Isnin, 13 April 2009

Bantuan Memperkasakan Pendidikan


Sekolah Menengah SERI Balik Pulau adalah satu-satu sekolah di Balik Pulau yang mengambil dan menempatkan anak-anak orang kampung didalam Asrama Desa di sekolah tersebut. Saya mengucapkan tahniah kepada Pengetua dan guru-guru sekolah tersebut yang telah berusaha menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk para pelajar yang datang dari keluarga kurang pendapatan tetapi telah menunjukkan kecenderungan untuk lebih berjaya dalam pelajaran mereka. Tentunya ada beberapa kriteria lain yang dipertimbangkan untuk kemasukan ke asrama tersebut.
.

Sebenarnya, kita di kawasan Balik Pulau memerlukan sebuah sekolah menengah yang 'elit' untuk menerima sebahagian besar anak-anak kita yang telah bejaya mendapat 3A, 4A dan 5A dalam peperiksaan UPSR mereka. Saya bersimpati dengan anak-anak cemerlang ini yang telah berjaya dalam peperiksaan UPSR mereka tetapi tidak dapat masuk ke Sekolah Menengah Berasrama Penuh kerana tempat yang amat terhad. Saya berharap agar Sekolah Menengah Pondok Upeh yang sedang didalam pembinaan (dijangkakan akan disiapkan tahun ini) dapat memainkan peranan yang dimaksudkan ini. Kita telah bersuara kepada pihak Kemenerian, dan diharap tindakan bersesuaian diambil kearah menempatkan pelajar cemerlang di kawasan Balik Pulau ini. Sesungguhnya kelewatan projek sekolah ini, atas apa jua alasan, amatlah dikesalkan. Kita mahukan agar semangat yang telah mereka tunjukkan dalam UPSR tidak terpadam dan diteruskan dijaga dan dipantau sehingga ke PMR dan SPM.
.

Pada 4hb. April, 2009 saya telah menyumbang wang sejumlah RM 10,000.00 dan sebuah komputer riba kepada SMK SERI. Wang sejumlah itu adalah untuk membiayai skim tuisyen untuk para pelajar yang tinggal di Asrama Desa untuk kesemua kelas ( Tingkatan 1,2,3,4 dan 5). Pembiayaan itu adalah untuk program sepanjang tahun berdasarkan kertas kerja guru berkaitan. Sebagai rekod, wang tersebut adalah sumbangan seorang bekas pelajar SMK Seri yang telah berjaya didalam kerjayanya. Nama tidak dapt saya sebutkan.
.

Saya juga berharap dan berdoa, agar ada ramai lagi anggota masyarakat kita yang berkelebihan (dari segi pendapatannya), bolehlah turut menyumbang untuk aktibiti pendidikan dan sosial lainya yang berkaitan. Saya difahamkan, ada sebuah tabung telah diwujudkan dan akaun telah dibuka untuk tujuan ini..

Isnin, 6 April 2009

Perlaksanaan Projek KADUN Pulau Betong


Suka saya ingin berkongsi maklumat dengan Saudara/i berkaitan dengan perkembangan projek-projek yang telah saya bawakan dan laksanakan dengan bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan, melalui Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, sejak dari bulan Januari hingga penghujung Mac 2009 baru-baru ini. Saya bersyukur, kerana dalam tiga (3) bulan pertama tahun ini, untuk KADUN Pulau Betong, saya telah berjaya mendapatkan sejumlah 65 buah projek yang bernilai keseluruhan RM 2,410,000.00. Hampir kesemuanya telah siap dilaksanakan, sementara yang bakinya masih didalam proses pembinaan. Dengan adanya projek ini, sejumlah 65 orang kontraktor Kelas ‘F’ telah mendapat kerja.
.

