Rabu, 11 Mac 2009

Program Bantuan Bina Rumah Baru / Baiki Rumah Rakyat Termiskin

Alhamdulillah, program bantuan memina Rumah Baru / Baiki Rumah Rakyat Termiskin yang dimulakan pada bulan November/Disember telah disiapkan. Bagi rumah-rumah baru yang dibina dikawasan baru kini menunggu bekalan air (PBA) dan letrik (TNB), manakala yang lainnya telah mula dihuni.

Untuk rekod dan makluman , sebanyak sembilan (9) buah rumah baru telah dibina. Bagi rumah yang mempunyai 3 bilik dibina dengan harga sebanyak RM 33,000.00 sebuah, manakala yang mempunyai 2-bilik berharga RM 29,000.00. Sementera itu sebanyak 19 buah rumah telah dibaiki dengan harga RM 11,000.00 sebuah. Jumlah keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM 490,000.00. Semuanya adalah dari peruntukkan Kerajaan Persekutuan yang disalurkan melalui pejabat Pembangunan Negeri. Kita perihatin dengan anggota masyarakat kita yang miskin dan susah. Kalau dicubit paha kiri, paha kanan pun terasa juga. Semuanya telah diam-diam dibina tanpa hebahan. Seeloknya kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tak perlu tahu - itulah gambaran keikhlasan yang mahu diterapkan dalam semua usaha membuat kebaikan, terutamnya dalam membantu warga miskin. Malah, selama inipun, itulah yang diamalkan. Malangnya, ada dikalangan masyarakat yang jarang menilai sesuatu yang baik, yang selalu timbul adalah cemuhan, jika tersalah langkah. Ada juga yang suka mengambil kesempatan mengaku perkara yang tidak betul.

Satu kejadian yang agak menyedihkan saya telah berlaku dalam projek ini. Apabila, rumah telah siap dibina, ada orang-orang tertentu yang bersusah payah mewar-warkan atau menghebahkan kepada masyarakat bahawa rumah-rumah itu dibina oleh Kerajaan Pakatan Pulau Pinang. Saya dimaklumkan, ada pihak yang pergi kerumah orang miskin yang sedang dibina, memberikannya RM100.00 dan suruh memaklumkan kepada sesiapa yang datang melawat, tuan rumah perlu kata rumah ini Pakatan Rakyat yang buat. Saya sungguh sedih dengan perlakuan sedemikian. Tak bolehkah kita sama-sama membantu yang susah dan yang memerlukan dan bukan hanya pandai ambil kredit sahaja. Kita mencari keredhoan Ilahi, bukan percakaran sesama sendiri.

Bagi mengelakkan kekeliruan, dan memberhentikan cerita yang tidak benar, maka pihak Pembangunan Negeri telah mengarahkan setiap rumah diletakkan label bahawa rumah-rumah berkenaan adalah dibina oleh Kerajaan Persekutuan. Saya bersama rakan-rakan telah memasang label kepada 3 daripada rumah-rumah tersebut.

Marilah kita berlumba-lumba melakukan kebaikan, bersama-samalah juga menjauhkan diri dari menjadi orang fasik.

Kepada rakan-rakan semua, apabila berjumpa / bersemuka dengan orang-orang miskin yang memerlukan bantuan, segeralah memaklumkan pihak saya atau YB D.S. Hilmi, dan YB Tn. Syed Amir untuk dimasukkan dalam data e-kasih, ICU, Jabatan Perdana Menteri, bagi membolehkan bantuan dihulurkan. InsyaAllah, bersama-samalah kita membantu mereka yang memerlukan bantuan. Mudah-mudahan generasi selepas mereka lebih berjaya.

Isnin, 9 Mac 2009

Isu Pengajaran Matapelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris

Saya terpanggil untuk melahirkan pendapat saya bagi isu yang hangat diperkatakan dewasa ini, iaitu Pengajaran Matapelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris. Saya belajar di Sekolah Kebangsaan St. George dan Sek. Menengah Kebangsaan St. George hingga Tingkatan 3. Tingkatan 4 dan 5 saya belajar di Sekolah Menengah Seri Balik Pulau. Seterusnya mengikuti kursus Diploma Ukur Bahan di ITM, Ijazah Pertama di Robert Gordon's Institute of Technology, Scotland dan MBA dari Univerisiti Utara Malaysia. Berdasarkan kepada pengalaman saya dalam proses menimba ilmu ini, saya ingin menyatakan sokongan penuh pada saya kepada Pengajaran Matapelajaran Sains dan Metamatik dalam Bahasa Inggeris. Sebagai tanda sokongan dan bertujuan membantu, telah 4 tahun saya bekalkan akhbar bahasa Inggeris di kesemua Sekolah Kebangsaan ( 6 buah) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China (4 sekolah) dalam KADUN Pulau Betong.

.
Kalau ibubapa tidak boleh berbahasa Inggeris, biarlah anak-anak kita boleh menulis dan bertutur dalam bahasa Inggeris. Adakah kita akan rugi jika anak-anak kita boleh mengesuai bahasa Inggeris? Bahasa Melayu bahasa ibunda, akan terus kita pertahankan dan perkasakan. Sebab itu, saya belajar sedikit sebanyak tentang sastera dan puisi Melayu. Bersajak sekali-sekala. Bahasa menunjukkan bangsa.
.
Cuba lihat anak-anak orang China dan India yang sekarang ini begitu fasih berbahasa Mandarin, Inggeris dan Bahasa Melayu ( 3 bahasa sekali gus). Adakah mereka merungut? Tidak !. Saya berani katakan ini kerana, Alhamdulillah, 2 orang anak saya sekarang ini belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan China. Abang dalam darjah 4 dan adiknya dalam darjah 2. Mereka belajar Sains dan Metamatik dalam 3 bahasa, iaitu dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin. Mereka tidak merungut, dan Alhamdulillah mereka dapat mengikutinya dengan baik.
.
Anak-anak kita adalah permata kita yang tidak ternilai. Berikan mereka pendedahan sewajarnya untuk masa depan mereka. Apa yang kita ada hari ini adalah diwarisi dari orangtua kita dan yang kita pinjam dari anak-anak kita. Sayangilah mereka selayaknya, dan jangan manjakan mereka sehingga mereka terlepas peluang.
.
Apa yang perlu sekarang, adalah menjaga, memartabatkan dan memperkasakan pengunaan bahasa Melayu dikalangan masyarakat Malaysia, kerana ianya bahasa rasmi dan bahasa perpaduan. Cuba perhatikan, pengunaan bahasa Melayu dalam perbahasan didalam Parlimen oleh ahli-ahli Yang Berhormat. Lihat perbezaan penguasaan bahasa diantara generasi baru dan generasi lama ! Amat ketara ! Janganlah membawa isu bahasa ibunda kita kejalanan. Kita berdemonstrasi, mereka lihat dan ketawakan kita.
.
Sempena Maulidur Rasul, mungkin ada baiknya kita merenung semula sejarah kedatangan insan mulia yang menjadi contoh tauladan yang terbaik, antaranya akhlak yang mulia yang patut dicontohi oleh semua kita. TIADA TUHAN YANG BERHAK DISEMBAH MELAINKAN ALLAH DAN NABI MUHAMAD PESURUH ALLAH.