkan kepada AWAN milik Yang Maha Esa.
Saya yakin dalam setiap kita mempunyai jiwa seni,
Kalau kita merenung kedalamnya, kita akan dapat menulis dan menuturkan kata-kata indah.
Apakah ada pertalian antara Awan dan Cinta ..... ?
Silakan membaca.
Sajak 1
Awan Dan Cinta
Awan
Sungguh gebu kulihatmu
Ingin kucapai tapi tak mampu
Kuburumu pasti tak ketemu
Geramku mengusik kalbu
Cinta
Sungguh indah sebutan namamu
Ingin kudakap tapi tak mampu
Kuburumu pasti ketemu
Tapi tak pasti kehadiran diterimamu
Awan Dan Cinta
Sungguh cantik, sungguh indah
Sungguh mengasyikkan
Mahu kucapaimu
Mahu kupautmu
Mahu kugenggammu
Tapi meresap menghilang
Namun Cinta Dan awan
Akan kuterus mendambamu
Mengejar pasti yang tak pasti
Mencintai awan : Sr. Farid
nukilan di awan biru kembali dari Kucing
5.30pm, 18 May 2012.
Sajak 2
Awan dan Cinta 2
Awan... Aku terus merinduimu
Tapi kau pergi jua
Meninggalkan langit biru
Hilang gebumu
Aku mendambamu
Langit biru hampir kosong
Dengan palitan kabus
Tompokan berbekas
Tidaklah bersendirian
Masih kekal menanti
Kegebuan awan
Yang tetap akan menjenguk kembali
Cintaku ....
Kutahu engkau tidak kemana
Kerana kau berada dimana-mana
Menyisih diri seketika
Menyubur bersendiri
Mengubati luka terguris nista
Awan dan Cinta
Sesekali kembali bernostagia
Mencari makna rindu
Hilang tapi kekal
Pergimu tanpa rela
Tinggal Bergetar rindu
Rinduku rindumu jua
Sr. Farid
Dinukil Diawan Biru Sekembali dari Jakarta
OIC Biz Conference
15 Sept. 2012
Selasa, 25 September 2012
Isnin, 13 Ogos 2012
Kemelut Tanah Kampung Terang – Dalam Terang Kita Semakin Gelap
Ramai
orang telah bercakap dan menyentuh tentang isu Penjualan Tanah di Kampung
Terang yang melibatkan sekeping tanah dan dua pemimpin UMNO iaitu Dato Omar
Fauzar dan Dato Musa. Difahamkan mereka adalah pemilik Miliion Crest Sdn. Bhd.,
iaitu syarikat yang telah membeli tanah tersebut. Saya memerhati perkembangan
berkaitan perkara ini sejak ianya mula di timbulkan oleh Ketua Menteri Pulau
Pinang dan Dato’ Speaker yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Balik Pulau.
Kemudiannya disambut oleh pemimpin-pemimpin PKR dan PAS Balik Pulau lainnya.
Dan terakhir sekali telah disentuh lagi oleh pemimpin DAP semasa lawatannya ke
Rumah Berhala Lam Thean di Sg Ara Bayan Lepas pada 11 Ogos. Lapuran yang
diterima memaklumkan bahawa antara kandungan ucapan beliau telah membidas dua
orang pemimpin UMNO yang telah menipu rakyat dengan membeli tanah milik orang
Melayu dan mengaut keuntungan sebanyak RM 5.00 juta dalam tempoh 3.5 bulan.
Beliau antara lain telah menyeru kepada para hadirin untuk menolak UMNO kerana
pemimpin UMNO sanggup menipu bangsa sendiri dan mereka tidak akan membela kaum
lain. Jika benar ungkapan itu, ianya adalah satu kenyataan yang berniat jahat
dan memberi gambaran yang melampau tentang UMNO yang sebenarnya mensasarkan
kepada kepimpinan Melayu di negeri ini. Sebagai pemimpin kecil dikawasan ini,
saya rasa saya perlu bersuara dan menulis diblog ini. UMNO yang menunjangi
kepimpinan Barisan Nasional bukan ditubuhkan untuk menipu bangsa sendiri dan
jauh sekali untuk menginayai kaum lain.
Sebagai
pemimpin tempatan tentulah saya amat terasa dengan kenyataan yang dibuat. Lebih-lebih
lagi ianya berkaitan dengan isu yang begitu berat yang saya pandang dan dekat
dihati saya. Seringkali saya mengingatkan anggota masyarakat di Balik Pulau ini
supaya tidak menjual tanah-tanah mereka yang mereka warisi. Telah berulangkali
saya menekankan bahawa kita hanyalah sebagai pemegang amanah keatas tanah-tanah
yang di wariskan kepada kita. Tanah-tanah tersebut adalah untuk anak-anak dan
seterusnya cucu-cucu kita. Apapun yang kita lakukan, sebarang tindakan yang
kita ambil, kita hendaklah memikirkan natijah yang akan menimpa generasi akan
datang. Walau apapun yang saya katakan dan lakukan, saya sedar bahawa saya tidak
akan dapat menghalang para pewaris untuk tidak menjual tanah mereka, kerana itu
hak mereka. Mereka bebas menjualnya ataupun mengadainya.
Apa
yang tidak dapat saya terima adalah seringkali bebanan serta kesalahan menjual
tanah itu diletakkan sepenuhnya keatas UMNO dan seterusnya pemimpin UMNO
walaupun yang menjual tanah itu bukan UMNO, bukan ahli UMNO, dan hanyalah
seorang Melayu yang tentunya mempunyai sebab untuk menjualnya. Cuba lah kita berlapang dada dan berfikir
sejenak.
Apakah
UMNO dan pemimpin dapat menghalang si pewaris daripada menjual tanah
mereka? Apakah PAS atau PKR atau DAP dan
pemimpin mereka dapat menghalang pemilik daripada menjual hak mereka ? Soal
menjual atau tidak adalah tertanggung diatas pewaris-pewaris. Kalau mereka
sudah membuat keputusan, sepatutnya kita menghormati keputusan mereka dan
bukannya meletakkan keputusan mereka itu sebagai satu kesalahan kepada orang
lain, dalam hal ini UMNO dan pemimpinnya.. Ketua Menteri atau Ketua Cabang atau
Yang diPertua PAS setempat atau Ahli Majlis atau Ahli Parlimen baru empat tahun
ini berada ditampuk kuasa pemerintahan negeri dan mereka itupun bukanlah
sepenuhnya menjadi rujukan masyarakat untuk menyuarakan masaalah mereka
seharian. Memang mudah untuk mereka menunding jari menyalahkan siapa sahaja
asalkan bukan mereka dan menabur janji. Cukup-cukuplah dengan sikap menunding
jari yang sebenarnya tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.