Saya ingin merekodkan jutaan terimakasih kepada kesemua AJK JKKKP yang telah memberi bantuan dalam membantu menyenaraikan projek-projek dan seterusnya memantau perlaksanaan projek-projek tersebut. Kepada kontraktor-kontraktor yang telah diberikan rezeki untuk melaksanakan projek-projek tersebut bersyukurlah. Kepada yang belum berpeluang mendapat kerja, harap bersabar dan InsyaAllah kita berusaha menyediakan kerja. Tahniah kepada kontraktor yang melaksanakan kerja dengan sempurna
.


Walaubagaimanapun, saya berasa dukacita kerana masih terdapat kerja-kerja yang tidak dilaksanakan dengan sempurna. Telah saya ingatkan didalam satu mesyuarat awalan projek bahawa, saya mahu para kontraktor melahirkan kesyukuran dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT, dengan melaksanakan kerja sehingga siap dengan sempurna supaya ianya dapat dinikmati oleh anggota masyarakat. Jangan salahkan sesiapa, jika sekiranya kerja-kerja yang tidak sempurna itu menjadi sebab untuk tidak diberikan peluang melaksanakan projek lagi. Rezeki kita adalah anugerah Illahi, tetapi menjaga rezeki yang dianugerahkan kepada kita adalah tanggungjawap kita sendiri. Prinsip perlaksanaan projek cukup mudah, projek-projek dibuat untuk dinikmati oleh masyarakat dan bukannya membawa masaalah kepada masyarakat !
.

Sebagai rekod, pecahan projek-projek yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut :

Rumah Ibadat : RM 450,000.00
Sek. Agama : RM 220,000.00
Parit/Longkang : RM 1,300,000.00
Jambatan : RM 70,000.00
Jalan Kampung : RM 330,000.00
Lain-lain : RM 40,000.00
.

InsyaAllah, beberapa projek lampu jalan dan projek infrastruktur asas tambahan telahpun disenaraikan dan dihantar kepada pihak Pejabat Pembngunan Negeri Pulau Pinang. Saya berharap akan mendapat kelulusan dan perlaksanaan dimulakan dengan kadar segera.

Rabu, 11 Mac 2009

Program Bantuan Bina Rumah Baru / Baiki Rumah Rakyat Termiskin

Alhamdulillah, program bantuan memina Rumah Baru / Baiki Rumah Rakyat Termiskin yang dimulakan pada bulan November/Disember telah disiapkan. Bagi rumah-rumah baru yang dibina dikawasan baru kini menunggu bekalan air (PBA) dan letrik (TNB), manakala yang lainnya telah mula dihuni.

Untuk rekod dan makluman , sebanyak sembilan (9) buah rumah baru telah dibina. Bagi rumah yang mempunyai 3 bilik dibina dengan harga sebanyak RM 33,000.00 sebuah, manakala yang mempunyai 2-bilik berharga RM 29,000.00. Sementera itu sebanyak 19 buah rumah telah dibaiki dengan harga RM 11,000.00 sebuah. Jumlah keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM 490,000.00. Semuanya adalah dari peruntukkan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui pejabat Pembangunan Negeri. Kita perihatin dengan anggota masyarakat kita yang miskin dan susah. Kalau dicubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga. Semuanya telah diam-diam dibina tanpa hebahan. Seeloknya kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tak perlu tahu - itulah gambaran keikhlasan yang mahu diterapkan dalam semua usaha membuat kebaikan, terutamnya dalam membantu warga miskin. Malah, selama inipun, itulah yang diamalkan. Malangnya, ada dikalangan masyarakat yang jarang menilai sesuatu yang baik, yang selalu timbul adalah cemuhan, jika tersalah langkah. Ada juga yang suka mengambil kesempatan mengaku perkara yang tidak betul.