Keputusan
untuk menjual yang diambil oleh semua pewaris adalah kerana mereka menghadapi
masaalah untuk mengagihkan hak dan panggu mereka yang ramai itu dalam bentuk
agihan hartanah. Maka tentulah kecairan asset lebih mudah, dan dengan menjual
tanah dan mengagih wang perolehan hasil jualan adalah jauh lebih mudah
berdasarkan kepada peratusan hak atau panggu mereka. Tanah itu pula dijual
dengan cara perbincangan dan dipersetujui bersama (willing buyer and willing
seller). Tidak ada paksaan dalam persetujuan itu. Bukankah itu adalah kaedah
yang terbaik berbanding dengan percubaan pihak kerajaan negeri yang mahu
mengambil tanah orang kampong yang dipertahankan habis-habisan. Amatlah tidak
wajar untuk mengatakan penduduk ditipu. Tetapi kalau sudah diniatkan untuk
mencetuskan rasa benci dan permusuhan maka kenyataan ‘telah menipu itu’ telah
berjaya mencapai tujuan ianya dicanangkan. Jika sudah diniatkan untuk
melahirkan rasa permusuhan dan kebencian sesama anggota masyarakat, maka
kenyataan bahawa UMNO tidak menjaga bangsa Melayu maka jangan harap untuk
menjaga bangsa lain, adalah satu telahan politik yang jahat. Adapun keuntungan
yang dibuat itu pulak adalah selepas transaksi kedua dibuat. Perubahan kenaikan
harga tidak perlu menunggu 3.5 bulan tetapi boleh mencapai nilai baru dan masa
seminggu sahaja. Kita harus tahu dan sedar bahawa nilai harga tanah dikawasan
Balik Pulau ini tidak ada jadual yang khusus. Kadar jualan adalah lebih
berdasarkan kepada penjualan dan pembelian secara sukarela dan suka sama suka.
Sudah ramai orang tengah yang mendapat keuntungan dalam urusniaga tanah
dikawasan ini.
Diwaktu para pewaris berasa gembira dan
bersyukur kerana ada orang Melayu membeli tanah mereka, orang politik pula
mengambil kesempatan untuk menjadikanya agenda politik untuk menjatuh imej dan
maruah satu pihak yang lain. Dikala para pewaris berjaya menikmati wang hasilan
jualan tanah yang mereka warisi untuk digunakan bagi tujuan yang berfaedah dan
memenuhi keperluan semasa mereka, orang politik pula berusaha untuk meraih populariti
sokongan politik. Yang paling menyedihkan lagi, sesama sebangsa bertelagah
mengikut gendang yang dialunkan oleh orang yang cuba memecah-belahkan sesama
kita. Aneh kan ?, kita lebih rela bermasan muka sesama sendiri diatas isu yang
sebenarnya boleh menyatupadukan kita. Cuba lihat sendiri, dalam bagitu
banyaknya projek perumahan mewah yang dibuat, berapa ramaikah pemaju Melayu –
hanya 1 sahaja. Ada orang ketawa melihat
kita bertelagah. Lagi teruk kita bertelagah, lagi seronok mereka. Ada orang ke
bank mengira untung, kita pula sebok kekedai kopi mengira berapa banyak kita
boleh menjatuh sesama kita.
Ada
perkara yang boleh kita politikkan, tapi janganlah semua benda kita hendak
politikkan. Tidak adakah langsung dalam hati kita ini untuk menjadikan
permasaalahan yang dihadapi ini sebagai faktor penyatuan!
Adapun
sebenarnya isu tanah Kg.Terang itu bukannya satu isu yang patut di perbesarkan
oleh Pakatan Rakyat (PR). Tetapi ianya sengaja di jadikan isu besar untuk
menutup isu sebenar yang menampakkan Kerajaan PR jelas mahu merampas tanah
milik orang kampung seperti yang berlaku pada penduduk Kg.Genting. Dengan
tujuan untuk mengalihkan pandangan serta tumpuan terhadap bantahan demi
bantahan yang di anjurkan penduduk, maka isu tanah Tanah Kg.Terang pun sengaja
di perbesarkan mengikut citarasa Kerajaan PR yang tak bertanggungjawab ini. Isu
berkaitan dengan Kg Genting telahpun saya jelaskan dalam penulisan sebelum ini.
“Ya
Allah, satukanlah hati-hati kami dibawah payung rahmatMU dan elakkan kami
daripada berpecah-belah dalam urusan seharian kami dalam mempertahankan Agama
kami, Bangsa kami dan Tanahair kami. Jadikan bumi Malaysia yang dihuni oleh
makhlukMU yang berbagai bangsa, keturunan dan agama anutan, sebuah negara yang
aman, bahagia dan berkembang menjadi sebuah negara maju yang didalammnya kami
hidup bahagia dan bersenangan dengan nikmatMU”
Isnin, 6 Ogos 2012
Kerajaan Pakatan-DAP, AWLU, Penduduk Kampung Genting dan Masyarakat Balik Pulau
Setelah hampir 2 tahun berlalu, cadangan
pengambilan tanah oleh kerajaan negeri
Pulau Pinang bagi tanah berkeluasan lebih kurang 100 ekar di Kampung Genting (iaitu
hampir separuh dari keluasan kampung) telah mulai dilupai oleh warga kampung.
Tiba-tiba sahaja apabila hampir luput tarikh warta pengambilan, penduduk
kembali dikejutkan dengan berita pengambilan tanah yang belum selesai itu.
Harap perkara ini menjadi renungan dan pengajaran kepada semua pihak.
SELAMAT BERPUASA DAN SELAMAT MENYAMBUT AIDIL FITRI
Menyingkap kembali peristiwa yang telah
berlaku, Pihak kerajaan negeri telah mewartakan pengambilan beberapa lot tanah
Kampung Genting pada awal bulan Ogos
2010. Sekitar awal bulan Oktober 2010, penduduk terbabit telah mula menerima
notis daripada Pejabat Daerah dan Tanah. Beberapa perbincangan telah diadakan
sesama mereka mengenai hal pengambilan tanah itu dan pada 20hb. Oktober tahun
2010, para penduduk telah pun menghantar surat bantahan keras terhadap
pengambilan tanah Kampung Genting kepada Ketua Menteri, malah beberapa orang
dari mereka telah berjumpa dengan YB Dato’ Mansor Othman – TKM1. Mereka telah
menyatakan bantahan keras mereka akan pengambilan tanah mereka oleh pihak Kerajaan Negeri. Ini bermakna,
pihak kerajaan negeri telah maklum akan bantahan ini. Tanah itu telah di
wartakan di bawah Seksyen 8 Kanun Tanah Negara. Ini bermakna pemilik tanah
tidak boleh melakukan sebarang pemindahan ke atas tanah mereka sekaligus telah
hilang hak ke atas tanah mereka selama 2 tahun.
Mengikut bancian, terdapat 12 pemlik
tanah Melayu berkeluasan lebihkurang 44 ekar dan 10 pemilik Cina berkeluasan
lebihkurang 29 ekar dan selebihnya tanah milik syarikat. Kebanyakan pemilik
tanah Melayu berkongsi tanah dengan ramai ahli keluarga. Pemilik tanah
berketurunan Melayu dan Cina bersama-sama penduduk kampung telah membuat protes
di kampung mereka secara aman setelah mengetahui keinginan kerajaan negeri
untuk mengambil tanah mereka. Akhirnya, kesan daripada protes tersebut yang
berterusan sebanyak 2 kali, kerajaan negeri mengambil langkah mendiamkan diri
hampir 2 tahun dan secara tidak langsung memberi bayangan kemungkinan cadangan
untuk membina IPTS telah dibatalkan.
Setelah hampir dua tahun berlalu,
masyarakat Balik Pulau khususnya, kembali panas dengan isu pengambilan tanah di
Kampung Genting. Semuanya berlaku selepas penduduk menerima sekeping surat
daripada Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Barat Daya Ruj PTBD/B/315(50)
bertarikh 29 Jun 2012 dan kemudiannya disusuli pula dengan surat daripada
pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Ruj : PSUKPP/05/0761/27 Klt.18
bertarikh 20 Jun 2012.
Surat dari Pejabat Derah dan Tanah
itu bertajuk – Perjumpaan tuan tanah bersama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang
bagi Permohonan Pengambilan tanah untuk Tujuan Awam (Institusi Pendidikan) di
Mukim J dan 7, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Sementara surat dari Pejabat
SUK pula membawa tajuk Pembinaan Universiti di Genting, Balik Pulau – Asian
Women Leadership University (AWLU) dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP)
Kerajaan Persekutuan.
Melalui surat tersebut, penduduk diminta
untuk berjumpa dengan Ketua Menteri pada 3 Julai 2012 bertempat di KOMTAR untuk
membincangkan mengenai harga yang akan ditawarkan. Ketua Menteri Pulau Pinang
dilihat telah mengambil kesempatan untuk menawarkan tanah Kampung Genting
kepada AWLU setelah cadangan untuk membina sebuah IPTS di Pulau Pinang diminta
oleh pihak AWLU. Kita percaya Ketua Menteri telah mencadangkan tanah Kampung
Genting kepada pihak tersebut kerana kegagalan beliau untuk mengambil tanah
Kampung Genting hampir dua tahun yang lalu. Namun hanya 25% pemilik yang hadir.
Mereka membantah tentang cadangan pengambilan tanah tersebut di atas beberapa
sebab iaitu :
i. Mereka
tiada tanah lain untuk berpindah dengan keluarga yang besar dan mereka memang
tidak mampu untuk membeli rumah yang terlalu mahal di Balik Pulau kerana
kerajaan negeri tidak pernah membina rumah kos rendah.
ii. Harga
pampasan pengambilan tanah yang ditawarkan terlalu rendah iaitu RM8 ke RM10
sekaki persegi. Harga pasaran sekarang adalah dalam lingkungan RM35 ke RM40 sekaki
persegi. Pemilik tanah tidak akan dapat membeli tanah atau rumah lain dengan
harga pampasan yang ditawarkan kerana ianya terlalu rendah berbanding harga
pasaran. Ini seolah-olah kerajaan negeri mengambil tanah mereka untuk diberikan
kepada pihak swasta.
Mengikut surat dari Pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu ( Ruj : PSUKPP/05/0761/27 Klt.18
bertarikh 20 Jun 2012), Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyidin
bin Mohd Yasin telah meluluskan sebuah Universiti
Awam Antarabangsa bernama ASIAN Women Leadership University (AWLU) di Hub
Pendidikan Pulau Pinang sebagai Entry Point Project (EPP). Penduduk tertanya
apabila membaca surat tersebut. Antara persoalannya adalah : apakah benar ini
sebuah universiti Awam (IPTA) yang merujuk kepada universiti milik kerajaan
seperti USM, UM dan UKM? Atau sebuah universiti Swasta (IPTS) kerana surat
tersebut menyatakan tentang pelaburan sebanyak RM 492.00 Juta. Apakah perkataan
AWAM itu adalah berniat untuk mengaburi pemikiran masyarakat kampung yang kononnya
kalau itu sebuah Universiti Kerajaan Persekutuan, maka penduduk akan menyokong
dan kalau Universiti itu dimiliki oleh selain dari kerajaan Pusat penduduk tidak
akan menyokong! Hakikatnya, penduduk
telah dengan tegas dari awal lagi telah memaklumkan bahawa mereka tidak akan
menjualkan atau menyerahkan tanah mereka kepada sesiapa sekalipun kerana mereka
mahu terus memiliki dan tinggal disana. Sebab itulah ketika menghantar
surat bantahan kepada TKM-1, mereka semua menandatangani dengan dakwat merah
(simbolik kepada darah) tetapi diperlekehkan oleh YB Mansur yang mengatakan
orang kampung tidak tahu menandatangani surat (sebab tidak mengunakan dakwat
hitam)
Para ketiga surat itu menyatakan
bahawa pihak AWLU telah mengenalpasti tanah seluas 100 ekar di Genting, Balik
Pulau. Persoalannya, bagaimanakah pihak AWLU mengetahui berkaitan dengan tanah
ini? Tentunya dengan maklumat dari pihak Kerajaan Negeri sendiri. Yang menghairankan adalah, setelah pihak
Kerajaan sendiri telah tahu akan bantahan penduduk, mengapa mereka masih
memaklumkan kepada pihak AWLU bahawa tanah itu boleh digunakan untuk pembinaan
universiti mereka. Mengapa pihak kerajaan negeri tidak terus sahaja menunjukkan
tanah yang telah pun dimiliki oleh mereka di Pondok Upeh (yang kini akhirnya
ditawarkan kepada pihak AWLU) !
YAB Ketua Menteri dalam siding
akhbarnya telah menunjukkan kepada wartawan surat daripada YB Senator Idris
Jala bertarikh 12 Jun 2012 sebagai bukti bahawa projek itu adalah projek EPP
(Entry Point Project) yang telah diluluskan dalam mesyuaratnya yang telah
dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Tidak ada saya ayat pun yang
menjuruskan kepada pemilihan Kampung Genting sebagai tapak AWLU. Tetapi, yang
agak menghairankan adalah ayat terakhir surat tersebut yang menyatakan “ the above is for YAB’s information and
follow-up to enable TRANSFER of 100 acres to the AWLU Malaysian Foundation”.
Ayat ini seolah-olah memaklumkan bahawa tanah telah sedia untuk dipindah milik
kepada AWLU. Tanah orang kampung Genting? Mudah benar nak pindah milik tanah
orang! Atau mungkin juga pihak Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada AWLU
dan YB Idris Jala bahawa mereka telahpun memiliki tanah Kampung Genting itu.