Satu kejadian yang agak menyedihkan saya telah berlaku dalam projek ini. Apabila, rumah telah siap dibina, ada orang-orang tertentu yang bersusah payah mewar-warkan atau menghebahkan kepada masyarakat bahawa rumah-rumah itu dibina oleh Kerajaan Pakatan Pulau Pinang. Saya dimaklumkan, ada pihak yang pergi kerumah orang miskin yang sedang dibina, memberikannya RM100.00 dan suruh memaklumkan kepada sesiapa yang datang melawat, tuan rumah perlu kata rumah ini Pakatan Rakyat yang buat. Saya sungguh sedih dengan perlakuan sedemikian. Tak bolehkah kita sama-sama membantu yang susah dan yang memerlukan dan bukan hanya pandai ambil kredit sahaja. Kita mencari keredhoan Ilahi, bukan percakaran sesama sendiri.

Bagi mengelakkan kekeliruan, dan memberhentikan cerita yang tidak benar, maka pihak Pembangunan Negeri telah mengarahkan setiap rumah diletakkan label bahawa rumah-rumah berkenaan adalah dibina oleh Kerajaan Persekutuan. Saya bersama rakan-rakan telah memasang label kepada 3 daripada rumah-rumah tersebut.

Marilah kita berlumba-lumba melakukan kebaikan, bersama-samalah juga menjauhkan diri dari menjadi orang fasik.

Kepada rakan-rakan semua, apabila berjumpa / bersemuka dengan orang-orang miskin yang memerlukan bantuan, segeralah memaklumkan pihak saya atau YB D.S. Hilmi, dan YB Tn. Syed Amir untuk dimasukkan dalam data e-kasih, ICU, Jabatan Perdana Menteri, bagi membolehkan bantuan dihulurkan. InsyaAllah, bersama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan bantuan. Mudah-mudahan generasi selepas mereka lebih berjaya.

Isnin, 9 Mac 2009

Isu Pengajaran Matapelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris

Saya terpanggil untuk melahirkan pendapat saya bagi isu yang hangat diperkatakan dewasa ini, iaitu Pengajaran Matapelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris. Saya belajar di Sekolah Kebangsaan St. George dan Sek. Menengah Kebangsaan St. George hingga Tingkatan 3. Tingkatan 4 dan 5 saya belajar di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau. Seterusnya mengikuti kursus Diploma Ukur Bahan di ITM, Ijazah Pertama di Robert Gordon's Institute of Technology, Scotland dan MBA dari Univerisiti Utara Malaysia. Berdasarkan kepada pengalaman saya dalam proses menimba ilmu ini, saya ingin menyatakan sokongan penuh pada saya kepada Pengajaran Matapelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris. Sebagai tanda sokongan dan bertujuan membantu, telah 4 tahun saya bekalkan akhbar bahasa Inggeris di kesemua Sekolah Kebangsaan ( 6 buah) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China (4 sekolah) dalam KADUN Pulau Betong.

.
Kalau ibubapa tidak boleh berbahasa Inggeris, biarlah anak-anak kita boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Adakah kita akan rugi jika anak-anak kita boleh mengesuai bahasa Inggeris? Bahasa Melayu bahasa ibunda, akan terus kita pertahankan dan perkasakan. Sebab itu, saya belajar sedikit sebanyak tentang sastera dan puisi Melayu. Bersajak sekali-sekala. Bahasa menunjukkan bangsa.
.
Cuba lihat anak-anak orang China dan India yang sekarang ini begitu fasih berbahasa Mandarin, Inggeris dan Bahasa Melayu ( 3 bahasa sekali gus). Adakah mereka merungut? Tidak !. Saya berani katakan ini kerana, Alhamdulillah, 2 orang anak saya sekarang ini belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China. Abang dalam darjah 4 dan adiknya dalam darjah 2. Mereka belajar Sains dan Metamatik dalam 3 bahasa, iaitu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Mereka tidak merungut, dan Alhamdulillah mereka dapat mengikutinya dengan baik.
.
Anak-anak kita adalah permata kita yang tidak ternilai. Berikan mereka pendedahan sewajarnya untuk masa depan mereka. Apa yang kita ada hari ini adalah diwarisi dari orangtua kita dan yang kita pinjam dari anak-anak kita. Sayangilah mereka selayaknya, dan jangan manjakan mereka sehingga mereka terlepas peluang.
.
Apa yang perlu sekarang, adalah menjaga, memartabatkan dan memperkasakan pengunaan bahasa Melayu dikalangan masyarakat Malaysia, kerana ianya bahasa rasmi dan bahasa perpaduan. Cuba perhatikan, pengunaan bahasa Melayu dalam perbahasan didalam Parlimen oleh ahli-ahli Yang Berhormat. Lihat perbezaan penguasaan bahasa diantara generasi baru dan generasi lama ! Amat ketara ! Janganlah membawa isu bahasa ibunda kita kejalanan. Kita berdemonstrasi, mereka lihat dan ketawakan kita.
.
Sempena Maulidur Rasul, mungkin ada baiknya kita merenung semula sejarah kedatangan insan mulia yang menjadi contoh tauladan yang terbaik, antaranya akhlak yang mulia yang patut dicontohi oleh semua kita. TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH DAN NABI MUHAMAD PESURUH ALLAH.