Pada tarikh 22 Julai 2012, pemilik
tanah telah dipanggil sekali lagi ke Pejabat Daerah Barat Daya untuk berjumpa
dengan Ketua Menteri. Dalam perjumpaan itu, Ketua Menteri telah menunjukkan
sepucuk surat bahawa beliau yang telah mencadangkan kepada pihak AWLU supaya
memilih tanah di tempat lain untuk pembinaan universiti tersebut. Ini jelas
menunjukkan Ketua Menteri mahu pemilik tanah serta seluruh masyarakat di Balik
Pulau memandang beliau sebagai ‘hero’ kerana mempertahankan hak orang kampung.
Tetapi harus diingat bahawa beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab
mencadangkan tanah Kampung Genting untuk pembinaan universiti tersebut dan juga
pada peringkat permulaan Seksyen 8 itu di wartakan sebelum kedatangan pihak
AWLU lagi. Pihak AWLU sendiri yang telah menolak pengambilan tanah di Kampung
Genting atas dasar prihatin tentang kesulitan yang akan timbul kesan daripada
pengambilan tersebut setelah mengetahui bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang
sebenarnya mahu mengambil tanah orang kampung
untuk membina universiti tersebut.
Persoalannya, mengapa Ketua Menteri,
Lim Guan Eng berminat sangat untuk mengambil tanah Kampung Genting padahal
masih banyak lagi tanah kosong yang lebih luas di Balik Pulau ini. Timbul
spekulasi bahawa beliau ingin mengusir penduduk tempatan secara halus dan
menggantikan dengan penduduk luar yang lebih berkemampuan untuk membeli rumah
kos tinggi yang sedang giat dibina di Balik Pulau.
Mungkin benar ada di antara
masyarakat Cina di pulau ini yang membuat pemerhatian mengatakan “Sekarang di
Pulau Pinang rumah sangat mahal. Kedai pun mahal, sewa pula terlalu
tinggi…Macam mana mahu berniaga? Akhirnya penduduk asal pulau ini akan
berpindah beramai-ramai ke seberang dan pulau ini akan diduduki oleh bangsa
Inggeris, Jepun, Taiwan dan juga Singapura.”
Dalam sidang akhbar, dipetik dari
akhbar The Star, pada 23hb. Julai, 2012, YAB Ketua Menteri berkata “ we had
initially offered them the plot in Jalan Pondok Upeh, along with areas in Batu
Kawan, but they rejected them and chose Kampung Genting”. Tetapi jika dirujuk
pula kepada surat dari Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Ms. Barba Hou,
President AWLU Project bertarikh 20 July 2012 dinyatakan pula …” Further to
your request to locate the AWLU Project Campus on a site that has already been
acquired by the State Government, I am pleased to confirm that there is such a
site. We therefore suggest the site previously identified at Jalan Pondok Upeh,
balik Pulau, Penang which will not result in any dislocation of residents and which
already been acquired by and is in possession of the State Government. The site
will be immediately available for the AWLU Project campus”. Kita yakin jika
sekiranya dari awal lagi pihak AWLU diberikan maklumat sebenar berkaitan dengan
tanah dan pendirian pemilik tanah Kampung Genting , tentunya keputusan mereka
juga akan berbeza.
Kita juga berasa amat pelik apabila
mendapati surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Ruj. PSUKPP/05/0762/27
Klt.18 bertarikh 20 July 2012 yang di hantar kepada Ms Barbaea Hou, President
AWLU Project yang beralamat di Menara UOA Bangsar memaklumkan perkara diatas
telah dibalas oleh Dato’Latifah Merican Cheong pada tarikh 20hb. July 2012 dan
diterima oleh Pejabat Ketua Menteri pada 20hb. Julai 2012. Ketiga-tiga surat
dibuat, dihantar dan diterima oleh tiga pejabat yang berlainan pada hari yang
sama! Pelik tapi benar. Inilah yang dikatakan Cekap, Akauntibiliti dan Telus
ala DAP.
Apapun yang berlaku telah berlaku.
Kini anggota masyarakat Balik Pulau berbalah sesama sendiri mengikut siapa yang
disokong. Kesimpulannya, telah
berjayalah pihak-pihak tertentu yang mahukan perpecahan dan perbalahan berlaku
dikalangan masyarakat di Balik Pulau ini. Harapan kita adalah agar Kampung
Genting tidak akan berada dalam keadaan genting lagi.
Kita mengucapkan jutaan terima kasih
kepada pihak AWLU kerana prihatin terhadap keresahan dan tidak puas hati para
pemilik tanah dan juga penduduk kampung tentang pengambilan tanah oleh Kerajaan
Negeri. Juga ucapan terima kasih ingin dirakamkan kepada Ketua UMNO Bahagian
merangkap ADUN Telok Bahang YB Dato’ Seri Dr. Helmi Hj.Yahaya dan YB Tuan Syed
Ameruddin ADUN Bayan Lepas kerana banyak membantu warga Kampung Genting dalam
menghadapi permasaalahan yang dihadapi oleh orang kampung dalam kes ini. Mereka
turut membantu mendapatkan fakta sebenar dari pejabat YAB Timbalan Perdana
Menteri dan juga dari Kementerian Pengajian Tinggi. Tidak pernah sekalipun wakil-wakil rakyat kita menimbulkan persoalan perkauman
dalam kes ini. Adalah amat tidak wajar YAB
Lim Guan Eng dalam perjumpaannya dengan wakil penduduk di Komtar yang
menuduh pemimpin kami mengamalkan perkauman. Mereka telah lama bersama kita
diwaktu susah dan diwaktu senang, maka mereka memahami hati dan perasaan
masyarakat di Balik Pulau, baik Melayu mahupun Cina dan India.
Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional
sejak dari dulu lagi telah berusaha kearah menjadikan Balik Pulau sebagai hub-pendidikan
antaranya pembinaan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Maktab Rendah Sains MARA,
Kolej Vokesional, SKM Pondok Upeh, Politeknik Balik Pulau dan Kampus Sementera
UiTM. Hub-pendidikan adalah usaha berterusan kepimpinan Barisan Nasional sejak
dari dulu dan bukannya sekelip mata berlaku dibawah Pakatan-DAP.
Isnin, 18 Jun 2012
Teks Ucapan Hari Guru Daerah Barat Daya
Tempat : Dewan SRJKC Chong Teik
Tarikh : 14hb, Jun, 2012
TEMA sambutan tahun ini adalah "GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"
Tarikh : 14hb, Jun, 2012
Selamat
pagi dan salam sejahtera.
Saya
berasa cukup gembira dapat hadir dan berucap dihadapan para guru yang amat saya
hormati sekelian. Terima kasih diatas peluang dan kesempatan yang diberikan
oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang di ketuai oleh Chegu Zabidi, untuk
bertemu muka dengan semua guru sempena Hari Guru tahun ini.
Saya
juga amat bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita semua kekuatan
dan kesihatan serta kelapangan masa untuk hadir kemajlis penuh bermakna dipetang
yang berbahagia ini.
TEMA sambutan tahun ini adalah "GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA"
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.
Izinkan
saya menyuntik seperanggan daripada Ucapan YAB PM sempena menyambut hari guru
tahun ini. “Bagi para guru, cabaran paling getir adalah bagaimana untuk
melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang terdekat. Tujuannya
ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan
yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan mengisi keperluan sebuah
masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira
kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang untuk mengecap nikmat
pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama. Pendidikan yang berkualiti
untuk rakyat adalah satu-satunya wadah bagi melahirkan modal insan yang
berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Saya
yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran
bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja.
Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian
budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid
dan masyarakat. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan
sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan
ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani,
jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan
ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui
dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru
dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan
ilmu dan adab yang mulia. Sesungguhnya,
tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. “
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.
Ada
beberapa perkara atau perkataan penting (keywords) dalam ucapan YAB PM yang
hendak saya tekankan dalam konteks pendidikan di Barat Daya amnya dan Balik
Pulau khasnya. Iaitu, guru berkualiti, guru berinovasi, pemantapaan sekolah berinovasi
dan memantapkan profesyen perguruan.
Pada
tahun 2012, JUMLAH PELAJAR YANG MASUK DARJAH 1
: 3092 MURID dan ini adalah gambaran tentang jumlah pelajar baru yang
akan memasuki alam persekolah setiap tahun. Dan sebanyak itulah yang akan
meninggalkan bangku sekolah saban tahun.
Jika
dilihat, JUMLAH PELAJAR SEKOLAH RENDAH
adalah 19,694 orang DAN jumlah pelajar di Sekolah MENENGAH adalah
10,534. Ini bermakna terdapat sebanyak 30,228 orang pelajar disekolah yang
sedang belajar dipelbagai peringkat bagi
DAERAH BARAT DAYA pada tahun 2012
Dari
segi bilangan guru pula, kita mempunyai seramai 1,520 guru untuk sekolah rendah
dan seramai 797 orang guru di sekolah menengah. Kesemua 2,317 guru ini perlu
menjaga 1,078 buah bilik darjah dan 30,228 pelajar. Kita sedar bahawa bukan
mudah untuk melaksanakan profesyen perguruan ini. Tepatlah seperti kata YAB
Perdana Menteri seperti yang saya sebutkan tadi. Para guru perlu menjaga,
mendidik, memberi ilmu, mengajar disiplin, berinovatif dan berupaya
mentransformkan dan sebagai.
Tuan-tuan
dan Puan-puan para Guru yang saya hormati sekelian.
Melangkah
kedepan, Saya berpendapat bahawa para guru perlu memasyarakatkan pengajaran dan
pendidikan mereka. Apa yang saya maksudkan adalah berdasarkan dari perbualan
saya dengan para pelajar, ilmu pengetahuan mereka dalam hal-hal berkaitan
dengan masyarakat, tentang kehidupan, tentang tumbuh-tumbuhan dan persekitaran
adalah berada ditahap yang rendah dan masih banyak yang perlu dipertingkatkan.
Bagi saya, kehidupan kita dan alam serta persekitaran harus selari dan
berganding rapat. Pengetahuun yang mudah-mudah dan yang sering dianggap remeh
sebenarnya adalah mustahak dalam membentuk diri, peribadi dan jatidiri para
pelajar. Contohnya tentang beras yang dimakan hari-hari. Pengetahuan asas
seperti bagaimana asal-usul beras, cara ditanam, musim pengairan, cara dan
jenis racun, jenis baja, kenapa hasil tidak memuaskan, kenapa racun merbahaya
kepada alam sekitar, kenapa ikan-ikan mati, kenapa tidak ada lagi haruan, ikan
sepat, ikan temekong dan sebagainya. Semua ini, jika diadun dengan dengan baik
dan sinergistik sebenarnya akan melahirkan minat kepada para pelajar. Apabila
kita boleh menghubungkaitkan kehidupan kita dengan alam dan persekitaran, kita
sebenarnya merangsang minda para pelajar. Semakin hari, para pelajar kita
kurang prihatin dengan alam sekitar, kerana mereka lebih prihatin dengan alam
siber. Hendak bercakap dengan kawan guna sms. Nak minta sesuatu dari emak bapa,
guna sms. Hendak mintak sesuatu secara berdepan takut emak dan ayah marah, jadi
minta secara sms, maka terselamatlah dari leteran. Masa lapang pula dihabiskan
dengan bermain video games dengan capaian internet. Tidak ada lagi interaksi
secara efektif dengan rakan sebaya. Kita seolah-olah mengajar dengan membiarkan
anak-anak kita untuk berinteraksi dengan besi, tanpa perasaan, tanpa wawasan.
Maka lahirlah dikalangan para pelajar kita satu generasi yang berjiwa kosong.
Jiwa yang tidak berpijak dialam nyata, jiwa yang terawang-awang tanpa halatuju
kehidupan yang berpasak kepada reality kehidupan hari ini dan masa depan. Trend
ini sebenarnya amat merbahaya, amat tidak sihat dan amat merisaukan. Saya
berani berkata demikian, kerana berdasarkan pengalaman saya selama 8 tahun
bersama dengan masyarakat. Saya berjumpa dengan berbagai karenah, berbagai
ragam, berbagai masaalah yang memerlukan satu kaedah penyelesaian diluar kotak
pemikiran biasa bagi menyelesaikan masaalah yang dulu tak biasa kita hadapi,
tapi kini menjadi luar biasa yang perlu dihadapi.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.
Saya
mahu mengajak para guru semua untuk bersama berfikir bagaimanakah kita hendak
melestarikan masa depan generasi kita bermula dari hari ini. Saya berpendapat, Ianya
boleh dilaksanakan dengan cara yang agak mudah iaitu, dalam apa juga perkara
yang kita buat hari ini, kita harus memikirkan apakah yang akan berlaku kepada
generasi akan datang hasil daripada tindakan kita ini. Sebagai contoh, kita
adalah hasil daripada apa yang kita makan. Kalau kita makan makanan berzat dan
berkhasiat, maka akan sihatlah jadinya tubuh badan kita. Kalau kita makan
makanan yang tidak berzat, akan terjebaklah kita ke kancah masaalah kesihatan
tubuh badan. Untuk kita nak makan makanan berkhasiat dan berzat, bukan lah
bermakna kita perlu memakan makanan yang mahal-mahal, tetapi memadai dengan
makanan segar yang terdapat dikelliling kita, lebih baik kalau kita mampu tanam
sendiri. Jika kita mula menanam bermakna kita menjadikan tanah subur yang
terbiar, akan mendatangkan hasil kepada kita. Akan menambah penampatan kita.