Khamis, 26 Februari 2009

Jom 'Frisbee' ke-2 : 21hb. Februari, 2009

Setelah berjaya mengadakan klinik kepada persatuan-persatuan belia, klinik 'frisbee' ke-2 telah berjaya dilaksanakan pada tarikh diatas bertempat di Padang Bolasepak Awam Kongsi. Kali ini, tumpuan adalah kepada sekolah-sekolah Menengah dan Rendah didalam KADUN Pulau Betong.

Terdapat 11 buah sekolah dengan bilangan guru dan pelajar sejumlah 90 orang telah mengambil bahagian. Setiap sekolah telah diberikan sebanyak 10 unit 'frisbee' untuk digunakan dalam aktiviti pendidikan jasmani dan sebagainya.


Saya akan mengadakan pertandingan antara sekolah-sekolah pada hujung tahun ini dan antara belia setelah semua bersedia dan masa yang bersesuaian. Mungkin, bermain 'frisbee' didalam sawah ! Menarik kan ?! (Teringat masa kecil-kecil dulu bermain dan menangkap ikan didalam sawah sementara menunggu pokok padi ditanam - BEST !).

Program Gema Puisi Gaza : 20hb Februari 2009

Alhamdulillah, Malam Gema Puisi Gaza - Erti Kemanusian, telah berjaya dijalankan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Pejabat Pembangunan Negeri, Universiti Sains Malaysia, BASKEB dan Pusat Khidmat KADUN Pulau Betong.


Setelah lebih setahun, Anjung Indah dibiarkan tanpa sebarang aktiviti, Malam Gema Puisi telah kembali memberi sinar baru kepada tempat yang sungguh indah itu. Tempat tersebut telah dirasmikan oleh TYT Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang pada bulan Mei 2006 dengan peruntukkan keseluruhan lebih kurang RM 100,000.00. Saya berpuas hati dengan rekaan susunatur pentas dan landskap yang dibuat ditapak, tanpa lukisan. Hasrat saya adalah untuk menjadi pentas terbuka untuk kegunaan pengiat seni dan pelancungan. Anjung Indah seindah namanya, membolehkan pengunjung mengintai kecantikan dan keindahan Balik Pulau dari atas bukit, apatah lagi diwaktu malam dan ketika matahari sedang terbenam dan malam melabuh tirai. Cubalah lawati tempat ini. Sila cadangkan program-program kemasyarakatan yang boleh menyemarakkan tempat ini.


Antara pendeklamsi sajak adalah Prof. Omar Osman - TNC, USM, Sasterawan Negara Prof. Mohamad Salleh, Hj. Arshad Rawiyan - Pengarah DBP Utara. Komposer Azmer dan En. Omar Bidin -Timb. Dekan menyanyikan lagi puisi. Tn. Nik Ali. Pegawai Pembangunan Negeri turut menyanyikan lagu keroncong ' Sutera Biru'. Suatu malam yang cukup indah.