Akan membantu kedudukan ekonomi kita. Untuk melakukan semua, semaada menanam,
memilih tananam, memilih baja, menuai, pengairan dan sebagainya semuanya memerlukan
ilmu pengetahuan. Dan ilmu pengetahuan ini sebenarnya boleh di perolehi di
sekolah dan diluar sekolah, samaada dalam bentuk pengajaran formal mahupun
tidak formal melalui kegiatan ko-kurikulum dan sebagainya. Ianya boleh
dilaksanakan pada hari sabtu atau pun pada bila-bila musim cuti persekolahan.
Bukan sahaja oleh guru-guru, tetapi juga melibatkan rakan-rakan kita daripada
jabatan lain seperti jabatan pertanian, jabatan haiwan, jabatan kerja raya,
jabatan pengairan dan saliran, pejabat daerah, pejabat belia, polis diraja
Malaysia, angkatan Tentera, Bomba dan sebagainya. Saya berpendapat gandingan
strategik antara jabatan dalam usaha untuk membentuk generasi hebat dan
cemerlang masa depan boleh di laksanakan, kerana generasi masa depan adalah
anak-anak dan cucu-cucu kita juga. Saya mahu mengikis dan membuangkan sikap
nafsi-nafsi yang wujud dalam diri kita sekian lama kepada sikap ambil berat,
sikap berkasih sayang, sikap muhibbah, sikap positif dalam kehidupan seharian kita.
Apa yang hendak saya katakan, marilah kita bersama-sama mengubah pendekatan
kita keatas kehidupan kita. Kita perlu memperbaharui hubungan kita, cara kita
berfikir dan cara kita bekerja, Kita perlu memperbaiki hubungan bukan sahaja
sesama manusia tetapi juga hubungan kita dengan alam dan semestinya dengan
tuhan. Apa yang kita buat hari ini adalah pembentuk dan petunjuk kepada wajah
generasi masa hadapan.
Saya
berpendapat, jika kita dapat memasyarakatkan pengajaran dan pendidikan, secara
bersama dan bersepakat, kita akan berupaya menganjak paradigma kita dalam
berfikir dan merancang masa depan kita dengan lebih baik, lebih sempurna dan
lebih teratur. Dan pendekatan ini harus bermula dari tahap satu sehinggalah
tamat persekolahan, secara bersama, secara kolektif dan tentulah juga bermula
dari diri kita sendiri sebagai guru dan pemimpin. Untuk tujuan ini, saya
bercadang untuk menubuhkan Majlis Pengajaran Tidak Formal yang akan dianggotai
oleh Guru besar dan Pengetua dan Pegwai dari Jabatan Berkaitan untuk perlaksanaan
program. Kita mahu memberi pendedahan kehidupan dan persekitaran sebanyak
mungkin kepada para pelajar dengan kerjasama rakan-rakan kita di jabatan
kerajaan lainnya.
Tuan-Tuan
dan Puan-Puan Para Guru yang saya hormati sekelian.
Satu
perkara besar lagi yang saya amat mengharapkan kerjasama para guru adalah
berkaitan dengan kehidupan dan masa depan para pelajar selepas peperiksaan SPM.
Setiap tahun terdapat lebih kurang 2500 – 3000 orang Pelajar kita yang
meninggalkan bangku sekolah. Alam persekolahan dan alam selepas daripada itu
adalah jauh berbeza, lebih-lebih lagi alam pekerjaan. Lazimnya, habis sahaja
alam persekolahan, mereka berasa bebas dan paling suka mencari pekerjaan
walaupun dengan pendapatan tak seberapa. Mereka mahu membeli motorsikal
sendiri, mahu membeli rokok sendiri, mahu enjoy dengan duit sendiri. Tapi
persoalannya sampai bila. Selepas tiga atau lima tahun, rakan-rakan mereka yang
melanjutkan pelajaran ke menara gading pulang dengan segulung diploma atau
ijazah, pulang sebagai pekerja berijazah, pulang dengan gaji RM 2,000 ke RM
3,000. Tapi mereka masih ditahap lama dengan gaji RM 800 ke RM 1200.00.
Tentulah kehidupan yang berdiploma atau berijazah itu jauh lebih baik dan masa
depan lebih terjamin berbanding dengan rakan-rakan mereka yang tidak mempunyai
apa-apa sijil kemahiran. Senario Ini adalah sesuatu yang dapat kita duga dari
awal lagi. Kita sebagai orang dewasa tentunya lebih nampak, lebih memahami,
lebih bijak dalam menilai masa depan kerana kita lebih berpengalaman dalam
lebih dahulu merasi asam garam kehidupan. Tetapi tidak dengan anak-anak kita.
Mereka masih mentah dan terdedah serta mudah terpengaruh. Kita juga tahu bahawa
masa depan, apatah lagi apabila negara menghampiri kedudukan sebagai negara
berpendapatan tinggi, kehidupan pada masa itu akan menjadi lebih mencabar. Kita
tidak dapat lari dari menghadapi situasi atau keadaan pada masa itu. Maka,
sudah pastilah kita perlu melakukan sesuatu sekarang, membuat persediaan sebaik
mungkin untuk menghadapinya. Kita akan menghadapinya dan anak-anak kita sudah
pasti tidak dapat lari dari kenyataan kehidupan pada masa itu. Dan sudah barang
pasti, Kemampuan kita tidak akan sama dengan anak-anak kita.
Berdasarkan
kepada scenario ini, saya berharap agar kita dapat membuat persediaan bersama
mulai dari sekarang. Saya berharap setiap sekolah, terutama di sekolah-sekolah
Menengah memperkasakan guru-guru kaunseling dan maklumat lengkap kerjaya dan
masa depan. Berikan mereka pengetahuan tentang peluang yang terbuka luas menanti
mereka. Maklumkan kepada mereka bahawa memasuki Universiti bukanlah
satu-satunya pilihan yang ada dan menanti mereka. Bagi mereka yang pintar itu
adalah pilihan mereka. Tetapi bagi mereka yang kurang berkebolehan dalam akedemik, mungkin pilihan
terbaik untuk mereka adalah untuk mengikuti kursus-kursus terknikal dan
vokasional yang banyak disediakan seperti IKM, ILP, IKBN, PerdaTech, KKTM,
JMTI, JTI, GMTI dan sebagainya. Negera masih kekurangan pekerja dalam bidang
teknikal dan vokasional ini. Kita yakni pemimpin, para guru dan ibubapa perlu
memandu mereka dengan panduan yang baik. Para guru berada dikedudukan terbaik
untuk mengumpan mereka, membuka minda mereka, memandu arah kerjaya mereka mengikut minat
mereka. Saya beriltizam, mulai tahun depan, tidak ada lagi para pelajar lepasan
sekolah yang terus memasuki alam pekerjaan. Mereka harus malah diwajibkan untuk
memasuki mana-mana pusat latihan teknik dan vokasional untuk mendapat sijil
kemahiran demi masa depan mereka yang lebih baik dan lebih cemerlang. Jika
tidak ada halangan saya mahu mewujudkan satu Majlis Kerjaya Barat Daya yang
dianggotai oleh Pengetua dan Universiti serta Institut serta pusat latihan berkaitan.
Kita hendak membimbing mereka dari peringkat menengah rendah lagi. InsyaAllah,
bagi kedua-dua cadangan ini akan saya berikan peruntukkan secukupnya untuk
perlaksanaan program yang akan disusun.
Para
guru yang saya sayangi sekelian
Marilah
kita sama-sama berganding bahu dengan penuh keinsafan untuk membantu generasi
pelapis kita kerana Allah. Kita telah merasai keperitan kehidupan masa ini dan
sudah pasti kita tidak mahu kehidupan anak-anak kita lebih teruk dari kita.
Kita impikan agar kehidupan mereka lebih baik dari kita. Kita berada disini untuk
mereka. Kita bergaji kerana mereka. Kita bergelar guru kerana mereka bernama
murid. Mereka adalah amanah yang kita
pegang dan kita jaga. Saya yakin anda semua, para guru yang saya sayangi dan
sanjung tinggi mampu membuat perubahan, mampu menyedarkan, mampu memberi sinar
jaya penuh kepastian, mampu menyuluh dimalam hari, mampu memimpin disiang hari,
mampu menyinar dalam kegelapan. Selamat menyambut hari guru. Terima kasih
Cikgu.
Sekian.
Wabilahitaufik Wal hidayah Wasalamualikum WBTH.
Khamis, 16 Februari 2012
HE IS NOT CLEVER !!
Kawan saya 'AM' menghantar TEXT ni kepada talipon bimbit saya untuk bacaan, makluman dan berkongsi pandangan dengan saya. Beliau seorang profesional dan pandangan beliau agak kritikal dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang. Saya paparkan untuk perkongsian minda.
Generally Indians and Malays in Penang are for BN at this particular moment. The last time Najib and Mahyudin came to penang, they received good support among the penangites. If both of them can make another visit it will help the momentum of BN supporters. DAP government have just sold state land over 100 acres to private developer in Bayan Mutiara (a real bargain to that developer). That land if wisely used can benefit the state and the people of Penang in years to come. DAP government have also unnecessarily appointed a Singapore base consultant firm for project worth RM 450 mil costing the state 1.5% consultant fees ie RM 6.75 mil ! Imagine how much it can benefit local consultants. These issues and blunders can be elaborated by both PM and TPM during their visit, to inform on how much Penang people are losing. Its about time to show Penang Chinese that DAP's policies is benefiting outsiders and not them.
Another serious allegation made by Guan Eng to local consultants when he says that "the poor deserves a home not a box" to justify appointing Singapore base consulting firm. Local consultants build 'boxes' for the people? Oh dear.. what an insult to all professional consultants and developers in the whole of Malaysia. Just to put on record DAP government have not build a single 'box' for the people through state fund for the last 4 years! The existing delivery of 'boxes' for the poor is from the previous govt planning and private developers. In fact a few months back Guan Eng PROUDLY announce to the public that the state has provided so and so many of low cost 'boxes' to the people? Furthermore what is the budget per unit that Guan Eng will allow for the 'home' that he intends to build for the poor. Can he clarify? For the same budget local consultants cannot design a 'home' for the poor?
Rabu, 15 Februari 2012
Aku Bina Rumah Itu, Dia Cat Rumah Itu dan Dia Kata Rumah Itu Dia Yang Buat. Tak Malukah Dia ?
Teringat saya satu kejadian kira-kita 3 tahun yang lalu. Saya telah berjaya mendapatkan sebuah rumah dibina untuk satu keluarga miskin di Balik Pulau ini. Setelah rumah siap dibina, dan dia serta anak dan isteri masuk kerumah itu. Kemudian datang seorang pemimpin parti politik kampong itu dan berikan wang RM 100 dan dia beritau kepada pemilik rumah itu, “ambil duit ini, dan kalau orang mai tanya hang sapa buat rumah ini, habaq kat depa kata kami yang buat”. Begitulah yang disampaikan kepada saya, saya terkejut dan akhirnya tersenyum. Apakah dengan nilai RM 100 dapat membeli nilai dan kesyukuran dan terima kasih kita ?
Kita digalakkan untuk membuat sesuatu kebaikan secara berahsia. Kalau tangan kanan yang beri, tangan kiri pun tak boleh tau. Tapi kalau kita buat kebaikan tak bagi tahu kepada orang, dan orang lain tahu sifat kita yang suka merahsiakan, dia pula yang ambil kesempatan nak ambil kredit atau buat pengakuan dan ambil hak atau nama. Pelik kan dunia hari ini? Ada saja orang yang mengambil kesempatan. Kadang-kadang rasa kesian pun ada, betapa golongan ini miskin kebaikan dan kaya putar belit. Mungkin bagi mereka urusan dosa boleh dikira diakhirat, didunia perkiraan tanggapan manusia lebih mustahak.
Khamis, 12 Januari 2012
Selamatkan Kg Batu Uban : Antara Kawasan Petempatan dan Warisan Terawal Melayu di Pulau Pinang
KENYATAAN AKHBAR 12 Jan, 2012
Kenyataan Bersama Oleh :
1. Persatuan Sejarah dan Peradaban Melayu Pulau Pinang (PERADABAN)
2. Sejarawan, Sasterawan dan Budayawan USM
3. Persatuan Sejarah dan Warisan Pulau Pinang
4. Persatuan Karyawan Pulau Pinang (Karyawan)
5. Gabungan Bela Hak Insan (Gabungan)
6. Aktivis Warisan dan Sejarah Pulau Pinang
7. Persatuan Sejarah Negeri Kedah
8. Waris Haji Mohammad Salleh (Nakhoda Nan Intan), pengasas kampung Batu Uban
Pertahankan dan Selamatkan Antara Kawasan Petempatan dan Warisan Terawal Melayu di Pulau Pinang
Batu Uban adalah sebuah bandar dalam peta lakaran Kapten Walter Alves pada tahun 1763, peta pertama Inggeris sebelum membuka P.Pinang (lihat gambarajah). Ia adalah pelabuhan yang pertama sebelum George Town; dibuka oleh Haji Mohammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Nakhoda Nan Intan dengan restu baginda Sultan Kedah, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Muazzam Syah II (mm. 1710-1778).