Rabu, 4 Februari 2009

Pelancaran Persatuan Homestay Pulau Pinang

Tarikh Program : 31hb Januari, 2009

Alhamdulillah, majlis pelancaran Persatuan Homestay Pulau Pinang telah selamat dilancarkan oleh YB Dato' Seri Azalina Othman Said, Menteri Pelancugan di Kampung Jalan Bharu. Sambutan adalah diluar jangkaan. Kenduri dibuat ala kampung dengan lauk pauk yang sedap dan mendapat pujian pelawat dari luar.


Kampung-kampung homestay di Pulau Pinang adalah :

1. Kampung Jalan Bharu
2. Kampung Pulau Betong
3. Kampung Teluk Bahang
4. Kampung Mengkuan Titi
5. Kampung Sg. Chenaam
6. Kampung Sg. Duri
7. Kampung Sg. Setar
8. Kampung Sg. Sembilang
9. Pulau Aman

Kesemua 9 kampung ini menawarkan sejumlah 200 rumah yang telah dilesenkan oleh Kementerian Pelancungan sebagai rumah homestay yang memenuhi kehendak dan keperluan ataupun piawaian yang telah ditetapkan.

Sejumlah RM 2.00 Juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih rumah dan melengkap rumah-rumah dalam kampung-kampung yang berminat untuk melibatkan diri dalam program homestay ini. Kini kesemua rumah homestay telah di dibaiki dengan tandasnya ditukar kepada jenis duduk, lantai bilik airnya berjubin dan bersiling lengkap dengan keperluan bilik air seperti sebuah hotel. Begitu juga, bilik-bilik tidur telah dibaiki dan dilengkapkan dengan 2 buah katil single, lengkap dengan tilam mengikut spesikasi hotel, meja solek dan almari pakaian. Selain dari itu, setiap rumah juga dilengkapkan dengan cadar, sarong bantal dan dipadankan dengan tirai sedondon (bersamaan dalam corak batik), tuala badan dan tuala muka juga mengikut spesifikasi hotel. Dengan kelengkapan-kelengkapan yang diatas, jika tidak keterlaluan, saya boleh tarafkan rumah homestay dinegeri ini sebagai bilik-bilik homestay 4 ke 5 bintang.

Ingin saya mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan kenapa saya secara peribadi amat menyokong program homestay dan bersusah payah menjaganya. Selain daripada homestay sebagai produk pelancungan, yang tersirat disebalik program ini adalah soal yang berhubung kait dengan pembangunan umah, baik dari sudut fizikal maupun mental. Rumah-rumah homestay adalah rumah-rumah yang cuci bilik airnya, teratur bilik tidurnya, bersih keseluruhan rumahnya, dan cantik persekitaran rumahnya. Ciri-ciri ini amat perlu jika kita mahu melahirkan anak-anak generasi yang sihat pemikirannya, cemerlang pendidikannya dan positif tentang kehidupan mereka. Jika rumah-rumah dalam sesebuah kampong mempunyai element-element ini, saya yakin masyarakat didalam kampong itu adalah masyarakat yang berfikiran positif, sihat dan berupaya melahirkan modal insan yang cemerlang. Dengan kata lain, program homestay dan rumah-rumah homstay berupaya untuk menjadi pendorong kepada pembentukan satu kehidupan yang kondusif, yang berupaya melahirkan generasi yang cemerlang. Bayangkan, kalau rumah mereka sempit, kotor, berselerak, dan berbau, mampukah mereka melahirkan anak-anak yang cemerlang, berfikiran positif standing dengan anak-anak pekan yang serba lengkap. Mereka adalah sebahagian dari saya dan kita, dan saya dan anda semua adalah sebahagian dari mereka. Impian saya adalah, rumah-rumah yang menjadi rumah homestay ini akan dicumburui oleh rumah-rumah lain dalam kampong itu dan mudah-mudahan rumah-rumah lain juga mahu meniru dan seterusnya mempunyai kualiti seperti rumah-rumah homestay ini atau jauh lebih baik lagi, InsyaAllah.