Masjid Batu Uban telah di asaskan oleh Nakhoda Nan Intan pada tahun 1734. Nama sebenar beliau ialah Raja Nan Intan Ibni Al-Marhum Tengku Patih Sebatang. Beliau berasal dari Kampung Buadi, Paya Kumboh, Sumatera dan mempunyai hubungan dengan kerabat diraja Minangkabau.
Nakhoda Nan Intan merantau ke Pulau Pinang bersama dua lagi bahtera. Nakhoda Nan Intan singgah di Batu Uban, satu lagi bahtera singgah di Bayan Lepas (Nakhoda Bayan) dan bahtera ketiga singgah di Jelutong (Nakhoda Kecil). Ketiga-tiga nakhoda tersebut mempunyai talian persaudaraan.
Oleh yang demikian, beliau merupakan orang yang paling awal yang membuka Pulau Pinang dan bukannya Francis Light yang di katakan membuka Pulau Pinang pada tahun 1786.
Dengan kata lain, Batu Uban adalah petempatan, pelabuhan dan tempat bersejarah yang paling awal sebelum bermulanya era penjajahan Pulau Pinang pada tahun 1786M.
MAKA, Kampung Batu Uban ini merupakan :
1. Warisan sejarah yang amat penting bagi orang Melayu di Pulau Pinang khasnya dan Sejarah Pulau Pinang umumnya,
2. Mempunyai hubungkait dengan Peradaban dan Tamaddun Melayu di Pulau Pinang
Dengan yang demikian, timbullah beberapa persoalan yang perlu diberi perhatian segara dan mendesak :
1. Patutkah Kampung Melayu Batu Uban ini dikorbankan kerana pembangunan.
Batu Uban adalah bukti petempatan awal orang Melayu di Pulau Pinang dan merupakan pusat perkembangan peradaban Melayu dan Tamadun Islam khususnya di Pulau Pinang.
2. Beginikah akan berakhirnya Nasib Warisan Melayu dan Islam selepas 55 tahun Merdeka (yakni tidak terbela dan beransur lenyap)
3. Warisan penjajah dan kaum imigran lainnya mendapat pengiktirafan UNESCO, manakala warisan Melayu yang hakiki terlepas pandang dan tidak ada tempat langsung dalam kerangka Zon Warisan Pulau Pinang.
4. Warisan , Sejarah dan Peradaban Melayu dan Islam punya nilai dalam pembangunan.
Negara-negara Barat dan Timur membangun dengan pesat tetapi tidak mengetepikan sejarah dan peradaban mereka. Pulau Pinang hanya mengagungkan warisan penjajah dan kaum imigran tetapi mengetepikan warisan yang asal - peribumi dan bumiputeranya.
5. Kami juga tertanya mengapa Kampung Warisan Melayu Batu Uban ini yang merupakan kawasan perkampungan terawal di Pulau Pinang telah tidak digazetkan bersama-sama dan bersekali dengan permohonan Georgetown untuk mendapatkan Bandar Warisan ke UNESCO (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan)?
6. Di peringkat Negara Malaysia pula, mengapa pihak Kementerian yang bertanggungjawap dalam hal-hal berkaitan dengan Warisan dan Kebudayaan tidak secara serious melihat isu ‘pengekalan kampung warisan Melayu’.
Walaupun Kampung Batu Uban ini tidak digazetkan oleh UNESCO yang bukan di dalam kawalan kita, Kampung Batu Uban ini boleh digazetkan sebagai Kampung Warisan oleh Kerajaan Malaysia, dan juga oleh Kerajaan Negeri.
Persatuan Warisan Pulau Pinang (Penang Heritage Trust -PHT), dan jaringan- jaringannya telah berjaya dalam usaha-usaha mereka dalam memulihara dan mengekalkan warisan terutama di Georgetown. Maka perlu ada satu inisiatif lain yang berusaha ke arah pengekalan warisan di ‘kampong-kampung terpilih’ yang ada kaitan dengan sejarah Pulau Pinang, di bahagian lain di pulau dan juga di Seberang Perai.
Kita berharap perkara-perkara berikut dapat diberi perhatian serius dengan kadar segera oleh pihak kerajaan :
1. Kekalkan kawasan perkampungan Batu Uban (terutamanya dalam lingkungan kawasan masjid dan kawasan perkuburan (yang menempatkan makam Nakhoda Intan dan kaum keturunannya) sebagai ‘kampung warisan hidup’ atau ‘living heritage’.
2. Kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia serta pihak Kerajaan Negeri mengazetkan Kampung Batu Uban ini sebagai Kampung Warisan Pulau Pinang.
3. Kerajaan membangunkan semula kampung Batu Uban ini sebagai Kampung Warisan Hidup.
4. Mendesak Kerajaan Negeri tidak lagi meluluskan sebarang pembangunan dikampung ini. Pihak kerajaan negeri juga perlu dengan kadar segera menyediakan satu pelan Rancangan Khas Kawasan bagi pembangunan kampong warisan ini.
5. Bagi tujuan pengekalan Sejarah Peradaban Melayu Pulau Pinang di kampong bersejarah ini, kita mendesak pihak Kerajaan Pusat dapat membeli semua tanah di kampong ini dan dibangunkan semula.
6. Kita juga berharap dalam hal berkaitan dengan soal Warisan Melayu dan Islam ini akan turut mendapat perhatian dan keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang.
Hari ini saya menyeru kepada para budayawan, sejarawan, NGO-NGO Melayu, dan penduduk Melayu di Pulau Pinang agar bangun, insaf dan sedar bahawa tanpa kesepakatan, dan kesatuan hati, kampung-kampung warisan dan tradisi Melayu akan terhakis dan hilang dan hanya kekal pada nama sahaja dan mungkin akan hilang terus.
Kita tidak boleh berterusan menyalahkan orang-orang yang terdahulu, tetapi kita perlu melakukan sesuatu untuk mengekalkan peradaban dan warisan Melayu di negeri ini.
Hingga kini pelbagai usaha dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk menafikan sejarah orang-orang Melayu di Pulau Pinang. Negeri yang berkembang maju ini seolah-olah diwujudkan oleh Inggeris dan dimajukan oleh tertentu sahaja.
Atas alasan tersebut, pihak berkuasa, ahli-ahli politik dan NGO’s seharusnya sedar akan situasi yang berlaku. Kesilapan dan kealpaan terhadap sejarah asal negeri Pulau Pinang harus dihentikan. Pembangunan yang berlangsung atas nama keuntungan wang ringgit semata-mata sejak era penjajahan tidak harus berlaku lagi. Sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan tapak pertapakan Melayu di Pulau Pinang tidak lenyap ditelan arus pembangunan. Kita juga tidak mahu sejarah orang-orang Melayu tenggelam ditelan oleh sejarah yang tidak tepat.
Kita mahukan pembangunan yang lestari, seimbang dan adil untuk semua kaum di negeri ini.
Langgan:
Catatan (Atom)